Posted by:
Hasanuddin Yusof
Tamadun Melayu Sungai Batu 788SM
Rasa gembira dengan penemuan rangka kapal yang diduga berusia abad ke-13 M di Melaka baru-baru ini. Penemuan ini adalah satu penemuan yang signifikan dalam budaya berperahu di Alam Melayu.
Setakat ini, terdapat lebih sepuluh artifak perahu kuno yang telah jumpai di Malaysia, Filipina dan Indonesia bermula dari tahun 1927 sehingga 2008.
Antaranya ialah perahu kulit kayu yang ditemui di Ulu Rompin, Pahang oleh W.L. Abbott pada tahun 1902. Selain itu, serpihan Perahu Pontian turut ditemui di Kuala Pontian, Pahang oleh I.H.N. Evans, seorang ahli antropologi Inggeris pada tahun 1927. Perahu ini dianggarkan digunakan pada tahun 60-293 Masihi berdasarkan pentarikhan analisis C-14.
Kemudian, serpihan perahu turut ditemui di Pulau Kelumpang, Selangor pada tahun 1955 di mana perahu ini telah wujud sekitar 200 SM-1000 M. Penemuan serpihan perahu Sungai Lang pula bertarikh sekitar 580 SM - 190 SM.
Penemuan-penemuan perahu kuno ini tidak menghairankan memandangkan wilayah ini merupakan wilayah perairan. Jadi pembinaan perahu-perahu besar seperti jong sememangnya menjadi budaya yang mendasar dan utama.
Catatan Dinasti Han di China pada abad ke-3 M menerangkan tentang keunggulan layar jong-jong Melayu sehingga dapat belayar dengan lebih laju.
Catatan China abad ke-8 M tentang kebesaran jong Melayu (Kunlun Po) yang mampu membawa anak kapal sehingga 1000 orang.
Al-Mas'udi mencatatkan tentang kemahiran pelaut-pelaut di Pahang pada abad ke-10 M mengendalikan perahu sehingga mereka mampu mengepung perahu-perahu asing.
Muhammad al-Idrisi pula mencatatkan pada abad ke-12 M pelayar-pelayar Melayu Srivijaya biasa belayar hingga ke timur Afrika.
Lionel Casson mencatatkan bahawa kapal laut yang paling rumit yang dibina di luar laut Mediterranean ialah jong Melayu.
Dengan budaya berperahu yang sangat kukuh, maka tidak hairanlah jika terdapat lebih 300 jenis perahu dalam budaya Alam Melayu.
Di Selat Melaka sendiri merupakan tempat laluan ribuan jong-jong Melayu sejak ribuan tahun dahulu kerana jong merupakan alat pengangkutan utama di rantau ini. Penemuan di Melaka itu adalah salah satu darinya. Banyak lagi yang belum ditemui sebenarnya.
Pembuatan jong juga sangat aktif di rantau ini. Semua saudagar-saudagar besar pasti memiliki jong. Maka tidak hairanlah jika Sultan Malik az-Zahir Thani menghadiahkan jong kepada Ibnu Battutah ketika beliau mengunjungi Samudera Pasai sebagaimana yang tercatatn dalam kitab Rehlah-nya.
Subjek perahu Alam Melayu merupakan antara kajian yang sangat saya minati. Alhamdulillah tahun ini saya berpeluang membentangkan tentang perahu Melayu dalam beberapa acara. Yang terakhir pembentangan tentang perahu perang Melayu di Arkib Negara pada awal bulan Ogos 2025.
Alhamdulillah setakat ini juga saya telah membuat kajian lapangan ke beberapa tempat penemuan perahu kuno di Nusantara. Antaranya ialah perahu kuno Pujulharjo abad ke-7 M dan perahu Srivijaya di Palembang abad ke- 8 M.
Insya Allah Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melyu dan Islam (MAPTAMI) akan membuat kajian khusus tentang penemuan perahu di Melaka ini sebagai tambahan kepada kajian-kajian yang sedia ada.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam
C&P
4/11/2025: 1.44 p.m
No comments:
Post a Comment