Tuesday 22 October 2019

‘Malaysia’ Sebelum Kewujudan Negara Malaysia –Siri 3–

Oleh : Ibnu Rusydi
1. Ramai yang menyangka cadangan untuk menggunakan nama ‘Malaysia’ sebagai nama sebuah negara hanya bermula pada tahun 1960-an iaitu susulan daripada cadangan untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak ke dalam sebuah gagasan persekutuan.
2. Sedangkan setahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dicapai pada 1957, orang-orang Melayu yang tinggal di Indonesia telah membentuk satu badan yang dipanggil sebagai ‘Ikatan Persaudaraan Indonesia-Malaysia’ untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat kedua-dua wilayah. Badan ini telah dibentuk di Jakarta dan mendapat sokongan tokoh Indonesia yang terkenal (Singapore Standard, 27 Mac 1956).
3. Nama ‘Malaysia’ sebenarnya telah dicadangkan untuk digunakan sebagai nama negara lebih awal lagi iaitu sewaktu Tanah Melayu ingin mencapai kemerdekaan. Melalui rujukan kepada akhbar The Straits Times bertarikh 25 Jun 1956, sebuah memorandum oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang diketuai oleh Tuan Haji Abdullah Bakti antara kandungannya telah mencadangkan supaya Persekutuan Tanah Melayu yang bakal merdeka dinamakan sebagai ‘Malaysia’.
4. Selain itu, terdapat juga cadangan untuk menamakan Tanah Melayu yang bakal merdeka sebagai Langkasuka yang bermaksud ‘land of happines’ yang diusulkan oleh Inche Senu bin Abdul Rahman. Tetapi tidak dipersetujui kerana terlalu tempatan (too local) dan mewakili nama sebuah kerajaan purba yang hanya pernah wujud di kawasan utara semenanjung tetapi tidak mewakili wilayah selatan yang turut mempunyai nama kerajaan purba masing-masing seperti Melaka dan Temasek (The Straits Times, 24 Ogos 1956).
5. Cadangan penggunaan nama ‘Malaysia’ bagi negara Tanah Melayu yang merdeka mendapat sokongan penuh daripada UMNO, tetapi MCA mahukan nama ‘Malaya’ dikekalkan, manakala MIC juga lebih cenderung kepada ‘Malaya’ (The The Straits Times, 18 September 1956).
6. Masyarakat Melayu lebih cenderung kepada nama ‘Malaysia’ sebagai nama negara Tanah Melayu yang merdeka berbanding nama ‘Malaya’ kerana istilah ‘Malayan’ mempunyai maksud ‘jahat’ (sinister) yang mengingatkan semula kepada gagasan ‘Malayan Union’ yang pernah cuba dipaksakan oleh penjajah Inggeris. Justeru itu, perkataan ‘Malayan’ merupakan satu ‘anathema’ bagi orang Melayu (The Straits Times, 25 February 1960).
7. Namun begitu, cadangan penggunaan nama ‘Malaysia’ sebagai nama negara bagi Tanah Melayu yang merdeka tidak mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Reid yang menyatakan T.O.R. (Terms of Reference) mereka tidak termasuk apa-apa cadangan untuk menukar nama Malaya (The Straits Times, 21 February 1957).
8. Justeru itu, apabila kemerdekaan Tanah Melayu berjaya dicapai pada tanggal 31 Ogos 1957, nama rasmi yang digunakan adalah Persekutuan Tanah Melayu atau ‘Federation of Malaya’ dalam Bahasa Inggeris.
9. Apa yang menariknya, di Filipina pada tahun 1962, seorang senator beragama Islam iaitu Dr. Ahmad Domocao Alonto telah membentangkan sebuah rang undang-undang (Bill) di dalam Senat Filipina bagi cadangan untuk menukar nama negara tersebut kepada ‘Malaysia’.
10. Menurut Minako Sakai (2007), ketika usul tersebut masih diperdebatkan di Kongres Filipina, nama ‘Malaysia’ telahpun diisytiharkan sebagai nama negara Persekutuan baharu yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tanggal 16 September 1963.
11. Jadi Tanah Melayu (Malaya) sebenarnya telah mencadangkan pertukaran nama negaranya kepada ‘Malaysia’ lebih awal iaitu pada sekitar tahun 1956 berbanding dengan Filipina yang hanya bermula pada tahun 1962.
Baca juga :
2. 'Malaysia' Sebelum Kewujudan Negara Malaysia -Siri 2-


Copy and paste: 22 Oktober 2019 : 6.18 pm

No comments: