Saturday, 20 July 2019

Tokoh maritim Melayu


BUKU ini menghimpunkan pelbagai artikel, sinopsis novel dan puisi yang pernah dihasilkan pelbagai pihak mengenai Panglima Awang iaitu orang Melayu pertama yang didakwa telah berjaya mengelilingi dunia.
Sesudah kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, Panglima Awang yang turut dikenali di Barat dengan nama Enrique Malacca telah ditawan oleh orang Portugis dan dibawa ke Portugal dan kemudiannya ke Sepanyol.
Beliau kemudiannya mengikuti pelayaran ahli pelayaran dari Portugal, Ferdinand Magellan mengelilingi dunia dan mencari jalan ke Timur dari 1511 hingga 1521. Magellan adalah salah seorang nakhoda dalam armada diketuai Alfonso d’Albuquerque yang menyerang Melaka.
Ini adalah kali pertama seorang pemuda Melayu merantau sejauh itu ke seluruh pelosok dunia dan mencipta nama yang hebat.
Pelayaran itu berakhir apabila Magellan dibunuh oleh sekumpulan lanun diketuai Si Lapu-Lapu di Pulau Cebu, Filipina pada 1521 manakala Panglima Awang pula berjaya melepaskan diri daripada tawanan lanun berkenaan dan kembali ke Melaka.
Terdapat juga dakwaan bahawa selepas Magellan terbunuh, Panglima Awang telah mengemudi kapal lain bernama Victoria dan berjaya balik ke Sepanyol pada 1522 bersama 17 kelasi yang masih hidup.
Tiada pengesahan sehingga kini mengenai dakwaan itu kerana rekod sejarah hanya menyebut nama jurumudi kapal itu bernama, Espinosa. Adakah beliau individu sama dengan Enrique atau Panglima Awang? Wallahualam.
Banyak lagi nama lain yang turut diberikan kepada beliau seperti Henry The Black, Henrich, Ariberto dan Enrfique de Malacca.
Sebenarnya terdapat terlalu sedikit maklumat mengenai Panglima Awang dalam bentuk tulisan. Bukti fizikal pula hanyalah rumah di kampung kelahirannya di Teratak Enrique Malacca di Lot 214, Batu 27, Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka.
Maklumat dalam bentuk tulisan adalah daripada Surat Wasiat Magellan yang ditulis pada 1519 sebelum mula belayar yang menyebut mengenai Enrique.
Kata Magellan, sebagai hamba, Enrique yang berasal dari Melaka akan dibebaskan setelah kematiannya nanti dan diberikan sejumlah wang. Dalam surat itu, beliau juga menyebut Enrique yang berusia 26 tahun telah menganut agama Kristian.
Maklumat kedua mengenai kewujudan Enrique adalah daripada senarai daftar pelaut yang menyertai lima kapal yang berada dalam Armada Maluku tajaan Raja Charles I dari Sepanyol.
Nama Enrique tersenarai sebagai anak kapal Trinidad, iaitu kapal utama yang turut dinaiki Magellan. Bagaimanapun, beliau tidak didaftar sebagai hamba yang bekerja di kapal itu tetapi disenaraikan sebagai jurubahasa.
Maklumat ketiga, adalah buku yang ditulis tokoh sejarah Sepanyol pada 1837, Martin Ferdanadez de Navarette yang menyebut kebolehan Enrique untuk bertutur dengan fasih menggunakan bahasa negara itu.
Maklumat keempat, adalah daripada catatan sukarelawan dari Itali, Antonio Pigafeeta yang turut serta menyertai pelayaran bersama Magellan yang menyebut kapten kapal Trinidad yang baharu, Duarte Barbosa enggan membebaskan Enrique walaupun selepas kematian tuannya. Beliau turut menghina status pemuda itu, sebagai hamba tawanan perang.
Pigafeeta dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Enrique yang membantunya mengumpul 426 perkataan dalam bahasa Melayu yang kemudiannya dimasukkan dalam kamus Itali-Melayu yang pertama.
Mengenai dakwaan beliau beragama Kristian, kajian yang dibuat oleh ahli sejarah tempatan membuktikan pemuda itu masih beragama Islam. Ini berdasarkan kepada beberapa fakta termasuk menolak ajakan adik perempuan Magellan, Mariam yang kuat berpegang kepada agama Kristian untuk berkahwin.
Panglima Awang juga dikatakan tidak terbunuh bersama-sama 27 kelasi lain ketika pertempuran di Filipina seperti yang terdapat dalam catatan rasmi kerajaan Sepanyol.
Sebaliknya beliau berjaya pulang ke Melaka dan berkahwin dengan tunangnya, Tun Gayah dalam upacara yang dijalankan secara Islam. Jasad Panglima Awang didakwa dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Rembau, Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, untuk pengetahuan pembaca, buku ini dicetak dengan kos sendiri oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Talib Samat. Sehubungan itu, naskhah berkenaan tidak dijual di kedai-kedai buku.
Menurut beliau, sesiapa yang berminat membeli buku berkenaan boleh menghubunginya di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com.
Sumber:

No comments: