Wednesday, 19 November 2025

Bandar Melaka ditawan Portugis dalam serangan kali keduanya

Kredit: Metal Detector Junkies Malaysia

Oleh: Megat Hisemudin Megat Kasim

Selepas serangan askar-askar Portugis kali yang pertamanya, Sultan telah mengarahkan untuk memperkuatkan pertahanan dengan meriam dua kali ganda daripada sebelumnya. Baginda juga mendapati orang-orang Portugis telah memasuki jalan-jalan besar di dalam bandar. Oleh itu baginda telah mengarahkan orang-orangnya untuk mendirikan pagar pada semua pintu masuk ke jalan-jalan besar. Kesemua jalan-jalan ini telah ditanam jerangkap yang mengandungi belerang dan paku yang telah dibubuh racun.
Semua kerja-kerja ini dilakukan oleh orang-orang Jawa yang dibayar gaji. Ini kerana Sultan mendapati semasa tentera Portugis menyerang bandar Melaka orang-orang Jawa tidakpun membantu seperti yang diharapkan. Namun sebenarnya ia bukanlah disebabkan tidak dibayar gaji tetapi Utimutiraja telahpun memberikan arahan kepada orang-orangnya supaya tidak membahayakan diri dalam mempertahankan negeri orang lain.
Utimutiraja ialah ketua kaum Jawa yang diberikan tanah dan jawatan tinggi untuk menjaga kawasan pinggir bandar Melaka iaitu Upeh. Beliau adalah orang yang terkaya di Melaka selepas Sultan. Dalam pembahagian tugas untuk menjaga keselamatan Melaka dari serangan Portugis beliau diminta untuk menjaga kawasannya, Upeh.
Utimutiraja lakukan ini kerana dia telahpun membuat perjanjian sulit dengan Afonso de Albuquerque demi keselamatan dirinya, keluarganya dan kekayaannya. Setelah mengetahui yang orang-orang Jawa melakukan kerja-kerja ini lalu Afonso de Albuquerque menghantar satu mesej bantahan kepada Utimutiraja bertanyakan mengapa orang-orangnya melakukannya. Dalam jawapannya, Utimutiraja mengakui memang benar orang-orangnya melakukannya tetapi ia hanya sebagai “lakonan” untuk tontonan Sultan dan tidak dianggap sebagai membelakangkan perjanjiannya dengan Portugis.
Dalam masa yang sama Afonso de Albuquerque telah memberi mesej kepada semua orang-orang asing supaya yakin bahawa peperangan ini akan memihak kepada Portugis dan demi keselamatan mereka yang tentera Portugis tidak akan membakar atau merosakkan lagi bandar ini. Jika sesiapa yang berhajat untuk meninggalkan bandar ini untuk balik ke negara masing-masing boleh berbuat demikian tanpa sekatan tetapi mereka yang mahu terus tinggal di sini haruslah tidak memerangi tentera Portugis. Ini kerana orang-orang Portugis hanya akan berperang dengan Sultan dan rakyatnya sahaja kerana kesalahan yang dilakukan oleh Sultan terhadap Diogo Lopes de Sequire dan tawanan Portugis yang lain.
Afonso de Alburqerque memikirkan usaha untuk memperkukuhkan pertahanan terutamanya jambatan yang merintangi Sungai Melaka haruslah dijadikan kubu dengan dua lapis kayu dan diletakkan meriam di atasnya. Kemudiannya beliau akan memerintahkan jong yang terkuat dalam armadanya dengan dilengkapi meriam untuk digerakkan paling hampir dengan jambatan.
Pada masa yang sama jong-jong China yang berlabuh berhampiran dengan armada Portugis telah meminta kebenaran untuk keluar dari pelabuhan demi keselamatan mereka. Disebabkan jong-jong ini akan menghala ke Siam, Afonso de Albuquerque telah meminta jasa baik mereka untuk menumpangkan seorang Portugis yang membawakan sepucuk surat kepada Raja Siam.
Beliau ialah Duarte Fernandes, seorang tukang jahit yang turut ditawan bersama Rui de Araujo di Melaka selepas komplot untuk membunuh Diogo Lopes de Sequiere yang gagal dahulu. Semasa tahanannya, Duarte Fernandes telah belajar bahasa Melayu. Dalam surat itu Afonso de Albuquerque memberitahu Raja Siam tentang situasi di Melaka. Alfonso de Albuquerque menyebut yang Kesultanan Melaka tidak mahu tunduk kepada Siam sebelum ini dan dengan mesej ini diharapkan Raja Siam yang masih berdendam dengan Melaka tentunya akan gembira jika sesiapa yang dapat memusnahkannya.
Dalam masa yang sama Afonso de Albuquerque berfikir tentulah Raja Portugal akan lebih gembira jika orang-orang Portugis dapat menawan bandar ini. Namun jika Sultan dapat meningkatkan pertahanannya tentulah lebih sukar bagi orang-orang Portugis untuk menawannya dan angka korban bukanlah sedikit.
Afonso de Albuquerque tidak sabar untuk menunggu air pasang besar untuk membawa jong yang terbesar merapati jambatan dalam serangan kali keduanya. Tugas ini diberikan kepada Antonio de Abreu. Sebaik saja jong ini melepasi benteng pasir berdekatan dengan jambatan, ia dihujani dengan tembakan meriam oleh orang-orang Melaka.
Setengah peluru meriam ini diperbuat daripada plumbum iaitu sejenis timah hitam yang mudah ditempa. Selainnya peluru meriam selalunya diperbuat daripada batu yang bulat. Peluru-peluru meriam ini menembusi kedua-dua dinding jong yang menyebabkan kehilangan ramai nyawa. Antonio de Abreu sendiri telah cedera di rahangnya dan hilang banyak giginya akibat tembakan senapang.
Dalam serangan untuk kali keduanya, Afonso de Albuquerque tidak lagi menggunakan taktik menyerang dari dua arah seperti yang dilakukan dalam serangan pertama dahulu sebaliknya tentera Portugis menumpukan pendaratan berhampiran dengan masjid.
Tentera Portugis disamping menumpukan pertahanan dan kedudukan pada jambatan, Afonso de Albuqerque juga mendapati jalan-jalan besar di mana tentera Portugis diserang dalam pertempuran pertama dahulu kini telah ditambah pertahanannya oleh Sultan dengan meriam, anggota bersenapang, anak panah, buluh sumpitan dan lastik.
Afonso de Albuquerque membentuk dua kumpulan di mana kumpulan pertama di bawah arahannya sendiri menguasai jambatan. Manakala kumpulan kedua di bawah arahan 4 orang kapten – Jorge Nunes Leao, Dinis Fernandes, Jaime Teixeira dan Nuno Vaz Castelo Branco diarahkan bergerak ke arah masjid tetapi tidak melepasi masjid.
Tentera Portugis yang mengikuti Dinis Fernandes telah sampai ke jalan besar dan berdepan dengan Sultan bersama dengan angkatan bersenjata sejumlah 1,500 orang. Namun yang membuatkan beliau hairan ialah Sultan dan orang-orangnya hanya berdiam diri dan berharap tentera Portugis datang ke arah mereka. Kemudiannya barulah Dinis Fernandes mengetahui bahawa di jalan-jalan ini telah ditanam dengan jerangkap yang terdiri daripada paku-paku yang dibubuh racun. Jika beliau dan orang-orangnya menyeberang jalan besar itu tentulah tidak akan bernyawa lagi. Tidak terjadi pertempuran di jalan-jalan dalam bandar seperti dalam serangan kali pertama dahulu.
Dimanakah sikap kepahlawanan Melayu yang dikatakan di bumi Hang Tuah itu yang sanggup berlawan ke titisan darah terakhir tetapi menyerah kepada takdir dengan mengharapkan musuh "tergolek" di depan mata terpijak jerangkap paku beracun tanpa bertindak untuk melawan terlebih dahulu. Sedangkan Sultan telah mengarahkan ditempatkan meriam di sini, terdapat anggota bersenapang dan senjata anak panah yang boleh digunakan dari jarak jauh.
Kekalahan pertahanan Melaka juga disebabkan tiadanya seorang pemimpin yang boleh memberikan arahan di medan perang. Tuan Bandar yang mengetuai barisan hadapan telah terkorban dalam serangan pertama Portugis. Jadi sultan hanya mengharapkan dua orang puteranya saja untuk terus mengetuai pertahanan Melaka. Sebenarnya pertempuran hebat antara orang-orang Melaka dengan tentera Portugis hanya berlaku pada serangan kali pertama sahaja. Manakala serangan kali keduanya hanya berlaku sedikit penentangan oleh orang-orang Melaka berhampiran jambatan dengan menggunakan meriam.
Afonso de Albuquerque telah mengarahkan satu pagar pertahanan didirikan pada setiap jalan keluar yang menghala ke jambatan tetapi jalan keluar ke laut di bawah jambatan harus dipastikan selamat. Di kiri dan kanan jambatan pula telah didirikan pagar setinggi orang berdiri.
Di bawah panas terik matahari tentera Portugis berkubu di jambatan di mana mereka juga dihujani dengan anak panah dan buluh sumpitan dari rumah-rumah yang berdekatan dengan jambatan. Afonso de Albuquerque telah mengarahkan sebuah layar diambil dari kapal untuk diletakkan di atas jambatan. Ia selain digunakan untuk perlindungan panas terik matahari, ia juga digunakan sebagai perlindungan.
Dengan kejayaan tentera Portugis menduduki jambatan untuk kali keduanya bermakna bandar Melaka telah dikuasai sepenuhnya oleh tentera Portugis. Demi keselamatan, Sultan telah berundur dari istana dan memulakan serangan dari luar. Melaka secara rasmi ditakluki oleh Portugis pada 15 Ogos 1511 setelah genap sebulan setengah ketibaan Afonso de Albuquerque pada 1 Julai 1511. Penawanan bandar Melaka dilakukan oleh 800 tentera Portugis dan 200 askar upahan Malabari dari barat daya India. Mereka menggunakan senjata utama seperti pedang, lembing dan perisai disamping senjata berat seperti meriam dari kapal.
Berdasarkan serangan kali kedua menyebut tentera Portugis mengikut jalan arah ke masjid tetapi tidak melewati masjid. Ini bermakna kedudukan istana adalah di belakang masjid dari arah pantai. Jika dilihat daripada peta yang dilukis oleh Belanda mengikut skala selepas Portugis dengan jelas kelihatan kedudukan A Famosa ketika itu adalah di tepi gigi air. Yang kita lihat sekarang di kawasan Bandar Hilir adalah kawasan penambakan laut yang menjadikannya daratan. Oleh itu dakwaan setengah orang yang menyatakan kedudukan masjid agong Melaka betul-betul terletak di pintu A Famosa ternyata meleset. Ia juga boleh disahkan dari lakaran peta yang dilukis oleh Portugis yang mencatatkan tahun 1630 di mana kota kubu ini dinamakan Fortaleza Dalam peta ini yang disebut Porta de Santiago juga terletak di tepi gigi air.
Begitu juga ada yang menyebut kedudukan masjid agong terletak di Gereja Stadthuys sekarang tetapi dalam kedua-dua serangan tentera Portugis menyebut peperangan berlaku dalam dua lokasi. Pertama di bandar yang berhampiran dengan istana yakni di sisi masjid. Yang kedua ialah di jambatan kayu berlaku pertempuran hebat bagi penguasaan jambatan oleh tentera Portugis. Berdasarkan peta, kedudukan jambatan adalah berhampiran dengan gereja maka kedudukan masjid bukanlah di sini.
Dipercayai kedudukan istana dan masjid agong adalah di sekitar tempat terbinanya replika istana Sultan Melaka sekarang. Istana adalah kediaman sultan yang harus dilindungi dari pelbagai ancaman sama ada lanun atau serangan asing. Oleh itu kedudukan istana haruslah ada pelindung semula jadi demi keselamatan kerana bandar Melaka tidak memiliki kota batu. Oleh itu istana Melaka terlindung oleh sebuah bukit di mana di atas bukit boleh didirikan balai peninjau dan ada pengawalnya, Sebab itulah istana dan masjid bukan berada di sekitar bangunan gereja Stadthuys yang kedudukannya mengadap Sungai Melaka.
Fakta yang lebih jelas boleh dirujuk daripada buku 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn yang ditulis oleh 马欢 Mǎ huān, seorang pencatat pelayaran dan penterjemah bahasa Arab dan Parsi semasa Ekspedisi Laksamana Zheng he. Dalam buku ini mencatatkan dua perkara penting iaitu kedudukan istana dan jambatan kayu.
Pertama, dituliskan, "有一大溪河水,下流从王居前过入海." Terdapat sebuah sungai yang besar di mana di hilir sungai masuk ke laut (bermaksud di kuala sungai) dibina kediaman raja yang berhadapan dengan sungai. Dalam buku yang sama Mǎ huān menulis tentang istana raja Champa, "其城以石垒,开四门,令人把守." Kotanya diperbuat daripada dinding batu, mempunyai 4 pintu dan dijagai oleh pengawal. Namun Mǎ huān tidak menyebut wujudnya sebarang dinding batu di bandar Melaka.
Kedua, dituliskan, "其王于溪上建立木桥,上造桥亭二十馀间,诸物买卖俱在其上." Rajanya mendirikan sebuah jambatan kayu di atas sungai itu dan dibina lebih daripada 20 buah pondok bertujuan meletakkan barangan untuk jual-beli. Ini bermakna jambatan bukan sahaja digunakan untuk laluan antara dua tebing sungai tetapi terdapat gerai-gerai jualan. Yang pastinya di tepi tebing Sungai Melaka yang berhampiran dengan jambatan juga digunakan untuk perniagaannya terutamanya membina gudanb-gudang seperti yang ditulis dalam catatan Portugis. Maka bolehlah ditafsirkan bahawa pelabuhan Melaka adalah sepanjang kuala Sungai Melaka .
Jika kita lihat kedudukan gereja Stadthuys adalah berhampiran dengan jambatan yang pasti dahulunya tempat ini adalah lokasi pelabuhan yang sibuk. Maka sudah tentu istana sultan tidak didirikan di sini. Istana seharusnya ditempatkan di lokasi yang eksklusif luar daripada hiruk-pikuk pedagang-pedagang yang berjual-beli dan tempat pemunggahan barang-barang.
Yang membezakan tentera Portugis dengan tentera dan pertahanan Melaka ialah tentera Portugis sememangnya telah terlatih dan pernah berperang di Hormuz, Oman dan Goa di India. Struktur tentera lengkap dipimpin oleh ramai kapten dengan orang-orangnya yang menerima arahan terus dari Afonso de Albuquerque. Dengan memiliki perisai adalah satu kelebihan apabila berlawan secara berdepanan. Sebaliknya tentera Melaka walaupun disebut memiliki senapang tetapi mungkin tidak dibekalkan dengan peluru yang banyak. Dipercayai mereka adalah tentera upahan Gujerat dan orang-orang Gujerat yang menurunkan senjata dari kapal-kapal mereka. Tentera dari kalangan orang Melayu dibekalkan dengan senjata tradisional. Selainnya adalah dari rakyat Melaka yang membawa apa saja senjata. Tiada pemimpin yang boleh memberi arahan di medan perang selain putera-putera sultan.
Berdasarkan serangan kali kedua menyebut tentera Portugis mengikut jalan arah ke masjid tetapi tidak melewati masjid. Ini bermakna kedudukan istana adalah di belakang masjid dari arah pantai. Jika dilihat daripada peta yang dilukis oleh Belanda selepas Portugis dengan jelas kelihatan kedudukan A Famosa sekarang adalah di tepi gigi air. Yang kita lihat sekarang adalah kawasan penambakan laut yang menjadikannya daratan. Oleh itu dakwaan setengah orang yang menyatakan kedudukan masjid agong Melaka betul-betul terletak di pintu A Famosa ternyata meleset.
Begitu juga ada yang menyebut kedudukan masjid agong terletak di Gereja Stadthuys sekarang tetapi dalam kedua-dua serangan tentera Portugis menyebut peperangan berlaku dalam dua lokasi. Pertama di bandar yang berhampiran dengan istana yakni di sisi masjid. Yang kedua ialah di jambatan kayu dan berdasarkan peta kedudukan jambatan adalah berhampiran dengan gereja. Oleh itu kedudukan masjid bukanlah di sini.
Kita selalu membaca buku-buku sejarah yang mengatakan empayar Melaka begitu gah dari utara Semenanjung hingga selatan termasuk Kampar, Riau, Bentan dan Lingga. Namun mengapa Melaka dapat dikalahkan oleh askar-askar Portugis dalam dua kali serangan sahaja di mana setiap kalinya tidak sampaipun dalam sehari. Paling tinggi sehingga waktu petang saja. Ini menunjukkan benteng pertahanan Melaka amat rapuh.
Malah negeri-negeri jajahan takluk tidak pula memberikan bantuan. Yang diharapkan Pahang akan membantu Melaka juga tidak kunjung tiba bantuan mereka. Masa selama sebulan setengah dari tarikh ketibaan orang-orang Portugis sehingga Bandar Melaka ditawan sepatutnya sudah ada bantuan ketenteraan dari luar. Di mana silapnya?
Pelantikan Sultan Mahmud Shah sendiri dikatakan penuh dengan percaturan puak-puak dalam keluarga besar diraja yang bersengketa. Begitu juga para pembesar negeri berebut kuasa dan fitnah berleluasa disebabkan ketidakupayaan Sultan menguasai istana apatah lagi untuk mentadbir negeri. Maka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah, Melaka sememangnya telah berada di ambang pengakhiran.
Setelah Bendahara Tun Mutahir dihukum bunuh yang dikatakan kerana fitnah maka ia melemahkan lagi sistem kerajaan di mana Bendahara Tun Perpatih Putih yang dilantik kemudiannya telah berusia 80 tahun. Asalnya beliau menolak pelantikan ini tetapi dipaksa juga oleh Sultan Mahmud Shah. Beliau dikenali sebagai Bendahara Tepok yang bermakna lumpuh. Oleh itu Sultan tidak mempunyai bendahara yang hakiki untuk membantunya menguruskan negeri yang menyebabkan pentadbiran Melaka menjadi kucar-kacir.
Tahun 1509 Diogo Lopes de Sequiere sampai di Melaka dan mengadakan perjanjian perdagangan dengan Melaka. Barang-barang yang diturunkan dari kapal-kapal Portugis ke gudang haruslah digantikan dengan barang-barang lain dari Melaka mengikut tempoh yang dipersetujui. Namun Bendahara Tun Mutahir mungkir janji lalu berkomplot untuk membunuh Diogo Lopes de Sequiere. Komplot yang gagal ini menyebabkan 20 orang Portugis ditahan di Melaka.
Salah seorang kapten yang ditahan di Melaka bernama Rui de Araujo telah menulis surat-surat kepada Afonso de Albuquerque melalui perantaraan seorang pedagang dari India bernama Nina Chatu yang memberitahu situasi di Melaka. Secara langsung kes Diogo Lopes de Sequiere inilah yang membawa kepada penawanan Melaka disamping niat Portugis sendiri yang mahu menguasai perdagangan rempah di rantau ini.
Kita lihat siapa orang-orang yang berada di sekeliling Sultan Mahmud Shah. Bendahara Tepok memang tidak mampu menjalankan tugas malah sentiasa diusung. Kita tidak tahu apa muslihatnya meletakkan seorang yang sudah lumpuh berusia 80 tahun di posisi itu melainkan ada percaturan kuasa lain di belakang Sultan yang inginkan situasi itu berlaku.
Jadi segala kerja dijalankan oleh Sultan sendiri dengan bantuan para pembesar lain yang saling bersengketa dan berebut kuasa. Kerana itulah juga Bendahara Tun Mutahir dibunuh namun dalam catatan Portugis menyatakan kesalahan terbesar Tun Mutahir ialah merencanakan komplot membunuh Diogo Lopes de Sequiere atas perkenan Sultan.
Episod ini diterangkan dengan jelas dalam catatan Portugis. Bermakna kejadian penaklukan Melaka di tahun 1511 telah dibayangi dengan komplot Bendahara mahu membunuh Diogo Lopes de Sequiere di tahun 1509 lagi. Hanya pihak Melaka yang alpa selama dua tahun tetapi Portugis sedang merancang sesuatu yang lebih besar.
Tidak seperti ketika era Sultan Mansur Shah yang mempunyai Bendahara Tun Perak yang bijak dan berani serta masih bertenaga. Namun adik Tun Perak iaitu Bendahara Tun Perpatih Putih atau Bendahara Tepok hanya dijadikan simbol sahaja sedangkan tidak mampu menjalankan tugas sebagai bendahara. Oleh itu tentu ada sesuatu muslihat di sebalik pelantikan ini.
Tuan Bandar, seorang Benggali yang merupakan pegawai yang mewakili Sultan untuk berurusan dengan Portugis. Dalam pembahagian tugas untuk mempertahankan bandar Melaka, beliau mengetuai kumpulan ini. Akhirnya terkorban dalam serangan pertama Portugis. Tidak diketahui tugas hakiki Tuan Bandar dalam pentadbiran kerajaan Melaka ketika itu. Jika diikutkan tradisi semasa orang-orang Inggeris memerintah Tanah Melayu dahulu, orang Banggali selalunya terlibat dalam kepolisan. Mungkin juga Tuan Bandar sebagai ketua keselamatan di bandar Melaka disamping kebijaksanaannya membolehkannya menjadi orang kepercayaan Sultan untuk urusan luar.
Shahbandar, seorang Islam Gujerat akan sentiasa mengiringi Tuan Bandar dalam setiap pertemuan dengan Portugis. Melalui peranannya selain menjadi ketua pedagang-pedagang Gujerat, kemungkinan besar beliau berperanan sebagai ketua pemungut cukai pelabuhan dan operasi pelabuhan.
Utimutiraja, ketua kaum Jawa yang menjaga pinggir bandar Upeh. Beliau adalah orang terkaya di Melaka selepas Sultan. Utimutiraja bermuka-muka dengan Sultan yang merupakan pengkhianat besar dengan menjalin perjanjian sulit dengan Portugis demi keselamatan diri, keluarganya dan harta-bendanya.
Askar-askar Melaka kebanyakannya terdiri daripada askar upahan orang Gujerat yang diberikan senjata api. Askar-askar Melayu kebanyakannya dibekalkan dengan senjata tradisional seperti pedang, tombak dan anak panah. Termasuklah askar elit bergajah.
Persoalannya dalam pentadbiran kerajaan Sultan Mahmud Shah itu sendiri dalam keadaan yang kucar-kacir. Tuan Bandar dan Syahbandar bukanlah orang Melayu. Jika dilihat dalam carta pembesar-pembesar Melaka terdahulu wujud jawatan Temenggung yang menjaga keselamatan dalam negeri. Sepatutnya fungsi Tuan Bandar diisi oleh pembesar Melayu berjawatan Temenggung.
Dalam catatan Portugis tidak menyebut yang Melaka mempunyai angkatan laut. Namun kita diceritakan dalam sejarah Melayu menyebut selepas Laksamana Hang Tuah hilang tanpa jejak, Khoja Hassan dilantik menjadi laksamana yang baru. Selepas Laksamana Khoja Hassan dipecat kerana memfitnah Bendahara Tun Mutahir, jawatan laksamana itu diberikan kepada Hang Nadim. Bagaimanapun dalam pembahagian tugas untuk mempertahankan bandar Melaka tidak pernah disebut dalam catatan Portugis tentang adanya seorang Laksamana.
Jika wujud identiti Laksamana pula sudah tentulah seorang Melayu maka tentunya beliau diberikan peranan menjaga keselamatan di laut. Jadi keselamatan Melaka sememangnya tidak dipegang oleh orang Melayu. Sultan Mahmud Shah hanya mengharapkan dua orang puteranya untuk mengetui barisan hadapan peperangan.
Berdasarkan catatan Portugis juga mengesahkan tidak wujud identiti Si Kitol yang dikatakan pengkhianat yang membuka pintu kota Melaka yang sering kita dengari selama ini dengan membenarkan Portugis menyerang kota Melaka. Ini kerana bandar Melaka era kesultanan Melaka bukanlah sebuah kota yang berdinding batu seperti yang dibina oleh Portugis kemudiannya.
Sebaliknya yang wujud ialah identiti seperti Nina Chatu dan Utimutiraja sahaja sebagai faktor sampingan yang mengkhianati Melaka. Kesilapan dan kealpaan harus diletakkan di bahu Sultan Mahmud Shah dengan ketidakupayaannya dalam mentadbir Melaka. Namun dalam catatan sejarah kita seperti biasanya tdak akan meletakkan kesalahan di pihak sultan dan setiap hujahan kita pula sering menyebut "sejarah ditulis oleh pihak yang menang" tetapi kita tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri.
Setelah penawanan Melaka, Afonso telah memerintahkan pembinaan sebuah kota kubu yang disiapkan di tahun 1512. Ia berukuran dalam 50 meter panjang dan lebarnya. Ia dibesarkan lagi dalam tahun 1586. Portugis memerintah di Melaka selama 130 tahun dan kemudiannya Belanda berjaya menawan Melaka di tahun 1641 dengan bantuan kesultanan Johor. Kota yang asal hampir musnah tetapi dibina kembali oleh Belanda. Di tahun 1670 Belanda telah membuat pengubahsuaian terhadap ukiran Porta de Santiago dan yang lain-lainnya pintu kota.
Terdapat pendapat dari ahli sejarah yang menyatakan kedudukan pintu kota yang kita lihat hari ini bukanlah tempat Porta de Santiago yang asal tetapi telah dienjakkan ke hadapan semasa Belanda. Terdapat ukiran keris pada pintu Porta de Santiago yang melambangkan identiti Melayu yakni kerjasama dari kerajaan Johor. Jadi pintu Porta de Santiago yang kita lihat hari ini adalah hasil binaan semula oleh orang Belanda namun sebagai legasi Portugis. Ramai yang berkunjung ke pintu kota kubu ini masih menganggap ia adalah binaan Portugis.
Dalam tahun 1795 Belanda terpaksa menyerahkan Melaka buat sementara waktu kepada Inggeris kerana Belanda terlibat dalam peperangan dengan Perancis. Belanda khuatir jika kalah kepada Perancis maka tanah jajahannya juga turut diserahkan kepada Perancis. Inggeris tidak berapa berminat untuk menguruskan Melaka kerana ia bersifat sementara dan kos penyelenggaraan yang tinggi terhadap kota ini. Jadi Inggeris telah hampir memusnahkan kota kubu ini di tahun 1807. Namun ditinggalkan Porta de Santiago saja atas permintaan Sir Stamford Raffle yang bertujuan untuk tinggalan sejarah. Setelah tamat peperangan, Inggeris telah memulangkan Melaka kepada Belanda dalam tahun 1818. Dalam tahun 1824 telah dimeterai Perjanjian Inggeris-Belanda di mana Melaka secara rasmi berada di bawah penjajahan British.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

C&P: 19/11/2025: 9.05