Wednesday, 8 October 2025

NOTA ILMU: MENGENAI HATI & PENYUCIAN HATI

  • Buta Hati: tidak mampu memahami satu hukum pun dari sekian banyak hukum Allah. 
  • Hati yang hidup: masih ada rasa bersalah
  • Hati yang lembut adalah hati yang mahu menerima nasihat agama dan mematuhinya serta melaksanakannya dengn khusyuk.
  • Hati yang mati : berasa gembira apabila melakukan kesalahan. Penyebab kepada kematian hati adalah kehilangan nilai-nilai jati diri dan keimanan seperti sabar, syukur, takut kepada Allah s.w.t.
  • Hijrah Hati : Hijrah secara menyeluruh hanya boleh dilakukan apabila dimulakan dengan hijrah hati. Sebab itulah ada individu yang mulanya telah berhijrah tetapi akhirnya kembali kepada tabiat asal kerana hatinya belum berhijrah. Kekalkan hijrah hati jika ingin berubah secara istiqomah. 
  • Ilmu Tasawuf: Ilmu bagi mengetahui segala kelakuan hati. 
  • Kehadiran hati: mengosongkan hati daripada segala sesuatu selain apa yang sedang kita kerjakan dan ucapkan. Kehadiran hati adalah roh solat. Ubat untuk menghadirkan hati adalah mengusir perkara-perkara yang terdetik dalam hati mereka. 
  • Penyakit Hati: penghalang cahaya Ilahi masuk ke dalam hatinya. Pada saat itu dia tidak menyedari bahawa hatinya telah tertutup daripada cahaya Ilahi. Serendah-rendah penyakit hati adalah hati yang keras iaitu hati yang tidak menerima nasihat, sedangkan bahayanya yang paling besar ialah kufur. 
  • Qanaah: hati yang berpada-pada dengan apa-apa yang ada. Sedikit mencukupi, banyak boleh diagih-agih. 
  • Qalbun Saalim: hati yang sejahtera. Kalau kita diuji dengan kesenangan kita bersyukur, kalau kita diuji dengan kesusahan, kita bersabar dan redha. Itulah Kekayaan Hati
  • Tazkiatunnafs : pembersihan hati - Al Quran penawar kepada hati yang sakit. Dengan membaca al Quran hati akan menjadi tenang, walaupun tanpa mengetahui maknanya, apatah lagi apabila maknanya difahami dan dihayati. 
    1. Peringkat takhalli : mengosongkan jiwa daripada kekotoran hati.
    2. Peringkat Tahalli : memasukkan mahmudah seperti pemaaf, pemurah, berani, takut Allah, sabar dan tawakal ke dalam hati. 
    3. Peringkat Tajalli : peringkat hati seseorang itu telah tersingkap daripada hijab antara dirinya dengan kebesaran dan keagungan Allah. 
  • Uzlah Hati : Diri tetap bergaul dengan manusia tetapi hati tetap bersama Allah.
  • Zakaatunnafs: penyucian jiwa bererti penyucian daripada segala penyakit,penguatannya dengan penyokong dan penghiasannya dengan nama-nama dan sifat-sifat. 
  • Penyebab kepada kematian hati adalah kehilangan nilai-nilai jati diri dan keimanan seperti sabar, syukur, takut kepada Allah s.w.t. Akibat kematian hati ini adalah adanya dengki, ujub dan penipuan. 
  • Allah berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 46: "Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang didalam dada."
  • Ucapkanlah "Hasbunallah wa ni'mal waakil" insyaAllah hati kita akan menjadi tenteram. 
  • Kotoran hati lebih halus daripada kotoran pada tubuh. 
  • Didalam banyak-banyak kekotoran hati, penyakit syirik merupakan satu-satunya penyakit yang paling bahaya. 
  • Hati tidak bersih atau kotor berpunca dari banyak perkara seperti sombong, angkuh, berdendam,dengki, takbur, iri hati, bakhil, kedekut, tamak haloba dan lain-lain perbuatan yang merugikan. 
  • Kebersihan zahir dapat dilihat kekotorannya manakala kekotoran hati tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali apabila dapat dikesan melalui amal perbuatan dan tindak tanduknya. 
  • Hati itu boleh berkarat. Pencucinya adalah Al Quran. 
  • Hati merupakan medan peperangan antara akal dan nafsu. 
  • Hati adalah bahagian tubuh manusia yang paling besar bahayanya, paling kuat pengaruhnya, paling sukar dan pelik masalahnya dan paling halus serta rumit untuk memperbaiki. 
  • Lisan merupakan cermin hati seseorang. 
  • Hati merupakan pusat penilaian Rabbul Alamin. 
  • Kebaikan seluruh bahagian tubuh bergantung kepada kebaikan hati. 
  • Dalam hati ada 2 permata yang sangat bernilai iaitu Akal dan Makrifat sebagai puncaknya yang menjadikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Kemudian Mata Hati yang menentukan kemuliaan di sisi Allah. 
  • Allah di hati dan kekayaan di tangan. Kekayaan di tangan boleh diagih-agihkan disebabkan sifat pemurah di dalam hatinya. 
  • Hati-Hati menjaga Hati : Hati ialah raja dalam Kerajaan Diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai "penyampai maklumat" yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat yang disampaikan baik, maka baiklah hati. Apabila hati baik, seluruh anggota dan pancaindera akan menjadi baik.  Begitulah sebaliknya. 
  • Dekat dengan Masjid ertinya dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah. Dekat dengan Allah ialah syarat hati menjadi tenang. 
  • Jika hati hampir dengan Allah, jarak yang jauh akan menjadi dekat. Namun jika hati jauh dengan Allah, jarak masjid yang dekat pun akan terasa jauh. 
  • Hati sentiasa menjadi pertempuran antara syaitan dan malaikat. Waswas daripada syaitan dan ilham daripada para malaikat sentiasa berebut-rebut untuk menguasai hati. 
  • Maksiat menjadikan hati gelap, kebaikan akan menyebabkan hati bersinar. 
  • Cinta boleh memperhambakan seseorang. Dia akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, kerana cinta mampu menguasai hati. Cinta yang menguasai hati itulah yang akan menentukan nasib seseorang sama ada ke syurga atau ke neraka. 
  • Dalam hati tidak boleh ada tuhan selain Allah. Hijrahkan hati daripada "terlalu banyak tuhan" kepada satu tuhan iaitu Allah s.w.t.
  • Hati punya kuasa untuk mengenali Allah berbanding anggota atau elemen yang lain. 
  • Dunia berada di tangan, akhirat tetap di hati. Dunia hanya akan aman dan selamat apabila berada di tangan orang yang tidak mencintai dunia. Dunia akan diletakkan selama-lamanya sebagai alat, bukan matlamat sebagai jalan bukan tujuan. 
  • Tidak salah memiliki kesenangan dunia. Yang salah ialah apabila meletakkan dunia sebagai cinta utama di hati. Dalam hati tidak boleh ada 2 cinta. Hanya cinta Allah sewajarnya bertakhta di hati. 
  • Ketenangan itu letaknya di hati.... hati yang dekat dengan Allah. Kesenangan tidak akan mampu membeli ketenangan. 
  • Tanpa zikir hati akan mati, kehidupan akan hilang arah. Zikir itu umpama air pada hati yang kering. Ia membasahkan sekaligus membersihkan hati. Zikir juga akan menanggalkan segala kotoran dosa yang menggelapkan hati. 
  • Orang yang berzikir dengan lidahnya tetapi hatinya tidak, zikir itu tidak akan dapat mengubat hatinya. Impak zikrullah terjadi hanya denga hati yang menyedari Allah sentiasa melihat dan mengawasi. 
  • Hati tidak dapat diubati kecuali dengan adunan ilmu dan amal. 
  • Keperluan asasi bagi hati ialah iman. Hati atau qalbu dalam bahasa Arab bermaksud berbolak balik. Ertinya, hati itu sentiasa tidak tenang kerana sifatnya yang berbolak balik. 
  • Mata jendela bagi hati. Jika mata melihat yang baik-baik, maka hati akan terpelihara daripada perkara yang buruk. Untuk menjaga hati maka kita perlu menjaga mata. Apa yang masuk melalui mata akan memberi kesan yang mendalam kepada hati. 
  • Buta mata tidak nampak jalan di dunia. Buta hati tidak nampak jalan ke akhirat
  • Mata itu anak pintu bagi hati. Oleh itu tahanlah pandangan daripada maksiat dan gunakanlah ke arah taat seperti melihat Al Quran, pemandangan yang indah, renungan kasih sayang kerana Allah semata-mata. 
  • Dari mata jatuh ke hati > dari hati lahirnya lisan dan tindakan. 
  • Jika hati baik, lidah pun menjadi baik. 
  • Mata sangat mempengaruhi hati, usaha ke arah menjadi manusia yang lebih baik mestilah bermula dengan menjaga mata. Kemudiannya akan terjagalah hati. 
  • Kejahatan manusia berpunca daripada kejahatan hati akibat tidak menjaga mata. 
  • Ibnu Mas'ud berkata : "Carilah hatimu di tiga keadaan. Saat mendengar ayat-ayat Al Quran dikumandangkan, di majlis-majlis tempat orang-orang berzikir dan pada saat engkau berada sendirian di tempat sunyi. Jika tidak kamu dapatkan hatimu ditempat-tempat ini, maka bermohonlah kepada Allah agar mengurniakan hati lain, sebab pada dasarnya hati yang engkau sekarang bukan lagi hatimu."
  • Hati orang fasik dan munafik sangat benci pada peringatan dan kebenaran. 
  • Orang yang sakit hatinya akan benci pada tazkirah, ceramah Agama dan majlis-majlis Zikrullah. 
  • Membersihkan hati lebih utama daripada hanya membanyakkan amalan. 
  • Dalam hati, sentiasa ada dua bisikan, Bisikan malaikat dan waswas syaitan. Jika hati bersih, manusia akan mendengar bisikan malaikat. Sebaliknya, jika hati kotor dan berpenyakit, manusia akan mengikut bisikan syaitan.
  • Syirik terjadi apabila dalam hati ada "tuhan-tuhan" lain yang diagungkan selain Allah. 
  • Banyak makan akan menguatkan syahwat dan mengeraskan hati. Puasa mampu melentur hawa nafsu, justeru membersihkan hati. 
  • Orang yang berpenyakit hati suka pada kekacauan, huru-hara dan perbalahan. Mereka sentiasa mencari jalan untuk melagakan dan memporak-perandakan masyarakat. Salah satu caranya adalah dengan menabur fitnah. 
  • Hati orang yang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. 
  • Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan sebanyak-banyaknya. Bukan untuk diletakkan dalam hati, sebaliknya hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan. 
  • Tanda hati itu telah berada di genggaman Allah adalah apabila hati itu mampu menangis kerana-Nya. 
  • Kekhusyukan dalam solat merupakan ukuran kekhusyukan hati. Khusyuk merupakan tahap tertinggi daripada hati yang sihat. Kehilangan khusyuk bererti rosaknya hati dan keadaan. 
  • Untuk mendapat bantuan Allah, hati perlu dibersihkan daripada sebarang niat yang bukan kerana-NYA.Allah menilai hati. Hati yang kotor tidak akan dapat bantuan Allah. 
  • Tepuk dada dan tanya hati, apakah dalam usaha yang kita lakukan sudah kita niatkan kerana Allah atau terselit niat-niat lain seperti inginkan pujian, balasan keduniaan, pangkat dan nama. 
  • Jagalah hati sebelum, semasa dan selepas melakukan sesuatu tindakan. Jika terganggu oleh sesuatu yang bukan kerana Allah, segeralah beristighfar. 
  • Hati-hati menjaga hati, berilah hati kepada pencipta hati. 
  • Hati yang tabah akan meringankan masalah yang berat. 
  • Bahagia itu letaknya pada hati. 
  • Harta bukanlah matlamat, tetapi hanya alat. Alat bukanlah jaminan untuk mencapai tujuan. Harta mungkin boleh menolak kemiskinan, tetapi harta tidak boleh menolak penyakit. 
  • Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Biarlah mati sentiasa hidup di hati. 
  • Amalan sedikit tetapi hati ingat Allah lebih bernilai daripada amal besar tanpa ingatan. 
  • Kesempurnaan Tauhid bukan pada ilmu Zahir, tetapi pada hati yang sentiasa berhubung dengan Allah. 
  • Hati itu merasa, akal pula berfikir. Fikiran dan perasaan saling berhubungan. Fikiran menentukan perasaan, justeru untuk mengawal perasaan, terlebih dahulu kawallah fikiran. 
  • Jangan dibutakan oleh kuasa kerana kuasa tidak akan kekal. 
Rujukan:
  1. Imam Nawawi : Al-Wafi Syarah Hadith 40. 
  2. Pahrol Mohamad Juoi : Di Mana Dia di Hati Ku?
  3. Pahrol Mohamad Juoi : Tenang ada di Sini.
  4. Pahrol Mohamad Juoi : Bukan Senang Nak Tenang. 
  5. Sa'id Hawwa : Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah al-Anfus - Tazkiyah an-Nafs. 
  6. Muhammad Al-Nawawi : Nasaihul Ibad (Nasihat Buat Hamba Allah).
  7. Imam Al-Ghazali : Minhajul Abidin - Wasiat Imam Ghazali
  8. 100 Pesanan Terakhir Rasulullah - Muhd Nasruddin Dasuki
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
8 Oktober 2025: 9.57 p.m

No comments: