Friday, 25 October 2019

KITAB TARIKH FATANI

Oleh Nabil Nadri

1) Tarikh Fatani adalah kitab sejarah yang asalnya ditulis oleh Syeikh Safiuddin keturunan Bani Abbas dari Pasai. Sumber kitab ini adalah rumusan daripada pelbagai sejarah lisan Siam, Cina dan Arab yang ditemui penulis di Patani sekitar abad ke-16 masihi.
2) Ia kemudian diperkemas oleh keturunannya Syeikh Wan Ali al-Fathani dan ditahqiq lagi okeh Syeikh Wan Daud al-Fathani pada zaman muta'akhir (abad ke-19/20 masihi) seperti yang kita dapat baca.
3) Kitab tarikh ini menepati garismasa sumber pensejarahan empayar Srivijaya yang sedia ada disamping mengemukakan perincian yang tidak didapati pada sumber lain.
4) Asal negeri-negeri Melayu di semenanjung adalah Kedah, Patani, Ligor (Nakhorn Si Thammarat), dan Singgora (Songkhla) yang mula diperintah keluarga Mahabangsa sekitar 200 masihi. Langkasuka merujuk kepada Patani.

5) Menurut kitab ini orang Cina memanggil negeri-negeri ini sebagai Chihtu termasuk Langkasuka. Kedah adalah ibukota manakala Langkasuka di Patani adalah cawangannya di pantai timur.
6) Langkasuka diperintah oleh Raja (Maha?)Bangsa. Raja Bangsa melahirkan Indrabangsa dan Chandrabangsa. Indrabangsa mewarisi takhta Ligor manakala abangnya Chandrabangsa di Kedah.
7) Pada sekitar 700-an Raja Sangjayabangsa yang memerintah Sribijaya di Balimban (Palembang) dan Mulku Jawa (Medang, Jawa Tengah) dikatakan telah datang dan menakluk semenanjung.
8) Dikatakan kerajaan Mahabangsa lemah pada waktu itu dan kerajaan Sribijaya mahir dalam pelayaran serta agresif. Permulaan masuk Bahasa Melayu disamping bahasa asli Bahasa Langkawi, Sanskrit dan Bali.
9) Baginda berkahwin dengan anak raja Mahabangsa di Langkasuka lalu melahirkan seorang puteri. Sejak hari itu keturunan Sribijaya di semenanjung dianggap sebagai Mahabangsa.
10) Kemudian puteri baginda dilamar seorang raja Langkasuka tapi ditolak. Baginda menubuhkan sebuah kota di hilir Langkasuka tempat untuk bersemayam anak dan isterinya lalu dinamainya Patani, sempena nama Pak Tani.
11) Pada sekitar 750 Raja Sangjayabangsa telah memerangi dan menakluk orang Khmer di utara semenanjung dan negeri Kemboja yakni Chempaka Pura. Kejayaannya ditandakan dengan pembinaan Kota Jaya (Chaiya) dan baginda berkahwin dengan puteri Khmer.
12) Tokoh ini berkemungkinan maharaja dari keluarga Sailendra-Sanjayavamsa yang memerintah empayar Srivijaya dari Jawa Tengah dan telah mendirikan Prasasti Ligor bertarikh 770-an. Baginda telah mengalahkan Chenla (Chempaka Pura) dan membina beberapa monumen keagamaan disana.
13) Sangjayabangsa telah dibantu oleh Anuradhabangsa anak Indrabangsa cucu Raja Bangsa ketika peperangan melawan kerajaan Chempaka Pura.
14) Peristiwa konflik perkahwinan antara anak-anak raja Mahabangsa Ligor dan Singgora. Perdamaian dicapai apabila perkahwinan dipersetujui.
15) Zaman kemasukan pedagang Arab dan Parsi. Peristiwa perkahwinan antara pedagang Parsi dengan anak raja Singgora melahirkan Sulaiman Shah. Legenda Kota Mahligai dalam HSS dan HP mungkin legenda awal yang disadur kembali dalam hikayat Melayu terkemudian.
16) Perkahwinan puteri Singgora ini menimbulkan kemarahan raja Mulku Jawa kerana sepatutnya dikahwinkan dengan anak lelakinya. Kedamaian dicapai apabila putera Mulku Jawa dikahwinkan dengan puteri Langkasuka.
17) Pada 800-an berlaku peperangan besar antara keluarga Sribijaya dan Sulandra di Mulku Jawa. Raja Sribijaya lari dari Balimban dan bertapak di semenanjung (Kedah?). Permulaan kemasukan pengaruh Bahasa Jawa.
18) Hal ini sejajar dengan kewujudan konflik antara keluarga Sailendra-Srivijaya dengan keluarga Sailendra-Sanjaya yang memerintah persekutuan Srivijaya dari Jawa Tengah. Rentetannya Maharaja Balaputradewa berundur ke Kedah dan menurunkan dinasti Sailendra-Srivijaya di semenanjung.
19) 500 tahun setelah pertapakan Sangjayabangsa dari keluarga Sribijaya di Jaya (sekitar 1100 sehingga 1200) Islam mula diterima dengan meluas di selatan semenanjung (Kedah, Singgora dan Patani) . 1163 Islam di Kedah menurut HMM.
20) Pergolakan antara keluarga Sribijaya-Mahabangsa di Kedah, Singgora dan Patani dengan yang memerintah di Ligor dan Jaya. Serangan Ligor dan Jaya memusnahkan Kedah dan raja Sribijaya lalu lari ke Patani. Ligor dan Jaya mengasaskan Tamrasinga.
21) Perkembangan ini sejajar dengan kejatuhan hegemoni Srivijaya (Sanfochi) di Kedah selepas 1220-an dan naiknya Ligor di bawah kepimpinan Maharaja Chandrabanu Dharmaraja sekitar 1230-an yang menakluk seluruh semenanjung dan berlayar ke Sri Lanka.
22) Tamrasinga agak ralat untuk dipadankan dengan Tambralingga kerana ia sudah wujud lebih awal. Mungkin ini merujuk kepada pembukaan kota lain berdekatan Tambralingga. Paling menarik Tamrasinga mungkin sebenarnya adalah penempatan Tamasek di selatan semenanjung yang akan menjadi Singapura pada 1290-an masihi!
- Tuan Merbok
Copy and paste: 25 Okt 2019 : 3.49 pm

No comments: