Saturday, 22 November 2025

DIASPORA MELAYU

Kredit: Kisah Sejarah Melayu
Posted by: Sunan Sufi :20 November 2025

Maksud diaspora ialah penyebaran penduduk; Ia merujuk kepada pemergian satu populasi besar dari tanah air asal mereka dan penempatan mereka di negara atau kawasan lain di dunia.Rumpun Melayu sebagai kumpulan minoriti tetapi merupakan peribumi kepada negara-negara itu terdapat di negara Singapura,Selatan Thailand,Vietnam,Selatan Myanmar dan Taiwan (Farmosa).Di negara-negara di luar Alam Melayu mereka adalah penghijrah atau kelompok Melayu diaspora.
Fenomena penghijrahan ini mula berlaku pada zaman Sriwijaya antara abad ke-7 hingga abad ke-13 secara kecil-kecilan dan mungkin juga berkeluarga.Rumpun Melayu itu berhijrah dengan belayar ke Pulau Madagaskar di pantai timur benua Afrika.Mereka dikatakan penyumbang kepada tamadun awal di pantai timur benua Afrika dengan memperkenalkan kegiatan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.
Rumpun Melayu sebagai minoriti terdapat di Pulau Hainan dan wilayah Kwantung di Selatan Negeri Cina. Mereka dipercayai adalah daripada keturunan Champa yang mendiami pesisiran pantai Semenanjung Indo-China.Sekumpulan yang agak besar keturunan Melayu Champa dari Vietnam itu, disebabkan oleh peperangan berhijrah dan menjadi penduduk tetap di negara Cambodia,dianggarkan hampir sejuta orang.Di Vietnam mereka adalah penduduk peribumi yang pernah menubuhkan kerajaan Melayu Champa yang bertahan agak lama dari abad ke-2 hingga ke pertengahan abad ke-15 Masihi. Kerajaan Champa itu tumbang setelah sekian lama berperang dengan bangsa Daiviets dari utara yang kini menjadikan wilayah itu sebagai Vietnam.
Di Segenting Kra, terdapat sekitar 100,000 pribumi Melayu tetapi perkampungan mereka termasuk ke dalam sempadan Selatan Myanmar.
Sebahagian besar Melayu diaspora, iaitu mereka yang berhijrah dan menjadi kelompok minoriti di negara-negara di luar Alam Melayu, melakukan penghijrahan pada zaman penjajahan di wilayah budaya Alam Melayu ini. Ini termasuklah kewujudan Melayu diaspora di Australia,Britain,Sri Lanka,Afrika Selatan, Surinam,Arab Saudi dan beberapa lagi.Tetapi penghijrahan juga berlaku pada zaman selepas penjajahan seperti kehadiran rumpun Melayu keturunan Champa di Amerika Syarikat dan Perancis serta rumpun Melayu dari wilayah Patani (Selatan Siam) dan Malaysia di Arab Saudi dan Mesir, serta rumpun Melayu Sri Lanka di Canada.
Di sesetengah negara seperti Australia,Arab Saudi,Britain dan Amerika Syarikat p'hijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke negara negara tersebut berterusan hingga akhir abad ke-20 serta memasuki abad ke-21 ini.Berbeza daripada zaman penjajahan apabila sebahagian penghijrahan itu adalah kerana dipaksa,penghijrahan pada zaman pasca merdeka dari negara-negara Malaysia, Indonesia,Singapura dan Brunei berlaku secara sukarela iaitu untuk mencari pekerjaan ataupun untuk mendapatkan ilmu tetapi kemudiannya memilih untuk tinggal menetap di negara-negara berkenaan.
Sebagai rumusan kepada bahagian ini, kesemua kelompok Melayu diaspora yang berada di negara-negara di luar Alam Melayu seperti China,Australia,Madagaskar,Sri Lanka, Afrika Selatan,Kemboja,Mesir,Arab Saudi, Perancis, Belanda, Britain, Amerika Syarikat dan Surinam adalah juga kumpulan minoriti di negara-negara tersebut. Bagi negara-negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Taiwan, mereka adalah kumpulan minoriti tetapi kedudukan mereka adalah sebagai pribumi di negara-negara tersebut.
Untuk Pulau Madagaskar,rumpun Melayu di sana sudah dianggap sebagai pribumi kerana kehadiran mereka di pulau itu sudah begitu lama, di sekitar seribu tahun.Juga, bangsa Merina dari rumpun Melayu itu adalah bangsa yang pertama menubuhkan Kerajaan Merina di negara itu.
Petikan diambil dari ucapan oleh Prof. Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh di dalam Seminar Peradaban Melayu pada tahun 2012 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

C&P: 22/11/2025: 11.34 p.m


No comments: