Wednesday 9 October 2019

PASUKAN SIMPANAN SUKARELA TENTERA LAUT NEGERI-NEGERI SELAT SINGAPURA



Credit to : En. Ahmad Rafael
FB Veteran Tentera Laut
Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-Negeri Selat (SSNVR) merupakan asal usul Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). SSNVR telah ditubuhkan di Singapura pada 27 April 1934. Pegawai Memerintah SSNVR yang pertama ialah Komander L.W. Johnson MVO, RN. Beliau dibantu oleh anggota-anggota dari Tentera Laut Diraja British (RN), serta seorang Sarjan Mejar, Adnan Raji yang dipinjam dari Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Selat (SSVC) sebagai jurulatih kawad. Sarjan Mejar Adnan kemudiannya menjadi anak Melayu pertama dinaikkan ke pangkat Bintara Kanan.

Kapal SSNVR pertama, HMS LABURNUM yang ditauliahkan pada 18 Februari 1935, telah digunakan sebagai pelantar latihan laut. HMS LABURNUM adalah bekas kapal Tentera Laut Diraja New Zealand seberat 2000 tan kelas Flower-Corvette lengkap dengan meriam tiga-pounder dan meriam 4.7 inci. HMS LABURNUM kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah markas dan pusat pentadbiran bagi SSNVR. Bersama HMS LABURNUM, terdapat juga sebuah kapal kecil, HMS PENYENGAT yang digunakan untuk melatih rekrut dalam kemahiran kelautan dan pandu arah. Menjelang 1937, dua motobot laju 75 kaki, lengkap dengan meriam Lewis, iaitu HMS PANGLIMA dan HMS PAHLAWAN telah ditauliahkan untuk tugas rondaan pantai.
PASUKAN SIMPANAN SUKARELA TENTERA LAUT NEGERI-NEGERI SELAT PULAU PINANG
Pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) telah diperbesarkan pada Oktober 1938 apabila cawangannya di Pulau Pinang ditubuhkan. Pada mulanya ia dikenali sebagai SSNVR Pulau Pinang tetapi kemudiannya dinamakan Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya (Malayan Royal Navy Volunteer Reserve-MRNVR) Pulau Pinang. HMS PANJI yang ditauliahkan di Singapura, kemudiannya ditukarkan ke Pulau Pinang untuk tujuan latihan. Dua tahun kemudian, MRNVR Pulau Pinang memperolehi dua bot ronda, HMS TRANG, HMS JERANG dan lima Kapal Penyapu Periuk Api. Mohd Zin Hussin, anak Melayu pertama dari SSNVR Pulau Pinang telah ditauliahkan sebagai seorang pegawai. Beliau kemudiannya menyertai Force 136 bersama dengan Mohd Nor Rani, Sulaiman Dol dan 3 anggota yang lain dari Seksyen Melayu, Tentera Laut Diraja British.

SEKSYEN MELAYU TENTERA LAUT DIRAJA BRITISH
Untuk memperkuatkan pasukan simpanan tempatan, pihak British telah menubuhkan satu Seksyen Melayu dalam Tentera Laut Dirajanya pada 1939. Usaha pengambilan anggota ini sangat berjaya. Seramai kira-kira 400 anak Melayu masuk berkhidmat dan menjadi perintis Seksyen Melayu ini yang juga dikenali sebagai Tentera Laut Melayu. Tentera Laut Melayu ini diperbesarkan dengan pesat daripada sejumlah 400 anggota pada 1939 kepada 1430 anggota pada 1941. Anggota-anggota Tentera Laut Melayu ini telah dilatih di Pusat Latihan Tentera Laut Melayu, HMS PELANDOK. Pada 11 Februari 1942, pusat latihan ini telah musnah semasa serangan udara Jepun.
Apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 1942, kira-kira 150 anggota Tentera Laut Melayu telah dipindahkan ke Ceylon (Sri Lanka), Afrika Timur dan India di mana mereka terus berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja British. Anggota-anggota ini kembali bersama Pasukan Pembebasan pada September 1945. Sebahagian daripada mereka kembali lebih awal dengan Force 136 anjuran British. Malangnya disebabkan oleh kekangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Melayu telah dibubarkan pada April 1947 tetapi pejabat rekod Tentera Laut Melayu masih disenggarakan di HMS SULTAN di Singapura.

TENTERA LAUT MALAYA
Apabila tercetusnya Darurat Pertama pada 1948, pihak British telah menyedari betapa perlunya Tentera Laut Melayu segera dihidupkan semula. Setelah beberapa bulan rundingan undang-undang dijalankan, Ordinans Tentera Laut Malaya akhirnya diluluskan oleh Majlis Perundangan Singapura pada 24 Disember 1948. Ini disusuli dengan tindakan mewartakan Peraturan Tentera Laut Malaya pada 4 Mac 1949. Ramai bekas anggota Tentera Laut Melayu diambil berkhidmat dan mereka merupakan nukleus Tentera Laut Malaya yang baru ditubuhkan ini.
Kapal pertama Tentera Laut Malaya adalah sebuah Kapal Pendarat Kereta Kebal (Landing Craft Tank-LCT) No. 341 seberat 300 tan yang diperbaharui, hadiah daripada British pada 18 April 1949. LCT ini telah ditauliahkan sebagai HMS PELANDOK. Dua bulan kemudian, Jabatan Admiralti British di London bersetuju untuk menyerahkan Kapal Pendarat Meriam (Landing Craft Gun-LCG) No. 450. LCT kemudiannya dinamakan semula HMS MALAYA sementara LCG menggunakan nama HMS PELANDOK. Selain itu, British juga memindahkan lima Motorbot Laju Pertahanan Arah Laut atau SDML atas dasar pinjaman tetap. Sementara itu, kawasan Woodlands yang bersebelahan Pangkalan Tentera Laut Diraja British di Sembawang, Singapura telah dipilih sebagai tapak Pangkalan Tentera Laut Malaya. Kerja pembinaan Pangkalan Tentera Laut di Woodlands bermula pada 1949.
Semasa Darurat Malaya yang pertama, Tentera Laut Malaya memainkan peranan yang penting dalam operasi pemusnahan pengganas. HMS PELANDOK memberikan bantuan tembakan dalam bentuk pembedilan pantai besar-besaran ke atas kawasan-kawasan sarang komunis dengan meriam 4.7 inci. Tentera Laut Malaya juga mengadakan rondaan menentang lanun, membanteras penyeludupan dan perlindungan perikanan. Pada Ogos 1952, Queen Elizabeth II menganugerahkan gelaran “Diraja” kepada Tentera Laut Malaya sebagai pengiktirafan perkhidmatannya dengan British. Justeru itu, semua kapal dan pangkalan telah dinamakan semula sebagai “Her Majesty Malayan Ship” (HMMS) dan Tentera Laut Malaya menjadi Tentera Laut Diraja Malaya.

PEMBESARAN TENTERA LAUT DIRAJA MALAYA
Tentera Laut Diraja Malaya beransur-ansur berkembang dengan perolehan aset yang baru. Pada tahun 1954, sebuah Kapal Periuk Api telah dipindahkan ke Tentera Laut Diraja Malaya dan dinamakan semula HMMS PENYU. Ini disusuli dengan dua lagi Motorbot Laju Pertahanan Arah Laut atau SDML pada 1955. Ketujuh-tujuh SDML kemudiannya membentuk Skuadron Kapal Ronda Arah Laut Ke-200.
Selepas mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memerlukan Tentera Lautnya sendiri. Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaya adalah terlalu besar untuk keperluan Singapura. Rundingan dijalankan di antara Kerajaan Malaya dan Britain untuk memindahkan beberapa aset tentera laut ke Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12 Julai 1958, Tentera Laut Diraja Malaya dan dua bahagian Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya telah dipindahkan dari Singapura ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Panji-Panji Tentera Laut Diraja British telah digantikan dengan Panji-Panji Persekutuan Tentera Laut Diraja Malaya. Huruf “HMMS” bagi “Her Majesty’s Malayan Ship” telah diterjemahkan ke bahasa kebangsaan menjadi “Kapal Diraja” (KD). Dari tempoh 1959 hingga 1960, empat buah Kapal Penyapu Periuk Api Pesisir dan satu Kapal Penyapu Periuk Api Tepi Pantai (KD MAHAMIRU) telah dipindahkan ke Tentera Laut Diraja Malaya. Pada 1961, kapal pesiaran (yacht) dif-dif kenamaan yang diberi nama KD MUTIARA telah dibina. Serentak dengan perpindahan aset tentera laut ke Persekutuan Tanah Melayu, pemerintahan operasi dan pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya telah diambil alih oleh Cawangan Tentera Laut di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Cawangan ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Bahagian Turus Tentera Laut (BTTL) yang kemudiannya dikenali sebagai Departmen Tentera Laut, Kementerian Pertahanan. Dalam langkah penyusunan semula, Departmen ini dinamakan Markas TLDM sejajar dengan Markas Tentera Darat dan Markas TUDM.

TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA
Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, Tentera Laut Diraja Malaya menjadi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan nama ini kekal hingga sekarang. Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya (MRNVR) bahagian Singapura termasuk Singapore Women Auxiliary Naval Service (SWANS) telah dipindahkan dengan rasminya dari Tentera Laut Diraja British ke TLDM. Dari 1963 hingga 1967, TLDM melalui tempoh perkembangan pesat akibat daripada Konfrontasi Indonesia. Kekuatan anggotanya telah ditambah daripada 1,283 kepada 2,753 orang. Dua pemerintahan operasi tentera laut telah ditubuhkan iaitu Pemerintahan Barat di bawah Panglima Wilayah Laut Malaysia Barat (NOIC WEST) yang berpangkalan di Woodlands, Singapura dan Pemerintahan Timur di bawah Panglima Wilayah Laut Malaysia Timur (NOIC EAST) yang berpangkalan di Labuan, Sabah. Pangkalan tentera laut tambahan telah juga ditubuhkan di Sibu, Sarawak dan Tawau, Sabah. Banyak lagi aset tentera laut diperolehi dalam bentuk kapal-kapal seperti berikut:
5 Kapal Penyapu Periuk Api Tepi Pantai atau CMS (bekas CMS Tentera Laut Diraja British).
2 Kapal Penyapu Periuk Api Pesisir atau IMS (bekas IMS Tentera Laut Diraja British).
4 Kapal Ronda Laju atau FPB.
24 Kapal Ronda atau PC.
5 Kapal Pendarat Berjentera atau LCM.
15 Kapal Pendarat Anggota atau LCP.
1 Kapal Pendarat Kereta Kebal atau LCT (bekas LCT Tentera Laut Diraja British).
1 Frigat (bekas Frigat Tentera Laut Diraja British).
Dari 1970 hingga 1979, sekali lagi TLDM melalui perkembangan yang pesat. Perkembangan ini serentak dengan pembangunan Pangkalan TLDM Lumut dan pangkalan hadapan di Tanjung Gelang, Kuantan. Kapal-kapal yang lebih laju dan besar telah diperolehi, membolehkan TLDM mempunyai jangkau, kuasa tembak dan keupayaan prestasi yang lebih baik. Beberapa aset yang diperolehi adalah termasuk sebuah Kapal Penyapu Periuk Api Tepi Pantai (bekas CMS Tentera Laut Diraja British) untuk tugas mengukur, satu “Diving Tender”, tiga LCT (bekas LCT Amerika Syarikat), dua Frigat kegunaan am, sembilan Bot Sungai, enam Kapal Serang Laju (Meriam), satu bot tunda pelabuhan dan lapan Kapal Serang Laju (Misil).
Apabila Malaysia mengisytiharkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika pada 1979, peranan TLDM secara automatik bertambah meluas. Kekuatan anggota bertambah daripada 6000 orang pada 1979 kepada kira-kira 8700 orang pada 1983. TLDM juga telah membeli dua buah Corvette dari Jerman lengkap dengan Misil Permukaan ke Permukaan atau SSM, satu Kapal Pemerintahan dan Bantuan Pelbagai Guna atau MPCSS serta satu Skuadron yang mengandungi empat buah Kapal Pemusnah Periuk Api Kelas Lerici buatan Itali;-

Kredit Unit Sejarah Angkatan Tentera Malaysia (Unit Sejarah ATM). Kemaskini Akhir : Aug 26, 2019 @ 6:45 pm

As'salam dan Selamat Pagi Warga Veteren Tentera Laut.
Copy and paste: 9 Oktober 2019 : 5.26 pm

No comments: