Saturday, 11 October 2025

NASIHAT BUAT DIRI INI

  1. Kibriya' : apabila seseorang itu berasakan dirinya lebih mulia dan tinggi daripada orang lain.
  2. Ujub adalah punca bagi lahirnya sifat takabur.Punca sifat ujub itu adalah jahil dan penawarnya adalah ilmu.
  3. Untuk berjaya dalam hidup,kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka. 
  4. Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah, manakala orang yang gagal hanya berubah apabila terpaksa. 
  5. Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. 
  6. Buta mata tidak nampak jalan didunia, manakala buta hati tidak nampak jalan ke akhirat. 
  7. Berani kerana benar, takut kerana salah. Justeru kini telah ada orang yang berani kerana salah dan ada pula yang takut walaupun benar. 
  8. Lebih baik dosa yang menimbulkan rasa sedih berbanding taat yang menimbulkan rasa takbur. 
  9. Orang yang menang sesungguhnya lebih banyak merasai kegagalan berbanding orang yang gagal. 
  10. Sombong itu sifat terkutuk kecuali sombong terhadap syaitan dan hawa nafsu sendiri. 
  11. Hati itu boleh berkarat. Pencuci adalah Al Quran dan ingat Mati. 
  12. Dunia di tangan, akhirat di hati. Dunia hanya akan aman dan selamat apabila berada di tangan orang yang tidak mencintainya. Dunia akan diletakkan selama-lamanya sebagai alat, bukan matlamat, sebagai jalan bukan tujuan. 
  13. Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Biarlah mati sentiasa hidup di hati. 
  14. Berhati-hati menjaga hati, berilah hati kepada pencipta hati. 
  15. Orang yang kurang berdoa hakikatnya orang yang sombong. 
  16. Apabila kau hilang segala-galanya barulah kau temui dirimu. 
  17. Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. 
  18. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keinginan terhadap dunia dan manusia lain. 
  19. Mati itu adalah program realiti yang benar-benar realiti. Mati sebenarnya bukanlah satu pengakhiran, tetapi satu permulaan bagi satu kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi. Ini kerana hidup di akhirat kelak kekal abadi. 
  20. Kebanyakan manusia hanya TAHU, tetapi tidak KENAL Allah. Kenal dan tahu itu jauh berbeza. Kita hanya tahu Allah itu Maha Melihat, tetapi tidak merasai Allah Maha Melihat. Itulah puncanya kita masih tega dan tergamak melakukan kemungkaran walaupun kita tahu Allah Maha Melihat. 
  21. Apabila manusia tidak kenal Allah, manusia akan jadi lebih ganas dari haiwan. 
  22. Jangan dibesarkan anak dengan rezeki yang haram. Nanti hati mereka menjadi hitam. 
  23. Wang ringgit dan harta benda tidak mampu membalas jasa atau menebus bakti orang tua kita. Bukan semua perkara dalam hidup ini boleh dibeli dengan wang ringgit. 
  24. Satu ringgit dalam tangan jauh lebih baik berbanding berjuta-juta ringgit di dalam angan-angan. 
  25. Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir, tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup. 
  26. Teruskan berzikir walaupun hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada berkata-berkata yang kotor dan sia-sia. Tanpa Zikir hati akan mati, kehidupan akan hilang arah. 
  27. Hiduplah seperti orang yang bersesia untuk mati. Insya-Allah nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati. Hidup sebelum mati ini adalah bekal untuk hidup selepas mati. 
  28. Jangan bimbang jika tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika benar-benar tidak dihargai.
  29. Ego itulah yang selalu menuntut pengiktirafan dan sanjungan. 
  30. Tuhan tidak mencipta manusia bodoh...tetapi Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. 
  31. Kenapa Allah ciptakan kita dengan 2 telinga dan satu mulut > supaya kita kurangkan berkata-kata, tetapi banyakkan mendengar. 
  32. Masalah manusia bukan kerana tidak ada Tuhan tetapi kerana terlalu banyak Tuhan. - (Dr. Yusuf Qaradhawi). 
  33. Menangislah sekarang supaya kita tidak menangisi nasib kit di akhirat kelak. Ketika itu sudah terlewat untuk kita menangis ketika semua penghuni syurga sedang ketawa. 
  34. Kesenangan tidak akan mampu membeli ketenangan. Ketenangan itu terletaknya di Hati... hati yang dekat dengan Allah. 
  35. Selagi cita-citanya dunia, selagi cintanya manusia, maka selagi itulah hidupnya akan menderita.
  36. Harta mungkin boleh menolak kemiskinan, tetapi mana mungkin dapat mengelak penyakit. 
  37. Jangan dibutakan oleh kuasa kerana kuasa tidak akan kekal. 
  38. Takwa dan tawakal itu sangat sinonim. Orang bertakwa pasti bertawakal, Dia sentiasa mendapat jalan keluar daripada semua masalahnya.
  39. Hiburan sejati bertapak di hati, hiburan palsu bertapak pada hawa nafsu. 
  40. Adakala, manusia yang paling tidak terhibur ialah penghibur itu sendiri. Mereka menghiburkan orang lain melalui lakonan, nyanyian, tarian dan lawak jenaka. Tetapi kehidupan mereka sendiri tidak terhibur. 
  41. Keperluan asas bagi hati ialah Iman.Hati atau qalb dalam bahasa Arab bermaksud berbolak balik. Ertinya hati itu sentiasa tidak tenang kerana sifatnya yang berbolak balik. 
  42. Orang beriman akan terhibur hanya dengan melihat ciptaan Allah. 
  43. Sedikit yang mencukupi lebih baik daripada banyak yang melalaikan. 
  44. Pesan hukama: "Ketika dilahirkan ke dunia, kau menangis, orang lain ketawa. Namun biarlah ketika kau meninggal dunia, kau tersenyum, orang lain yang akan menangis."
  45. Ibnu 'Ataillah pernah berwasiat :"Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali."
  46. Calon penghuni syurga ialah mereka yang paling banyak berdukacita di dunia. 
  47. Para Salafussoleh banyak menangis walaupun banyak beramal kerana takut-takut amalnya tidak diterima sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan kita masih sedikit dan dibimbangi tidak ikhlas pula. 
  48. Orang yang cinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Namun perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. 
  49. Tanda hati itu telah berada di genggaman Allah adalah apabila hati itu mampu menangis kerana-NYA. 
  50. Tidak ertinya pujian manusia jika Allah murka. 
  51. Zikrullah ialah "penghalau" syaitan yang menghembus rasa riyak ke dalam hati kita. 
  52. Ahli hikmah berkata : "Jika ingin Allah bercakap-cakap dengan mu, bacalah Al Quran. Sebaliknya, jika kamu ingin bercakap-cakap dengan-NYA dirikanlah solat."
  53. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia. Dunia penting kerana adanya hari akhirat. Bekalan untuk menuju kejayaan di akhirat dipersiapkan di dunia. Dunia ini ialah "modal" manakala akhirat itu ialah "keuntungannya". 
  54. Dunia itu alat, akhirat itu matlamat. Selagi dunia dijadikan alat untuk mencapati matlamat akhirat, maka selagi itulah akan memberi manfaat. Sebaliknya, jika dunia sudah dijadikan matlamat, akan menipu dan menghancurkan pemburunya. 
  55. Jika ingin mencapai kecemerlangan di akhirat, kecemerlangan di dunia mesti dicapai terlebih dahulu. Kecemerlangan dunia ialah 'bayangan' kecemerlangan akhirat. 
  56. Apa yang dilarang oleh Allah, itulah yang disukai oleh nafsu. Dunia ini dipenuhi oleh perkara-perkara yang sangat disukai oleh hawa nafsu. Menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang haram, sangat bertentangan dengan kehendak nafsu. 
  57. Kita tidak akan kalah selagi tidak mengalah. Di jalan Allah, keindahan itu bukan hanya berada di hujung jalan, malah berada di sepanjang perjalanan. Tidak ada gelisah di jalan Allah. 
  58. Jika ingin berubah secara istiqamah, mestilah hijrah itu mengekalkan Hijrah Hati. Hijrah Hati itu yang lebih dinilai oleh Allah s.w.t.
  59. Orang beriman akan sentiasa mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia. 
  60. Seseorang itu akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, kerana cinta itu menguasai hati. Cintai yang menguasai hati itulah akan menentukan nasib seseorang sama ada ke syurga atau ke neraka. 
  61. Kejahatan manusia berpunca daripada kejahatan hati akibat tidak menjaga mata.Kawallah pandangan, insya-Allah akan terkawallah kehidupan.
  62. Untuk berjaya, tiru sahaja sikap orang yang berjaya. 
  63. Perjalanan untuk tenang bukanlah suatu yang mudah, perlu melalui satu perjuangan yang getir yang bernama Mujahadah.
  64. Tidak bermanfaat amalan tanpa iman sebagaimana tidak diiktiraf akan kewujudan iman itu tanpa amalan. 
  65. Kebaikan jasad bergantung kepada kebaikan hati. Justeru hati itu adalah anggota yang terpenting di dalam tubuh manusia.
  66. Asal akal itu ialah dalam hati dan apa yang ada di dalam kepala adalah berasal darinya. 
  67. Dengan membaca Al Quran akan ditulis di dalam buku catatan amalan si pembaca kebajikan yang tidak terkira banyaknya dan menjadi syafa'at baginya di hari kiamat. 
  68. Al-Fudhail bin Iyadh berkata: "Seorang Mukmin itu dia yang memberi nasihat dan menutupi aib dan adapun orang yang jahat itu adalah dia yang membuka aib dan kejelekannya. "
  69. Seorang Mukmin itu adalah baik hatinya, lidahnya dan jasadnya, justeru bertempat di dalam hatinya iman. 
  70. Sesuatu amalan itu tidak akan diterima melainkan dengan makanan yang halal. Benda yang haram merosakkan amalan dan menghalangi amalan itu diterima. 
  71. Ibnu Abbas r.a.berkata : "Tidak akan diterima solat seseorang itu jika di dalam perutnya terdapat benda yang haram."
  72. Dengan perjalanan (bermusafir) sahaja akan menyebabkan penerimaan doa, Apabila jauh jarak perjalanan itu, maka ia lebih hampir kepada penerimaan doa. 
  73. Iman itu bertambah dan berkurang, iman bertambah dengan ketaatan dan berkurangan dengan perlakuan maksiat. 
  74. Tanda kesempurnaan iman ialah perkataan yang baik dan mendiamkan diri dari yang selainnya.  
  75. Lidah adalah anggota terbesar yang terjebak dalam dosa dan kejahatan. Kita perlu berdiam dan berkata-kata apabila perlu seperti belajar, mengajar dan memberi nasihat. 
  76. Setiap kali kita berhadapan dengan pilihan, maka menangkanlah iman. Kalahkan kemungkaran dengan tidak menjadikannya sebagai pilihan hidup. 
  77. Terdapat lebih 50 ayat dalam Al Quran yang bertanya adakah kita tidak berfikir. Berfikir dan menggunakan akal, berterusan meneroka ilmu dengan menggali kandungan Al Quran. Semakin kita berfikir tentang ilmu Allah, semakin kita menyedari luasnya Ilmu Allah. 
  78. Malu itu sebahagian daripada iman. Namun malu juga adalah penghalang ilmu sampai ke dalam hati, itu malu bertanya. Tiada malu dalam mencari ilmu
  79. Mulakan kehidupan beragama ini dengan ilmu. Berilmu sebelum berkata dan berbuat. Seseorang itu perlu berilmu sebelum berkata dan beramal. 
  80. Solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Namun solat yang bagaimana berupaya mencegah kemungkaran? >Solat yang dibuat bersama-sama dengan hati, solat yang benar-benar khusyuk akan mencegah pendirinya daripada sebarang kemungkaran. Tidak bermanfaat solat itu jika ia tidak mencegah perbuatan keji dan mungkar.
  81. Doa seorang anak boleh mengubah kedudukan ibu bapa mereka di akhirat nanti. 
  82. Anak bin Malik berkata: "Semua kata-kata menusia boleh diterima dan ditolak melainkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w."
  83. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Kemurkaan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa. 
  84. Akal adalah anugerah Allah yang menjadikan manusia lebih mulia daripada binatang. Akal menjadi penentu sama ada manusia berkelakuan seperti manusia ataupun binatang. 
  85. Selagi mana rasa ego itu terus berada dalam diri, maka selagi itulah akan terhijabnya diri daripada merasa hina kepada Allah. 
  86. Allah Maha Mengetahui apa yang tersimpan didalam hati, dan Allah akan turut menghisab apa yang ada di dalam hati itu. 
  87. Tahukah Maksud sebenar perkataan "Tanggungjawab". Maksudnya "Tanggung" di dunia, "Jawab" di akhirat. 
  88. Sombong itu adalah perangai Iblis. Iblis merupakan makhluk pertama yang bersikap takbur terhadap Allah s.w.t.
  89. Perbuatan mengumpat adalah umpama memakan daging busuk saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan sahaja berat, malah ia adalah di antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya boleh dimaafkan oleh orang yang menjadi mangsa umpatan. Selagi dia tidak memaafkan, dosa itu akan kekal dan akan menerima pembalasan di akhirat. 
  90. Sesiapa yang membuka aib saudaranya, maka aibnya sendiri akan dibuka oleh Allah di akhirat kelak. 
  91. Lebih baik berdiam diri jika tidak dapat mengawal lidah daripada memperkatakan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain. 
  92. Apabila kita marah, syaitan akan mengemudi sifat marah itu manakala iman dan takwa akan menjadi benteng bagi sifat pemaaf. 
  93. Sifat buruk sangka adalah merupakan jalan terbaik bagi Syaitan untuk mendorong manusia supaya bergaduh, mengumpat, melempar tohmahan, melakukan kejahatan, berpecah-belah dan sebagainya. 
  94. Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. Dosa memfitnah adalah di antara manusia dengan manusia. Dosa memfitnah tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali orang yang difitnah itu memaafkan orang yang memfitnahnya. 
  95. Mereka yang mengambil harta dari sumber yang haram akan menjadi sekutu Syaitan di Neraka kelak. 
  96. Selagi hutang dijelaskan sehinggalah yang berhutang itu meninggal dunia, rohnya akan tergantung-gantung, dan hutang tersebut akan terus dibawa ke akhirat kelak. 
  97. Dosa orang yang syahid diampuni kecuali hutangnya. 
  98. Seorang isteri yang keluar dari rumah suami tanpa izin, maka dia akan dilaknat oleh para malaikat dan semua makhluk dalam kalangan jin dan manusia sehingga dia kembali ke rumah tersebut. 
  99. Sahabat Sejati ialah mereka mendahulukan sahabat yang dalam kesusahan melebihi diri sendiri. 
  100. Apa jua bentuk pertolongan yang berupa kebaikan merupakan satu sedekah. Menyuruh orang lain berbuat kebaikan juga adalah satu sedekah. 
  101. Mereka yang suka bersedekah percaya bahawa sedekah itu merupakan pelaburan yang tidak akan mengalami kerugian bahkan amat menguntungkan.
  102. "Di dunia ini ada syurga. Barangsiapa yang ketika di dunia tidak dapat memasukinya, maka dia tidak akanpernah masuk syurga akhirat. Syurga dunia itu adalah zikir kepada-NYA, selalu berusaha dekat dengan-NYA dan merindukan-NYA. (Dr. Aid Abdullah Al Qarni).
  103. Kehilangan terbesar adalah ketika iman terlepas dari hati setiap orang dan kerugian yang nyata adalah ketika iman terkikis dari hati kita. Hidup tanpa iman seperti malam tanpa cahaya. 
  104. Takut kepada binatang buas, kita akan menjauhinya. Tapi takut kepada Allah, kita akan semakin mendekati-NYA. 
  105. Jika harta menyusut, hutang menumpuk, penghasilan berkurang dan sumber pendapatan menyempit, ucapkanlah "Hasbunallah wa ni'mal wakiil".
  106. Setiap kebaikan berasal dari pertolongan Allah dan setiap keburukan bersumber dari manusia itu sendiri. 
  107. Jangan pernah berhenti belajar. Bila kita berhenti belajar, maka pengetahuan kita hari ini tidak akan lebih baik dari kelmarin. 
  108. Sedarlah akan 3 hal, iaitu siapa diri kita, darimana kita berasal dan kemana kita akan pergi.

Rujukan:
  1. Dimana Dia di Hatiku - Pahrol Mohamad Juoi
  2. Tenang ada disini - Pahrol Mohamad Juoi
  3. Bukan Senang nak Tenang - Pahrol Mohamad Juoi
  4. Minhajul Abidin - Wasiat Imam Ghazali.
  5. Al-Wafi Syarah Hadith  40 - Imam Nawawi
  6. Penawar bagi Hati - Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili.
  7. Menjernih hidup beragama - Mohd Al Adib Samuri
  8. Nasihat buat Diri - Habib Ali Zaenal Abidin / Nur Mohamd Adli Rosli
  9. 100 Pesanan Terakhir Rasulullah - Muhd Nasruddin Dasuki
  10. Agar Allah memberi jalan keluar - Abu Firly Bassam Taqiy
  11. Nota Ilmu: Mengenai Hati & Penyucian Hati - Hj Zulheimy Maamor
Updated:
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
11 Oktober 2025: 10.45 p.m

No comments: