Monday, 10 November 2025

TIDAK WUJUD MANUSIA SEBELUM NABI ADAM

Oleh: Prof.Dr. Solehah Yaacob

Nabi Adam AS adalah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah SWT. Semasa penciptaan Nabi Adam AS, malaikat bertanya kepada Allah SWT "Adakah kamu ingin menciptakan lagi makhluk yang membuat kerosakan di bumi dan saling bertumpah darah?" (Surah al-Baqarah: 30).
Apakah makhluk tersebut? Makhluk tersebut hampir sama seperti manusia dari segi fizikal, tetapi mempunyai kapasiti akal yang sangat terbatas dan tidak mampu untuk membina tamadun walaupun hidup di bumi ratusan ribu tahun sebelum Nabi Adam AS diciptakan.
Dari segi istilah sains, makhluk tersebut dipanggil sebagai Homo Erectus, Homo Denisova, Homo Floresiensis dan pelbagai lagi nama-nama yang lain. Makhluk ini tergolong dalam kategori binatang dan bukan kategori manusia.
Nabi Adam AS tidak berevolusi dari makhluk-makhluk tersebut. Keturunan Nabi Adam AS berkembang biak setelah baginda bertemu semula dengan Hawa di Arafah setelah diturunkan dari syurga. Anak-anak Nabi Adam AS tidak berevolusi dari Homo Erectus.
Apabila dikatakan manusia (إنسان), ia berasal dari perkataan Anisa (أنس) yang bermaksud "jinak" atau "tidak ganas". Ia bukan berasal dari perkataan Nasiya (نسي) walaupun tidak dinafikan sifat manusia itu memang pelupa.
Homo Erectus, Homo Habilis, Homo Floresiensis, Homo Neanderthalensis, Homo Heidelbergensis memang wujud sebelum Nabi Adam AS. Namun, ia bukan manusia dan Nabi Adam AS tidak bercampur dengan makhluk-makhluk tersebut untuk menghasilkan keturunan.
Nabi Adam AS diberikan wahyu dan petunjuk oleh Allah SWT untuk menjalani kehidupan di bumi ini. Setelah diturunkan ke bumi, Nabi Adam AS menyesal dan bertaubat kepada Allah SWT. Satu penghinaan jika kita mengatakan Nabi Adam AS pernah bersenyawa dengan binatang.
Ramai juga dalam kalangan ahli akademik yang saya jumpa mengatakan bahawa Nabi Adam AS mempunyai ayah dan ibu. Sedangkan perkara ini tidaklah susah untuk difikirkan sekiranya kita menjadikan al-Quran sebagai sumber utama di dalam membuat penyelidikan dan kajian.
Nabi Adam AS adalah makhluk baharu yang diciptakan daripada tanah dan memulakan kehidupannya di dalam syurga bersama Hawa. Setelah itu diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah di muka bumi.

C&P: 10/11/2025: 9.57 p.m

No comments: