Friday, 21 January 2022

Apa khabar, Lembah Bujang?

SUMBER: MALAY MAIL

Monday, 17 Mar 2014 07:31 AM MYT


17 MAC — Kunjungan ke Lembah Bujang, Kedah pada 31 Januari dan 1 Februari 2014 mengukuhkan pendirian saya bahawa pandangan yang saya kemukakan selama ini mengenai orang Melayu tidak tersasar jauh.

Makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Kononnya saya cuba mengelirukan pembaca serta mengubah fakta mengenai asal-usul dan anutan orang Melayu di negara ini.

Menerusi makalah berkenaan, saya menyatakan bahawa kalau diperhatikan, pengaruh India dan Hindu — serta Buddha — sudah bertapak di Kepulauan Melayu (Nusantara) jauh sebelum kedatangan Islam. Malah Kerajaan Melayu Melaka — seperti mana Majapahit dan Srivijaya — bertunjangkan budaya India dan Hindu.

Hakikat yang boleh cuba dipertikaikan — malah mungkin dibawa ke mahkamah — tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa kewujudan “Melayu” itu sendiri adalah berasaskan tamadun India — khususnya empayar Cheran, Cholan, Pandian dan Pallavan.

Follow us on Instagram and subscribe to our Telegram channel for the latest updates.

Apabila sebuah candi yang dibina di Lembah Bujang pada kurun ke-8 dirobohkan pemaju pada September 2013 — dan kejadian itu diketahui ramai beberapa bulan kemudian — masyarakat pelbagai kaum mula bersuara bagi melahirkan rasa marah dan kecewa.

Pada waktu itu, beberapa individu yang marah-marah berikutan makalah “Kisah tentang Malayu” juga mula sedar bahawa apa yang saya kemukakan ada kebenaran. Khususnya hakikat kewujudan “Melayu” lama sebelum kedatangan agama Islam ke rantau ini.

Kemusnahan yang berlaku pada candi berusia lebih 1,200 tahun di Sungai Batu menyedarkan orang ramai bahawa monumen serta tapak arkeologi itu bukan hanya milik orang India-Hindu; sebaliknya juga milik orang Melayu-Hindu pada masa dahulu.

Malah, seorang pengkaji sejarah Kedah Lama, Dr Jayabarathi, yang ditemui di rumahnya pada 1 Februari 2014 mengemukakan hujah bahawa candi-candi di Lembah Bujang kemungkinan besar dibina oleh orang Melayu-Hindu.

Kemudian, ia dimusnahkan oleh tentera Rajendra Cholan dari India yang melakukan serangan bagi tujuan penaklukan. Putera berkenaan turut diberikan nama “Kadaram-kondan” (Penakluk Kadaram) walaupun tenteranya turut menakluk Sri Vijaya, Malaiyur (Malayu dan Jambi) dan pelbagai wilayah lain.

Bukan hanya bukti tamadun India-Hindu

Pada 3 Mac 2014, Bernama melaporkan berita mengenai pembukaan 50 lagi tapak pemetaan di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang. Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin menghuraikan mengenai tapak ekskavasi berkenaan.

“Hasil daripada 47 tapak yang dibuka itu, kami menemui empat fungsi iaitu tapak industri peleburan besi, pelabuhan dengan sepuluh jeti, tapak ritual bagi penyembahan di Gunung Jerai dan 13 bangunan pentadbiran,” katanya.

Saya bersama-sama Kughan Nadarajah, Prabhawathy Govindarajoo, Devishi Prabha Sankari dan Kartik Ramachandran turut berpeluang melawat serta mendapatkan penerangan di Tapak Arkeologi Sungai Batu yang dipercayai merupakan tapak tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara – mengatasi usia Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur di Indonesia.

Mokhtar dalam berita yang disiarkan Bernama menyifatkan penemuan tapak pelaburan besi di Sungai Batu sebagai amat mengejutkan kerana “ia menunjukkan bahawa orang Melayu sudah terlibat dalam industri besi sejak sekian lama”.

Dalam bukunya, “Bujang Valley: The Wonder That Was Ancient Kedah” (2011), V Nadarajan menjelaskan bahawa nama “Kadaram” yang diberikan oleh orang India kepada Lembah Bujang (Kedah Tua) membawa makna “tempat peleburan besi” (kothikalam) dalam Bahasa Tamil.

Saya percaya “Program Jom Cari Kedah Tua” (28 Februari – 2 Mac 2014) anjuran Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua turut memberi peluang kepada peserta bukan sahaja untuk melakukan sendiri kerja-kerja ekskavasi, tetapi juga untuk menyedari serta mengakui bahawa Lembah Bujang bukan hanya bukti tamadun India-Hindu.

Sebaliknya candi-candi Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 menyedarkan kita bahawa ia adalah milik Tamadun Tanah Melayu; termasuk orang Melayu-Hindu dan India-Hindu pada masa dahulu.

Atas dasar itulah juga tugas serta tanggungjawab memelihara, memulihara serta mempertahankan Lembah Bujang tidak terletak pada bahu mana-mana kaum/agama tertentu. Sebaliknya ia menjadi tugas bersama Bangsa Malaysia yang cinta akan tamadun, sejarah dan warisan budaya bangsa.

Malah, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mensasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai tapak warisan dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), seperti dilaporkan di Utusan Malaysia (24 Jun 2013).

Penduduk kampung dipersalahkan

Hakikat ini membawa kita kembali kepada realiti yang berlaku apabila pihak pemaju didapati memusnahkan Candi Nombor 11 pada September 2013. Tentulah amat mengecewakan apabila “impian” Mukhiz seolah-olah cuba dimusnahkan pihak tertentu dalam hal melibatkan Candi Nombor 11.

Hampir sama seperti yang dilakukan secara penuh sedar oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Idris Haron yang secara terang-terangan membenarkan projek pembinaan dua hotel 22 tingkat, sebuah kondominium 12 tingkat dan tempat letak kereta 6 tingkat di atas tapak “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai perkampungan warisan.

Berbalik kepada isu Candi Nombor 11, apabila ditanya pada awal Disember 2013, pegawai Muzium Arkeologi Lembah Bujang dilaporkan memberikan jawapan yang kurang memuaskan mengenai sikap pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap kemusnahan yang berlaku kepada candi itu.

Muzium berkenaan tidak mahu mengaku bertanggungjawab kerana tapak berkenaan bukan terletak dalam bidang kuasa pemantauannya. Sebaliknya, seperti turut dilaporkan di The Malay Mail Online (3 Disember 2013), pihak muzium berpendirian bahawa para penduduk yang tinggal di sekitar kawasan candi itu yang sepatutnya telah tampil menghalang kerja-kerja meroboh.

“Mereka (penduduk) tinggal tidak jauh dari tapak candi itu. Tentu mereka sedar candi itu mahu dirobohkan apabila pemaju pergi membersihkan kawasan itu dua bulan lalu (September 2013). Tetapi mereka (penduduk) tidak buat apa-apa. Sekarang semua orang bising selepas candi dirobohkan dan tiada apa-apa yang tinggal,” kata pegawai berkenaan.

Semasa melawat tapak berkenaan, saya turut mengemukakan pertanyaan itu kepada beberapa penduduk yang membawa wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melawat tempat tersebut secara dekat.

“Candi asal sudah dipindahkan ke tempat lain dan apa yang ada di sini adalah replika yang dibina pada tahun 1974. Kawasan ini dikelilingi tanaman kelapa sawit. Jentera yang digunakan pemaju telah merobohkan candi itu dahulu sebelum mula menumbangkan pokok-pokok kelapa sawit.

“Hal ini bermakna, walaupun kami tinggal tidak jauh dari sini, kami tidak dapat melihat apa yang berlaku. Kami hanya menyedari candi sudah musnah apabila pokok-pokok kelapa sawit ditumbangkan dan kawasan ini dibersihkan,” kata seorang pemuda yang mengiringi kami melawat tapak terbabit.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengatakan bahawa mereka tidak menentang sebarang bentuk pemajuan dan pembangunan yang dirancang. Sebaliknya, mereka amat kecewa apabila pihak berwajib — termasuk Pejabat Tanah — “terlepas pandang” akan kewujudan Candi Nombor 11 apabila meluluskan tapak itu bagi pembinaan rumah.

Lembah Bujang, Kampung Chetti senasib?

“Kami amat kecewa kerana salah satu khazanah, sejarah dan warisan negara sudah musnah. Amat malang apabila pihak yang dipertanggungjawabkan gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Kami sebagai orang biasa hanya boleh buat bising dan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Kami tidak ada kuasa menentang pemaju kerana mereka sudah dapat izin kerajaan untuk membina rumah di sini,” kata penduduk yang ditemui pada 31 Januari 2014.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana nasih sudah pun menjadi bubur. Walaupun kerajaan negeri berjanji akan membina semula Candi Nombor 11, tentulah ia tidak akan sama.

Malah, apakah terdapat jaminan bahawa sejarah hitam seperti ini tidak akan berulang? Tambahan pula, semasa melawat Kompleks Tapak Arkeologi Sungai Batu, wakil Kavyan dimaklumkan beberapa individu bahawa sejumlah artifak yang ditemui sudah hilang.

Artifak sejarah, budaya dan warisan itu dikatakan kononnya hilang pada sebelah malam. Malah, ada juga desas-desus bahawa sejumlah artifak dibawa keluar menggunakan kenderaan khas, dan penemuannya tidak dilaporkan atau direkodkan.

Tentu sahaja semua ini membimbangkan para pencinta sejarah dan warisan negara kerana segala ketirisan yang berlaku – walau sekecil mana – akan memberikan kesan negatif terhadap usaha merekodkan sejarah tamadun awal negara ini; seawal orang Melayu di sini masih merupakan penganut Hindu-Buddha.

Masalah sama juga dihadapi Kampung Chetti apabila kerajaan negeri dan kerajaan pusat hanya membisu dan berpura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku; walaupun Kavyan membuat pendedahan demi pendedahan dengan kerjasama penduduk kaum Chetti sejak 16 Disember 2013.

“Kita berharap usaha dan bajet oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangun tempat itu (Tapak Arkeologi Sungai Batu) bakal dilaksanakan dengan jayanya dan pihak negeri akan pastikan kawasan itu menjadi warisan negara, bukan warisan Kedah sahaja,” kata Mukhriz (Utusan Malaysia, 24 Jun 2013).

Semoga tumpuan tidak hanya diberikan kepada tapak terbaru yang ditemui di Sungai Batu pada 2009; sebaliknya juga kepada candi-candi yang ditemui di tapak-tapak lain sejak 1840-an. Juga Kampung Chetti yang sudah diiktiraf UNESCO. Janganlah pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Copy and paste: 21 Januari 2022 ?> 19 Jamadilakhir 1443H: 8.32 pm

No comments: