Sunday, 7 July 2019

H.M.S PELANDOK (1949)








Penerimaan Kapal Pertama Angkatan Laut Malaya Yang Diberi Nama 'H.M.S PELANDOK'
Tarikh Peristiwa : 08-04-1949
Pada hari ini dalam tahun 1949, Gabenor Singapura, Sir Franklin Gimson yang mewakili Angkatan Laut Malaya telah menerima kapal pertama Angkatan Laut Malaya yang diberi nama ‘H.M.S. Pelandok’. Sir Franklin telah menerima kapal ini daripada Pegawai Pemerintah Kawasan Malaya, Laksamana Clifford Caslon. Kapal ini yang panjangnya 60.96 meter, lebar 10.6 meter dan berat 306 tan metrik merupakan kapal yang pertama diterima oleh Angkatan Laut Malaya dari kerajaan British. Penerimaan kapal ini telah diadakan dalam satu upacara yang penuh bersejarah di Red House Jetty di Pangkalan Laut, Singapura. H.M.S. Pelandok asalnya adalah sebuah kapal jenis ‘Landing Craft Tank’, kepunyaan Tentera Laut Diraja British yang telah dibawa ke Singapura semasa berlakunya peperangan Dunia Kedua. Kapal ini kemudiannya telah diubah suai semula mengikut kehendak pihak kerajaan sesuai dengan tugas yang akan dilakukannya di perairan Tanah Melayu dan Singapura. Nama H.M.S Pelandok yang digunakan bagi kapal tersebut adalah sebagai mengambil kenangan dari sebuah pangkalan yang pernah digunakan oleh Tentera Laut Diraja British ‘Cawangan Melayu’ semenjak tahun 1939.Pangkalan tersebut musnah semasa berlakunya peperangan dunia kedua akibat serangan oleh pasukan tentera udara Jepun pada 11 Februari 1942 di Singapura.Bagaimanapun pada 31 Ogos 1958, semua kapal yang dimiliki oleh Tentera Laut telah dinamakan semula dengan mengambil nama-nama negeri yang terdapat di Tanah Melayu.H.M.S. Pelandok turut terlibat di mana namanya telah ditukarkan kepada H.M.S. Sri Perlis. Setelah berkhidmat dengan tentera laut hampir sepuluh tahun iaitu dari 1949 hingga 1959, H.M.S Pelandok atau H.M.S Sri Perlis tidak sesuai lagi dengan perkembangan dan pembangunan angkatan laut pada masa itu. Oleh itu untuk mengingati namanya maka sebuah Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia telah dinamakan KD Pelandok yang berpangkalan di Sembawang, Singapura dan seterusnya di Lumut, Perak. Sesungguhnya sumbangan kapal pertama ‘H.M.S. Pelandok’ kepada Angkatan Laut Malaya pada hari ini dalam tahun 1949 telah membantu perkembangan Tentera Laut Diraja Malaysia dan kini telah diperlengkapkan dengan kapal-kapal yang moden dan berkeupayaan untuk mengawal perairan Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.
Copy and Paste: FB Veteran Tentera Laut (credit to En. Ahmad Rafael)
7.7.2019 : 2.57  pm

No comments: