Friday, 17 October 2025

1971 - BANJIR BESAR DI KUALA LUMPUR

Kredit: JAGAT IMPAK

Peristiwa banjir besar yang berlaku pada tahun tersebut merupakan kali kedua selepas satu bencana alam yang dahsyat yang berlaku pada tahun 1926. Malah berdasarkan petikan daripada laporan Berita Harian pada tahun 1971, cucu kepada Allahyarham Haji Abdullah Hukum iaitu Encik Abu Bakar merumuskan bahawa banjir yang berlaku pada tahun 1971 adalah sama buruk dengan peristiwa yang digelar sebagai bah besar tahun 1926. Ini kerana air deras telah menenggelamkan landasan kereta api di Jalan Bangsar.
Petanda awal kejadian banjir itu berlaku apabila aras air di beberapa sungai mula deras dari 80 kaki sehingga ke 105 kaki atau 24 ke 32 meter pada Disember 1970 yang mana ia merupakan paras yang tinggi berbanding biasa. Disebabkan itu, pada tahun awal tahun 1971 hampir keseluruhan kawasan tanah rendah di negara ini ditenggelami air.
Menurut sumber, banjir pada tahun 1971 ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur, ia juga melibatkan 3 negeri iaitu Pahang, Selangor dan Johor. Ribuan penduduk dari 3 negeri ini terpaksa dipindahkan. Pahang merupakan negeri paling banyak iaitu seramai 40,000 orang. Manakala di Johor hampir 17,000 orang dan Selangor adalah sebanyak 14,000 orang. Manakala penduduk yang menerima ancaman banjir besar dari seluruh negara adalah sebanyak 180,000 orang dan negara mengalami jumlah kerugian yang besar, kira-kira RM 35 juta!
Tun Abdul Razak telah memanggil sidang kabinet tergempar untuk mengumumkan perlantikan 2 jawatankuasa kabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir dan satu jawatankuasa khusus untuk menaksir kerosakan, mengkaji dan menyarankan langkah pemulihan ekonomi dan sosial. Beliau sendiri yang mengetuai jawatankuasa ini dan beliau turun padang untuk melawat tempat-tempat yang ditimpa bencana dan mengarahkan seluruh jentera kerajaan untuk memberikan bantuan makanan dan rawatan perubatan yang segera kepada mangsa-mangsa banjir.
Sumber: Lobak Merah

Copy and paste:
17 Oktober 2025: 5.00 p.m

No comments: