Tuesday 22 October 2019

IDEA, KONSEP, CIRI-CIRI, DAN PENYELESAIAN BRITISH TERHADAP PENENTANGAN MALAYAN UNION

Oleh : Ahmad Hassan Azik
Facebook : Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara).

IDEA AWAL PENUBUHAN MALAYAN UNION

Selepas perang dunia ke-2, Rancangan Kesatuan Malaya telah dibentuk oleh Whitehall bagi membentuk dasar-dasar perubahan baru di Tanah Melayu. Pada bulan Oktober 1945, British menetapkan 3 perubahan dasar utama sebelum perang yang perlu ditekankan iaitu kedaulatan raja-raja, autonomi negeri-negeri melayu dan hak istimewa orang melayu.
Sebelum pelaksanakan rancangan Malayan Union , pada awalnya sebuah badan telah dibentuk untuk menjadi perangka awal perlembagaan baru yang akan dibentuk seterusnya membentuk perancangan masa hadapan untuk Tanah Melayu di bawah pemerintahan Malayan Union. Oleh itu, pada mac 1943 satu badan Istimewa telah dibentuk iaitu MPU (Malayan Planning Unit) yang diletakkan di bawah jabatan timur jauh pejabat tanah jajahan.
MPU diketuai oleh Mejar jeneral Ralph Hone yang mempunyai kepakaran dalam bidang kehakiman dan pentadbiran semasa bertugas di Afrika dan Gibraltar. Setelah kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945, Tanah Melayu diletakkan di bawah BMA (British Military Administration) yang mentadbir dari tahun 1945 hingga 1946.
Namun, kelemahan dan kekurangan pegalaman dalam bidang pentadbiran para pegawai BMA menyebabkan ia gagal untuk menangani masalah-masalah yang berlaku selepas tamatnya perang dunia kedua. Antara masalah yang tidak dapat diatasi BMA adalah seperti tidak dapat mengawal tentera-tenteranya yang bertindak sewenang-wenangnya serta melanggar undang-undang, menimbulkan kesulitan rakyat apabila mengumumkan bahawa wang Jepun tidak laku (memberi tekanan ekonomi kpd rakyat), pergaduhan kaum dan balas dendam yang berlaku secara berleluasa serta gagal membendung kesan sosial jepun di Tanah Melayu seperti pasaran gelap, penyeludupan, rasuah, dan sebagainya.
Akibatnya, pada bulan April 1946, BMA menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam dan tindakan ini diharapkan dapat menyelesaikan serta memberi keyakinan batu terhadap Tanah Melayu. Pada 1945, pelan baru telah dirangka dan diluluskan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berpusat yang dikenali sebagai Malayan Union dan ini akan menggantikan pentadbiran BMA (British Military Administration) yang mentadbir sebelumnya. Secara kronologinya perkara-perkara asas ini merupakan pencetus idea awal penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu.
KONSEP PENUBUHAN MALAYAN UNION
Dalam penubuhan Malayan Union, konsep asas yang diketengahkan oleh pihak British adalah untuk membentuk satu asas pentadbiran yang berpusat di mana segala kuasa legislatif, kehakiman dan eksekutif di bawah kekuasaan British. Melihat kepada aspek Politik, dalam melaksanakan pemusatan pemerintahan ini, kuasa akan diletakkan di bawah seorang ketua jeneral yang dilantik sendiri oleh permaisuri,London.
CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYAN UNION
Pelembagaan Malayan Union telah dibentuk secara rasmi melalui “kertas putih 6724” pada 22 januari 1946. Perlembagaan Malayan Union, telah menggariskan beberapa isi penting dalam pentadbirannya antaranya negeri-negeri melayu bersekutu, negeri-negeri melayu tidak bersekutu, dan negeri-negeri selat (kecuali Singapura kerana berkepentingan sebagai kawasan pelabuhan bebas) akan diletakkan di bawah satu pentadbiran.
Perkata ini dilakukan oleh British adalah untuk membentuk satu penyeragaman pentadbiran serta sistem perundangan. Kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa menguruskan hal ehwal tempatan, namun memerlukan persetujuan pusat dalam membuat keputusan. Dibawah pentadbiran Malayan Union juga akan dilantik seorang Gabenor British melalui pelantikan secara rasmi oleh ratu England dan akan dibantu oleh dua badan utama iaitu majlis eksekutif dan majlis perundangan.
Melihat dari sudut pemberian hak kewarganegaraan pula, Malayan Union mengamalkan prisip kerakyatan “Jus Soli” di mana prinsip ini memberikan taraf kerakyatan yang sama rata. Taraf kerakyatan diberikan kepada semua warga asing yang dilahirkan di Tanah Melayu atau Singapura serta mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di sana untuk tempoh 10 daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942.
Rakyat British boleh mendapat kerakyatan Malayan Union tanpa hilang kerakyatan british dan seseorang yang menjadikan identity Malayan Union sebagai identity kebangsaan perlu mengangkat sumpah taat setia kepada Malayan Union. Ciri seterusnya adalah melihat kepada kedudukan sultan di mana kuasa penuh raja akan diambil alih oleh Gabenor dan raja-raja melayu hanya akan menjadi ahli Majlis raja-raja Melayu yang terhad membincangkan tentang adat istiadat dan agama islam.
Seorang Pesuruhjaya Negeri dilantik untuk menjadi ketua pentadbir di setiap negeri bagi mengawal selia pentadbiran di setiap wilayah. Sistem Perundangan pula akan diselaraskan mengikut undang-undang British.
PENYELESAIAN TERHADAP TUNTUTAN MALAYAN UNION
Penubuhan Malayan Union telah mendapat banyak penentangan daripada kaum melayu khususnya, oleh itu dalam menyelesaikan pertikaian yang berlaku terdapat beberapa usaha yang dijalankan oleh parti-parti politik awal yang terbentuk di tanah Melayu. Usah pertama yang dilakukan adalah mengusulkan pelembagaan rakyat.
Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang diketuai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy telah melakukan kerjasama dengan pertubuhan bukan Melayu All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock pada 4 hingga 7 Julai 1947, untuk merangka perlembagaan yang alternative bagi menggantikan perlembagaan Malayan Union.
Terdapat sepuluh isi utama perlembagaan rakyat iaitu Malaya bersatu termasuk Singapura, Satu dewan perundangan pusat bagi seluruh Malaya dengan keseluruhan ahlinya dipilih oleh orang ramai, Hak politik yang sama bagi semua orang yang menganggap Malaya sebagai tanah airnya dan sebagai tumpuan taat setianya, Sultan Melayu haruslah mengambil tempatnya sebagai raja berperlembagaan yang berdaulat penuh, dan menerima nasihat rakyat melalui institusi-institusi demokratik, bukan ‘penasihat-penasihat’ British, Perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu haruslah diletakkan dalam penguasaan orang-orang Melayu semata-mata, Perhatian khas harus diberikan kepada kemajuan orang-orang Melayu, Bahasa Melayu haruslah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal bagi Malaya, Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Malaya dan British, Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu, Merah dan putih haruslah dimasukkan sebagai latar bendera kebangsaan Malaya.
Walaupun rancangan telah diusulkan pada awalnya, namun perlembagaan ini tidak ditolak oleh kerajaan British kerana ianya diusulkan oleh parti politik berhaluan kiri. Oleh itu, penentangan gerakan-gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang berterusan dari awal penubuhan Malayan Union, 1945 hingga 1948 telah membawa kepada termenterainya perlembagaan persekutuan tanah melayu pada 1 Februari 1948.
Pembentukan pelembagaan ini merupakan penyelesaian kepada segala pertikaian yang berlaku dalam sistem pentadbiran Malayan Union dan berjaya mengembalikan beberapa perkara penting tentang kuasa dalam sistem kerajaan, hak orang melayu dan agama islam. Antara isi utama perlembagaan Tersebut adalah Persekutuan mengandungi sembilan buah Negeri Melayu dan dua Negeri Selat.,
Singapura tetap diasingkan sebagai sebuah tanah jajahan Mahkota (crown colony), Pembentukan sebuah kerajaan pusat yang kuat dengan kuasa legislatif yang meluas menerusi Majlis Legislatif Persekutuan, Ketua Kerajaan ialah Pesuruhkaya Tinggi British yang dilantik oleh Baginda Queen, Majlis Eksekutif Persekutuan juga ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada Pesuruhjaya Tinggi British termasuklah Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan, Kewujudan kerajaan-kerajaan negeri dengan kuasa yang terhad dan terbatas, Kedudukan dan fungsi raja-raja Melayu telah dipulihkan semula, Hak istimewa orang Melayu dikekalkan dan Pemberian taraf kerakyatan telah diperketatkan melalui syarat-syarat yang tertentu. Pembentukan Pelbagaan Persekutuan, 1948 ini merupakan penyelesaian muktamad terhadap penubuhan Malayan Union dan seterusnya pembubaran Malayan Union dilakukan pada 21 Januari 1948.
RUJUKAN
Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur : Utusan
Publication and Distributors Sdn.Bhd

A.J.Stockwell. 1978. British Policy and Malay Politics During the Malayan Union Experiment (1942-1948). Kuala Lumpur : MBRAS.
F.S.V.Donnison. 1979. British Military Administration in the Far East (1943-1946). Kuala Lumpur : MBRAS.
Abdul Rahman Haji Ismail. 2009. 1948 AND THE COLD WAR IN MALAYA: SAMPLINGS OF MALAY REACTIONS. USM. Vol (2)
Kassim Thukiman. 2002. Malaysia : perspektif, sejarah dan politik. Johor : Universiti Teknologi Malaysia.
Copy and paste: 22 Oktober 2019: 5.41 pm

No comments: