Thursday, 27 January 2022

MEREKA LELUHUR KAMI


Salam sejahtera dan salam Ramadhan kepada semua. Tulisan saya kali ini mahu menyentuh sedikit perihal pihak tertentu yang menyatakan bahawa orang Melayu dan orang asli itu adalah satu entiti yang berbeza dan orang asli adalah pemilik sebenar semenanjung ini. Pada pendapat saya tujuan atau niat sebenar mereka berbuat demikian bukanlah untuk memperjuangkan nasib orang asli atau masalah-masalah yang mendepani mereka tetapi untuk mengatakan bahawa orang Melayu itu tidak layak diberikan status Bumiputra dan taraf orang Melayu itu adalah sama seperti kaum lain yang dianggap sebagai pendatang.

Tidak ada alasan untuk mereka mengatakan bahawa orang Melayu itu bukan pribumi Semenanjung atau Asia Tenggara secara keseluruhannya. Sebelum wujudnya sempadan wilayah negara bangsa moden seperti hari ini yang memisahkan Alam Melayu kepada negara-negara tertentu, Alam Melayu ini tidak terikat dengan sempadan tertentu yang boleh menghalang daripada masyarakatnya untuk berhijrah, berpindah randah dan bertukar-tukar tempat tinggal dari satu wilayah ke wilayah yang lain di seluruh Asia Tenggara malah hingga ke Madagaskar dan lautan Pasifik. 
Orang Melayu itu adalah pelaut atau perantau kelautan yang tegar. Mereka bebas bergerak kemana sahaja yang mereka mahu. Sifat wilayah-wilayah Alam Melayu itu adalah fluid. Baik Sumatera, Sememenanjung, Borneo, Sulawesi dan Pulau Jawa semuanya rumah-rumah bangsa rumpun Melayu.

Apa yang mengikat mereka bukanlah sempadan negara sebaliknya budaya sejagat dan yang paling penting adalah bahasa iaitu bahasa kelompok Austronesia. Hal inilah yang menyebabkan kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa suku kaum asli di semenanjung ini terutamanya dari kelompok Proto Malay sebagai saudara serumpun yang dekat dengan kita. Mereka juga bernaung dibawah kelompok yang berbahasa Austronesia sama seperti orang-orang Melayu Jambi, Champa, Jawa, Banjar, Bugis, Makassar, Batak, Nias, Minang, Boyan, Lombok, Hawaii, Maori, Tahiti, Kelantan, Pahang, Kedah, Pattani, Orang Sungai, Orang Kuala, Dayak Iban, Kadazan, Melanau, Murut, Penan, Tidung, Bajau, Sulu dan banyak lagi yang tak mampu disebut disini.

Golongan yang suka mengatakan Melayu itu pendatang atau di semenanjung yang ada hanya Jawa, Bugis, Banjar, Boyan dan Minang bukan Melayu, perlu meneliti beberapa perkara. Mengapa orang Bugis yang datang ke Johor dan Selangor sangat mudah untuk menyerap budaya Melayu Johor dan Selangor? Mengapa orang Jawa yang merantau ke Semenanjung sangat mudah berasimilasi dengan orang Melayu Johor? Mengapa orang Banjar, Mendahiling atau Rawa lebih rapat dengan orang Melayu berbanding dengan orang Thai, atau Burma dan Vietnam yang juga cari makan di tanah bertuah ini? Mengapa budaya berkeris ada pada orang Sulu, Jawa, Bugis dan Melayu? Budaya Batik dan Songket di Kelantan dan Terengganu juga ada pada orang Jawa dan Lombok. Dan yang paling penting mengapa kita lebih faham bahasa yang dituturkan mereka-mereka ini berbanding bahasa orang Thai, Burma, Bangla dan Nepal?

Adakah golongan yang kononnya mahu memperjuangkan kesamarataan hak dan keadilan ini betul-betul kenal dengan orang asli yang sering mereka sebut dan perkatakan itu? Atau mereka hanya menjadikan kaum asli sebagai alat propaganda untuk mencapai matlamat politik mereka? Pastinya mereka tidak tahu pun bahawa orang asli Proto Malay mempunyai terlalu banyak persamaan dengan orang-orang Melayu moden sendiri. Samaada dari segi fizikal iaitu rupa paras, warna kulit mahupun dari segi adat budaya serta bahasa yang dituturkan mereka. Jadi siapakah yang dimaksudkan sebagai Proto Malay ini?

Sebagai contoh suku orang asli yang dikategorikan sebagai Melayu Proto adalah orang Jakun dan Temuan. Mereka sebenarnya adalah kelompok kaum-kaum Austronesian yang tidak menerima atau tidak mahu menerima pengaruh tamadun samaada tamadun India, Cina, Arab dan lain-lain yang pernah masuk ke alam Melayu. Cuba kita bandingkan rupa paras orang Jakun dengan orang Melayu di kampung-kampung malah dengan orang Hawaii. Lebih kurang sama sahaja muka mereka. Malah saya sering melihat rupa-rupa yang ayu dan menawan sebujur sireh seperti yang sering digambarkan dalam puisi-puisi Melayu lama tentang anak dara Melayu wujud pada suku kaum Temuan dan Jakun ini. Tak percaya pergilah ke kampung-kampung mereka, anda pasti berjumpa dengan muka-muka yang anda rasa sangat kenal dan mesra.

Kaum Melayu Proto yang lebih maju iaitu yang kebiasaannya tinggal di pesisir pantai dan terdedah kepada pergaulan dan pengaruh antarabangsa lama kelamaan menolak Melayu Proto yang hidupnya berasaskan pertanian dan memburu binatang lebih jauh ke pedalaman. Melayu Proto yang tinggal di pesisir pantai dan menjalankan kegiatan perdagangan maritim lama kelamaan berubah menjadi Melayu Deutro. Mereka kemudiannya menubuhkan pusat-pusat pengumpulan barang dan pengkalan yang berevolusi menjadi kerajaan dan negarakota awal. Mungkin sejak dari itu mereka mengaku bangsa mereka sebagai 'Malayu'.

Antara persamaan yang paling ketara yang boleh saya tunjukkan diantara kaum Melayu Proto Temuan dengan orang Melayu adalah bahasa mereka. Sebagai contoh saya akan senaraikan beberapa perkataan Temuan yang sama atau mirip dengan perkataan Melayu. Antaranya ialah:

· Bahabah-labah-labah
· Bangat-sangat
· Basik-basi
· Bercelengko-berteleku
· Beladok-burung belatuk
· Bi’hiang-hilang atau tak nampak
· Bibik-bibir
· Bisan-besan
· Celincir-gelincir
· Encih-rincih
· Isau-pisau
· Kamin-kami

Bagaimana dengan orang asli Jakun? Adakah bahasa mereka juga mempunyai persamaan yang rapat dengan bahasa Melayu? Sudah tentu! Saya berikan sedikit contoh dalam perbualan harian dalam bahasa Jakun di Pahang:

AWAK TINGGAL DIMANA?
Ajeh duduk kat mano?

SAYA SUKA AWAK.
Kam suka kat ajeh.

SIAPA NAMA MAK AWAK?
Sapa namo mok ajeh?

AWAK BUAT APA TU?
Ajeh tengoh muat napa tu?

SAYA BERASA PENAT HARI INI.
Kuk seloi arik enik.

Dari sudut amalan dan adat istiadat juga suku kaum Melayu Proto ini sangat mirip dengan adat orang Melayu. Contohnya masyarakat Jakun, Temuan, Seletar dan Kanaq turut mengamalkan adat merisik, meminang malah bersanding dalam adat perkahwinan mereka. Kenapa? Anda ingat orang Hindu sahaja yang bersanding? Orang Asli pun bersanding. Malah mereka turut berbalas-balas pantun, memalu gendang dan gong. Tetapi yang berbezannya dengan orang Melayu zaman kita ialah masyarakat Jakun sangat menghormati perkahwinan dan hidup berumah tangga sehinggakan penceraian dianggap sesuatu yang taboo dan celaka jika berlaku. Oleh sebab itu memang susah untuk mencari orang Jakun yang bercerai kecuali kematian pasangan.

Baik, sekarang nampak atau tidak betapa rapatnya persamaan yang terdapat dalam bahasa orang asli kelompok Melayu Proto ini dengan bahasa Melayu? Kalau puak-puak Liberal, Chola dan Ultrakiasu masih tidak nampak itu bermakna mereka memang sengaja buat-buat tidak nampak kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa orang Melayu itu adalah Peribumi asal Tanah Semenanjung ini sama seperti orang Asli. Tetapi kalau ada orang Melayu sendiri yang masih buta dan masih tak nampak memang anda petualang bangsa yang tak boleh diajar. Itu belum lagi kalau kita lihat persamaan dalam bahasa-bahasa suku kaum Pribumi Borneo seperti Iban, Kadazan, Melanau dan Bajau, sememangnya sangat banyak persamaan bahasa malah budaya, kerana kita semua adalah serumpun dan tergolong dalam kelompok besar bangsa yang berbahasa Austronesia, ingat itu Austronesia!

Sebab itu kita tidak boleh terima hujah dangkal yang memisahkan orang Melayu dengan orang asli di semenanjung dan membeza-bezakannya dengan pribumi Sabah dan Sarawak. Kita dan suku kaum ini adalah serupa. Malah kajian DNA juga telah membuktikannya. Alam Melayu malah Asia Tenggara ini adalah rumah rumpun bangsa Melayu. Kami berhak untuk berpindah randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Penyebaran kami dari satu pulau ke pulau atau sememanjung tidak menjadikan kami sebagai pendatang. Kerana semua kawasan ini adalah kawasan kami.

Suku kaum yang datang luar dari kawasan kepulauan Melayu inilah yang boleh dikategorikan sebagai pendatang. Kerana anda datang dari benua lain yang masyarakatnya mempunyai budaya dan bahasa yang sangat ketara perbezaannya dengan etnik-etnik dibawah rumpun kami Austronesia. Anda datang dari The Middle Kingdom Tanah Besar China dan anda datang dari Benua Kecil India Bharata atau Jambu Dwipa. Tetapi anda mengatakan bangsa anda bukan pendatang? Bukankah datuk nenek malah mungkin ayah dan ibu anda baru sahaja menapak di bumi kami ini tak lebih dari seratus ke seratus lima puluh tahun yang lalu? Ini sangat melucukan.

Jika Sumatera dikatakan asal-usul Melayu, kerajaan orang apa yang wujud dari Johor sampai ke Segenting Kra sejak beribu tahun dahulu? Lankasuka, Chih-tu, Gangga Negara, Gelanggiu, Pan-pan, Peng keng Temasik dan Tiumah adalah kerajaan-kerajaan orang Melayu atau orang Proto Melayu yang telah bertamadun. Ptolemy, pelukis peta Yunani dari Mesir melabelkan Pulau Phuket di Thailand sebagai Jung Si Lang dalam petanya tahun 157 Masehi iaitu hampir 2000 tahun dahulu. Tetapi pihak kolonial menafsirkannya sebagai 'Junk Ceylon'. Namun nama sebenar pulau tersebut adalah berasal daripada bahasa Melayu iaitu Hujung salang. Hal ini membuktikan orang yang bertutur dalam bahasa Melayu itu sudah wujud di Phuket sejak 2000 tahun dahulu. Tak kisahlah mereka Orak Lawoi ke, Orang Seletar, Jakun, Kanaq atau orang-orang Asli yang lain. Apa yang penting mereka adalah leluhur kita. Sekian Wallah hu a’lam.

~ASJ~
Copy and paste:
27 Januari 2022 > 24 Jamadilakhir 1443H: 11.37 am


No comments: