Thursday 5 September 2019

SERANG HENDAP KOMUNIS DI SUNGAI STABAU, SIBU 6 APRIL 1973

Artikel dari FB Borneo Oracle

BATALION 15 Pasukan Polis Hutan yang sekarang dikenali sebagai Batalion 10 Pasukan Gerakan Am di Kem Lanang, Sibu merupakan antara pasukan polis yang banyak mengungguli cerita pertahanan Sarawak sejak di zaman konfrontasi sehinggalah ancaman komunis PARAKU di Sarawak suatu ketika dahulu. Di dalam kejayaan mereka sebagai antara barisan hadapan di Sibu sewaktu dahulu ada satu kisah tragis yang mungkin ramai antara kita generasi baru anak Sarawak langsung tidak mengetahuinya.
Mengimbau cerita penuh tragis yang berlaku 46 tahun dulu yakni pada tanggal 6 April 1973, beberapa hari sebelum itu satu platun pasukan polis hutan dengan jumlah keanggotaan seramai 29 orang telah diarahkan untuk membuat rondaan di sekitar kawasan Salim-Stabau. Oleh kerana pada masa itu sistem pengangkutan darat bukanlah seperti sekarang keseluruhan platun ini telah bergerak daripada kem mereka dengan menaiki bot panjang yang kemudiannya sampai ke destinasi harus berjalan kaki sebelum mendirikan perkhemahan mereka.
Bagi memastikan keberadaan mereka di Sungai Stabau tidak mudah dijejaki oleh komunis maka mereka akan mula berpindah ke kawasan perkhemahan yang baharu setiap dua hari. Dalam pada itu kerja-kerja perpindahan mereka harus dilakukan dengan sebaik mungkin kerana tidak mahu adanya bekas jejak-jejak mereka yang mampu dihidu oleh musuh. Jadi bolehlah kita bayangkan betapa sukarnya tugasan mereka selain daripada menjaga Sarawak turut terpaksa berhati-hati di dalam setiap langkah mereka.
Hendak dijadikan cerita usai mengenalpasti tapak yang baharu dan membahagikan tugas, ada beberapa orang anggota telah diarahkan untuk membuat rondaan dan pada ketika itulah mereka telah menjumpai tempat menyimpan makanan simpanan yakni berupa tiga guni beras dan beberapa makanan di dalam tin. Tatkala melihat adanya kawasan stor makanan tersebut, anggota PPH pasti bahawa itu adalah kepunyaan komunis yang mungkin mendapat bekalan makanan daripada orang-orang mereka. Dan sudah tentu bekalan makanan itu akan diambil oleh mereka kelak, cuma masa dan ketika tidak diketahui.
Hal penemuan penting ini lantas diperdengarkan kepada Pegawai Komander pada masa itu iaitu Ting Teck Hock. Tanpa berlengah kerana tahu itu merupakan satu maklumat yang penting, Tuan Ting telah mengarahkan satu lagi unit platun kecil yang diketuai oleh ASP Muhammad Johnny Mustapha, Konstabel Abang Masri bin Abang Nor, Koperal Leba, Konstabel Nuing Ak Saling dan Konstabel Sahari Bakri untuk ke lokasi penemuan dan meneruskan kerja intipan dan jika perlu terus membuat serbuan.
Di dalam kesamaran malam dan cuaca sejuk iaitu kira-kira jam 11 malam dari kejauhan unit platun kecil yang diketuai oleh ASP Johnny Mustapha sudah mampu melihat ada kerdipan cahaya dari lampu suluh di kawasan mereka mengintai. Pengalaman mereka yang sudah biasa dengan teknik-teknik komunis mengajar bahawa cahaya lampu suluh dan bunyi bising ranting daun dipijak itu adalah segerombolan komunis yang ingin mendapat bekalan makanan mereka.
Tanpa berlengah, ASP Johnny terus mengarahkan anak-anak buahnya untuk menyerang segerombolan komunis tersebut. Adegan berbalas tembakan berlaku biar di dalam gelap dan natijahnya serangan yang berlaku sekejap sahaja itu berjaya membunuh empat orang komunis manakala yang lain berjaya meloloskan diri. Di pihak unit yang diketuai oleh ASP Johnny tiada yang terkorban mahupun tercedera pada serangan jam 11 malam itu.
Sekali lagi berita serangan ke atas komunis telah dilaporkan kepada Komander Ting dan oleh kerana sudah menjelang larut malam dan suasana gelap, Komander Ting telah mengarahkan untuk platun dibawah ASP Johnny hanya membuat pemeriksaan perimeter ketika suasana sudahpun terang. Paginya kira-kira jam 6 pagi, ASP Johnny dan unit rondaan kecilnya sekali lagi menyusuri denai untuk ke lokasi mereka berperang.
Belum pun sampai ke lokasi tersebut dan dikala itulah tanpa mereka sedari mereka sudahpun diserang hendap oleh komunis yang sememangnya sudah sedia menunggu di kawasan kebun lada hitam masyarakat tempatan. Dengan hamburan peluru bertali arus, unit kecil PPH yang diketuai oleh ASP Johnny Mustapha tidak pernah beralah. Biar besar jumlah lawan namun untuk berundur lantas mengangkat bendera putih tanda kekalahan langsung tiada di dalam diari mereka.
Komunis yang durjana cuba melemahkan semangat anggota PPH pada waktu itu dengan menyasarkan tembakan kepada ketua mereka iaitu Supt. Johnny Mustapha. Akhirnya peluru tanpa mata mengena jua pada tubuh Tuan Johnny pada waktu itu. Konstabel Nuing yang berada tidak jauh daripada Supt. Johnny segera merangkak mendekati beliau. Niatnya ingin membantu ketuanya yang sedang cedera namun lain pula jadinya bilamana dia dimarahi oleh Supt. Johnny untuk jangan memperdulikan beliau. Sebaliknya dengan begitu tegas, Konstabel Nuing diarahkan untuk maju dan terus menyerang musuh.
Akur dengan arahan seorang ketua biar berat hati untuk meninggalkan rakan yang sedang cedera, Konstabel Nuing mara ke hadapan berbalas tembakan. Ada satu ketika dikatakan picu senapang yang digunakan oleh beliau tidak berfungsi namun itu bukan satu masalah besar. Semangat pahlawan Rentap menyelimuti setiap pembuluh darahnya lantas dengan berani melompat ke arah kawasan musuh walau hanya bersenjatakan parang namun belum sempat melibas parangnya, beliau terlebih dahulu ditembak tepat pada kepala oleh komunis.
Bunyi tembakan dari kejauhan dapat didengar oleh anggota PPH di tapak perkhemahan mereka. Biar belum ada yang bersarapan pagi malah ada yang masih tidak berbaju selepas bangun tidur, mereka bangun, melompat dari khemah lantas mengapai apa sahaja senjata yang ada kemudian segera berlari menyusul ke lokasi pertempuran. Mereka mengambil posisi dan seterusnya mula berbalas tembakan membantu unit platun kecil yang berada di barisan hadapan.
Melihat jumlah anggota PPH sudah semakin besar menimbulkan rasa takut kepada komunis lantas mereka berundur dari lokasi pertempuran. Setelah keadaan berjaya dikawal sepenuhnya baharulah anggota PPH menjumpai jenazah rakannya mereka iaitu Konstabel Nuing yang terkujur kaku disebalik pokok lada. Tiga lagi rakan yang cedera parah turut ditemui iaitu Supt. Johnny Mustafa dan Konstabel Abang Masri dan Koperal Leba.
Ketiga-tiga yang cedera parah mereka usung untuk segera ke kawasan bot panjang mereka bagi mendapat rawatan namun Allah lebih menyayangi Supt. Johnny dan Konstabel Abang Masri yang menghembuskan nafas mereka yang terakhir ketika di dalam perjalanan menuju ke kawasan sungai. Hanya Koperal Leba yang berjaya di bawa ke hospital Sibu lantas menjalani pembedahan yang mana dek kerana kecederaan yang teruk pada kaki menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.
Serang hendap komunis yang berlaku pada 6 April 1973 itu menyaksikan tiga pahlawan anak Sarawak iaitu Supt. Muhammad Johnny Mustapha, Koperal Abang Masri bin Abang Noh dan Konstabel Nuing Ak Saling gugur sebagai bunga bangsa mempertahankan tanahair mereka, Sarawak, Malaysia daripada komunis durjana.
Sebagai mengenang keperwiraan dan keberanian Konstabel Nuing Ak Saling di dalam pertempuran dengan komunis di Sungai Stabau, Sibu itu, Mendiang telah dianugerahkan dengan pingat terhormat tertinggi di dalam sejarah darjah kehormat Malaysia iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dari YDP Agong pada tahun 1976. Manakala Supt. Johnny Mustapha pula mendapat Pingat Keberanian dan seterusnya pada tahun 2018, Kerajaan Sarawak menganugerahkan Allahyarham dengan Pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk. Pingat itu diterima oleh waris Allahyarham secara posthomous.
Al-Fatihah pada semua yang tiada. R.I.P.
Lest We Forget!
-HB-

Rujukan:
1.Borneo Post, 13 September 2018 by Razali Pilus & Amanina Mohd Yusuf - Risking Life and Limb For The Sake Of The Nation
2.Berita Harian, 13 Oktober 2018 - Sarawak Iktiraf Pengorbanan 3 “Bujang Berani” https://www.bharian.com.my/…/sarawak-iktiraf-pengorbanan-3-…
3. PDRM - Jasamu Dikenang, Anggota PDRM Yang Terkorban
4. Nama-nama Hebat Di Dalam Lipatan Sejarah PDRM
5.Laman FB Merdeka360 - Suatu Ketika Kehilangan Dua Rakan Di Medan Perang

Copy and paste: Borneo Oracle
5 September 2019 : 2.35 am

3 comments:

Anonymous said...

Salam semua yg membaca posting ini..ketika kematian konstabel Nuing saya baru berumur hampir 4 taun..org kata ingat lalat..untuk pengetahuan semua walaupun dianugerah pingat dan nama beliau masih dikenang..yg sedihnya mayat @ tempat perkuburan mendiang amat terharu bila melihatnya..bersemak,dnaiki air bila musim banjir tidak seperti pahlawan yg lain,tempat yg sesuai memang tanah perkuburan pahlawan negara..maka saya merayu kepada pihak angkatan pertahanan negara agar rangka mayat Konstabel Nuing Ak Saling pun diangkat dan dpindahkan ke perkuburan seperti perajurit lain dtempatkan bagi mengenang jasa mendiang..sekian..

Fb commented by Kasi Penguang

zulheimymaamor.blogspot said...

Diharap ada pihak yang berkenaan yang ambil tindakan untuk menjaga pusara pahlawan negara ini....jasa mereka tidak terbalas oleh kita kerana mereka berkorban dengan darah dan nyawa kita demi memasikan generasi kita akan datang hidup dalam harmoni....
Yng sedihnya mereka ini seolah-olah dilupakan...

Unknown said...

Salam tuan editor rencana ini. Ya,ayah saya adalah salah seorang daripada anggota PPH yang datang membantu pada waktu itu. Mengenang kisah yang diceritakan oleh bapa saya,memang tidak dapat nak bayangkan suasana pada masa itu.