Sunday 29 September 2019

Sejarah Kedatangan Orang Sikhs Di Malaysia

Sejarah Kedatangan Orang Sikhs Di Malaysia

Di Malaysia, komuniti Sikh merupakan sub-golongan etnik India yang dianggarkan sekitar 70,000 orang dan berasal dari wilayah India Utara. Agama Sikh yang diasaskan oleh Sri Guru Nanak Dev Ji (1469-1539) juga tersebar dan berkembang luas ke rantau Asia Tenggara. Malaysia dan Singapura merupakan dua buah negara yang menjadi tumpuan petempatan awal komuniti minoriti Sikh semasa pemerintahan kolonial British di Tanah Melayu. Ada empat faktor utama berlakunya penghijrahan orang Sikh dari Punjab ke Malaysia.

Pemindahan para banduan politik Sikh dari India ke Negeri-negeri Selat merupakan faktor utama permulaan proses diaspora Sikh di Tanah Melayu. Ramai orang Sikh yang kurang senang dengan faktor pertama ini mungkin kerana mereka kurang arif dengan pengajian sejarah. Dipercayai ada dua orang banduan politik Sikh yang tiba di Negeri-negeri Selat pada tahun 1850. Mereka bernama Nihal Singh (dikenali umum sebagai Bhai Maharaj Singh) dan Kharak Singh yang dibuang negeri seumur hidup kerana terlibat dalam perang menentang penjajah British dalam tahun-tahun 1840-an. Bhai Maharaj Singh meninggal dunia pada 5 Julai 1856 di penjara Outram Road, Singapura. Kedatangan mereka ini pula diikuti dengan banduan Sikh yang lain. Pada 8 Mei 1873, banduan-banduan dari India telah dipindahkan ke Andaman. Manakala banduan Sikh yang telah tamat tempoh hukuman, tidak pulang semula ke India. Sebaliknya mereka menetap di Negeri-negeri Selat.

Pada 1865 bermula satu lagi proses migrasi tetapi dalam bentuk yang lain iaitu penglibatan orang Sikh dalam bidang pekerjaan pasukan keselamatan dalam empayar British. Pemerintah British yang menyediakan bukan sahaja peluang untuk berkhidmat sebagai tentera malah memberi peluang berhijrah ke seluruh Empayar British. Tanah Melayu merupakan salah satu daripada pusat kedatangan tentera Sikh, dan lainnya termasuklah di negara seperti Fiji, Hong Kong, New Zealand, Australia dan Kanada. Peranan Kapten James Speedy di Perak, yang membawa 95 orang Sikh, Pathan dan Punjabi-Muslim untuk menyelesaikan pertelingkahan kongsi gelap Cina pada 1870an mengenai masalah perlombongan bijih timah di Larut juga menandakan satu permulaan awal kemasukan komuniti Sikh di Tanah Melayu. Pada 29 September 1873, Kapten Speedy bersama pasukannya berjaya menyelesaikan masalah pertelingkahan orang-orang Cina di Larut. Kemudian, Kapten Speedy dilantik menjadi Penolong Residen di Perak dan diarahkan untuk mengerah kembali seramai mungkin tentera Menteri (Ngah Ibrahim) untuk menjadi pengawal Residensi, iaitu nukleus cadangan Pasukan Polis Perak. Pengambilan seterusnya telah dilakukan oleh Kerajaan British pada tahun 1880an untuk berkhidmat di Jelebu dan sungai Ujung.

Pada awal tahun 1877, sebuah pasukan polis bersenjata yang pertama ditubuhkan yang dikenali sebagai Perak Armed Police (PAP) berpusat di Taiping, Perak. Pesuruhjaya Polis bagi pasukan ini ialah Leftenan Paul Swinburne, seorang pegawai polis yang berkaliber, boleh berbahasa Hindi dan Melayu. Inilah faktor yang menyebabkan Gabenor Negeri-negeri Selat, William Jervois memilih Leftenan Swinburne sebagai Pesuruhjaya Polis PAP yang berpusat di Taiping. Pada akhir tahun 1877, terdapat lebih kurang 300 orang Sikh yang menganggotai pasukan PAP.

Orang Sikh yang dibawa masuk dari Punjab sejak akhir tahun 1873 juga telah membawa agama mereka yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan mereka. Pada peringkat awal penghijrahan orang Sikh ke Perak, agama Sikh menjadi elemen penting yang menyatupadukan orang Sikh dalam pasukan PAP. Pada 15 Mei 1884, Pasukan Polis Bersenjata Negeri Perak yang mempunyai ciri-ciri tentera, yang dianggotai oleh sebahagian besar orang-orang Sikh yang menganggap diri mereka lebih sebagai askar dari anggota polis, telah ditukarkan nama kepada First Battalion Perak Sikhs (FBPS). Jawatan Pesuruhjaya ditukarkan kepada Komandan. Mereka kini dianggap sebagai sebahagian daripada pasukan bersenjata dengan pemeriksaan tahunan oleh Pegawai Pemerintah Negeri-negeri Selat. Tentera Sikh Perak mengandungi tiga pasukan iaitu Pasukan Berjalan Kaki (infantry), Pasukan Meriam (artillery) dan Tentera Darat yang menjalankan tugas-tugas sebagai tentera dan polis. Nisbah anggota Sikh dan Melayu dalam pasukan ini ialah 3:1. Antara tahun 1884 hingga 1896, Pasukan Sikh Perak berjaya memerangi jenayah dan membantu dari segi keanggotaan kepada mana-mana tempat yang mempunyai masalah di Tanah Melayu termasuk mengambil bahagian dalam peperangan di Pahang dalam tahun 1889 hingga 1894.

Dalam tahun 1896 Malay States Guides (MSG) ditubuhkan oleh Kolonel R.S.F. Walker menggantikan pasukan FBPS. Ia ditubuhkan selepas negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor Pahang dan Negeri Sembilan disatukan pentadbirannya dalam Persekutuan pada tahun 1896, dan markas utamanya masih di Taiping, Perak. Majoriti anggotanya terdiri dari orang-orang Sikh, Pathan dan Hindu. MSG adalah sebuah pasukan keselamatan yang penting di Tanah Melayu bertujuan menangani sebarang masalah jika berlaku kekacauan di antara Kerajaan British dengan sebarang kuasa lain.

Kekuatan MSG terdiri dari enam kompeni bahagian infanteri dan dua kompeni bahagian meriam dengan jumlah keanggotaan seramai 900 orang. Rejimen ini boleh dikerah dan digunakan untuk membantu memperkuatkan garrison di Negeri-negeri Selat jika peperangan berlaku. Sebahagian dari rejimen ini telah dihantar ke Singapura semasa Perang Dunia Pertama. Mereka juga telah dihantar berkhidmat ke Aden selama lima tahun dan mengambil bahagian di dalam peperangan dengan tentera Turki! MSG telah dibubarkan pada penghujung tahun 1919. Ramai anggotanya diserapkan ke dalam Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan ada sebahagian yang lain menceburi bidang pekerjaan yang lain.

Pusat petempatan komuniti Sikh yang terawal di Tanah Melayu adalah di kawasan berek polis dan kawasan lombong bijih timah. Komuniti Sikh yang menganggotai MSG telah mendirikan gurdwara tempat bersembahyang untuk memenuhi keperluan kerohanian dan penyatuan penganut Sikh. Gurdwara awal di Malaysia telah dibina mengikut keperluan sesuatu kelompok pekerjaan. Gurdwara yang pertama di Tanah Melayu telah didirikan oleh anggota polis Sikh berhampiran dengan berek-berek polis. Misalnya di negeri Selangor, gurdwara pertama didirikan pada tahun 1890 oleh anggota polis Sikh, sementara pada tahun 1898 didirikan sebuah lagi gurdwara di Kelang dan sebuah lagi di Ibu pejabat Polis High Street pada tahun 1904. Ada juga beberapa gurdwara polis yang lain dibina di Tanah Melayu seperti Gurdwara Polis Pulau Pinang, Gurdwara Polis Ipoh, Gurdwara Polis Depot dan Gurdwara Sahib Parlimen di Kuala Lumpur. Pemerintah British membenarkan orang Sikh mendirikan gurdwara sebagai pusat penyatuan komuniti Sikh. Ringkasnya, penglibatan anggota Sikh dalam pasukan MSG secara tidak langsung telah banyak menyumbang dalam bidang sosial seperti pendidikan dan keagamaan serta politik komuniti Sikh di Tanah Melayu.

Migrasi komuniti Sikh pada awalnya juga dipengaruhi oleh faktor peribadi di mana pegawai-pegawai British yang berkhidmat di Punjab dan Jajahan Bersatu yang lain berhasrat

untuk mendapatkan khidmat anggota Sikh di Tanah Melayu. Apabila migrasi bermula, maka orang-orang Sikh yang lain juga tertarik dan berminat dengan tempat dan pelbagai sektor pekerjaan di Tanah Melayu dan menceburkan diri dalam bidang keselamatan seperti polis, perkhidmatan keselamatan di pelbagai jabatan kerajaan dan pegawai teknikal di stesen keretapi.

Keberanian orang Sikh terbukti kerana mereka bukan sahaja telah berkhidmat di negeri India malah juga telah berkhidmat dalam pasukan tentera British di China, Burma dan kawasan jajahan British yang lain. Kejayaan mereka di China dapat dilihat iaitu selepas Perjanjian Tienstin ditandatangani, dimana beberapa pasukan Sikh telah diberi “penghormatan peperangan”.

Di antara pasukan yang mendapat penghargaan ini ialah The First Sikh Cavalry dan dua rejimen infantri dari Punjab. Oleh sebab itu, orang Sikh telah memonopoli bidang pekerjaan dalam pasukan keselamatan sejak tahun 1870an hingga tahun Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Penglibatan mereka dalam bidang keselamatan di Tanah Melayu secara tidak langsung telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia. Buktinya, pada 11 November setiap tahun satu perbarisan hormat akan diadakan sempena mengingati jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat

(1948-1960). Terdapat lebih kurang 232 nama orang yang tersemadi di Tugu Negara dan 33 dari jumlah tersebut terdiri daripada orang Sikh.

Orang Sikh telah datang ke Sabah sejak tertubuhnya pasukan polis pada tahun 1882 ketika Syarikat Berpiagam Borneo Utara British menubuhkan Constabulari Bersenjata Borneo Utara (CBBU) yang dianggotai oleh majoriti keturunan Sikh dan Punjabi Muslim. Pada 1906, kedatangan mereka menyaksikan pembinaan sebuah gurdwara dalam kawasan berek Ibu Pejabat Pasukan Bersenjata Constabulari di Batu Tiga, Jesselton (kini Kota Kinabalu). Selain bidang kepolisan, orang Sikh dikenal pasti berkhidmat sebagai warder penjara yang terletak di bawah penguasaan Komandan CBBU.

Justeru, tekanan politik dan sosio-ekonomi yang berlaku di negara Asia juga telah menyebabkan migrasi secara besar-besaran masyarakat India dan Cina dari negara asal mereka ke Tanah Melayu. Komuniti Sikh juga tidak terlepas daripada masalah ini yang memaksa mereka berhijrah ke Tanah Melayu, contohnya, penduduk yang padat dari semasa ke semasa telah menyebabkan negara menghadapi masalah ekonomi yang genting kerana tanah yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dan sering berlaku pergaduhan antara keluarga kerana soal pembahagian tanah pusaka. Hasil pendapatan yang diperolehi daripada tanah tersebut tidak mencukupi ditambah pula dengan malapetaka seperti banjir dan kemarau mengakibatkan kehidupan rakyat semakin terhimpit. Keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan orang Sikh yang sanggup meninggalkan tanah air mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu dengan harapan mengumpul wang untuk dibawa pulang.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, peluang pekerjaan yang luas dan dasar imigrasi yang liberal juga telah mendorong penghijrahan orang Sikh ke Tanah Melayu. Faktor ini telah menyumbang kepada pertambahan semula jadi dalam kalangan orang Sikh yang sedia ada menetap di negara ini.

Secara keseluruhannya, tujuan asal kedatangan orang Sikh ke Tanah Melayu adalah bersifat sementara, iaitu untuk mengumpulkan seberapa banyak wang untuk dibawa pulang. Tetapi lama-kelamaan perspektif mereka tentang kehidupan mulai berubah di mana mereka mahukan kehidupan yang lebih baik berbanding di Punjab. Sungguhpun komuniti Sikh sudah lama menetap di Malaysia, namun mereka masih mengekalkan hubungan kekeluargaan yang baik dengan sanak saudara di India. Sumbangan orang Sikh dalam pasukan keselamatan di Tanah Melayu dan kini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat penting dikaji oleh masyarakat Malaysia. Hal ini kerana keunikan mereka mengekalkan identiti Sikh semasa berkhidmat dalam pasukan keselamatan merupakan satu aset sejarah yang diwarisi sejak sekian lama.

Oleh: Dr. Sarjit S. Gill (UPM)
sarjit@putra.upm.edu.my


29.9.2019 : 10.33 pm





No comments: