Friday, 17 October 2025

SIAPA MAHARAJA CHINA YANG PUJI NABI MUHAMMAD DENGAN PUISI?

Sumber : The Patriots

Oleh: Fahrin Azri
Korang tahu tak tentang The Hundred-Word Eulogy atau dalam bahasa Cina (Bǎizìzàn)? Walaupun beliau bukan orang Islam, baginda tulis bait‐bait pujian yang sangat tinggi terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan agama Islam. Contohnya dalam terjemahan ada baris macam “Mercy to the world”, “His religion Pure and True”, “Muhammad, The Noble & Great One”.
Apa yang lagi hebat bila Maharaja itu bukan saja puji Nabi tapi mempunyai polisi hormat dan sokong Islam iaitu dia suruh bina banyak masjid di bandar-bandar seperti Nanjing, Yunnan, Fujian dan Guangdong.
Juga disebabkan puisi itu, baginda letak di masjid-masjid supaya orang ramai boleh baca dan sedar bahawa pemerintah negara sangat menghargai keindahan agama Islam.
Itulah kisah menarik yang jarang dibincangkan iaitu seorang Maharaja China yang pernah menulis pujian khusus buat Nabi Muhammad. Maharaja itu ialah Hongwu, pengasas Dinasti Ming yang memerintah sekitar abad ke-14.
Puisi itu ditulis dalam bahasa Cina klasik dan penuh dengan kata-kata indah. Antara maksudnya ialah Nabi Muhammad digambarkan sebagai insan yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan mengajar manusia kepada kebenaran. Hebatnya, puisi itu masih disimpan di beberapa masjid lama di China hingga hari ini sebagai bukti betapa Islam pernah diraikan di sana.
Sikap Maharaja Hongwu ini menunjukkan sesuatu yang besar. Ia tanda Islam pada waktu itu diterima dengan baik oleh pemerintah, bukan dilihat sebagai ancaman. Malah, Hongwu sendiri mengarahkan supaya masjid dibina di bandar-bandar utama seperti Nanjing, Yunnan dan Fujian. Ini semua menunjukkan bahawa Islam telah menjadi sebahagian daripada warna masyarakat China.
Kalau kita tengok sejarah lebih jauh, Islam sebenarnya mula masuk ke China sejak zaman Dinasti Tang lagi. Pedagang Arab dan Parsi yang melalui Jalan Sutera membawa bukan saja barangan, tapi juga mesej Islam. Mereka membina komuniti kecil, berkahwin dengan penduduk tempatan dan akhirnya wujudlah masyarakat Muslim pertama di China.
Dari semasa ke semasa, Islam makin berkembang terutama di wilayah barat seperti Xinjiang dan Gansu. Masjid dibina dengan seni bina tempatan yang unik, ada yang bentuknya macam pagoda tapi fungsi tetap sama. Orang Islam di sana dikenali sebagai kaum Hui, mereka kekal berpegang dengan ajaran Islam walaupun berasimilasi dengan budaya China.
Bila masuk era Dinasti Yuan dan Ming, Islam makin mendapat tempat. Ramai orang Islam dilantik jadi pegawai kerajaan, ada juga yang jadi panglima tentera dan ahli sains. Zaman itu boleh dikatakan zaman keemasan Islam di China sebab pemerintah tidak sekat perkembangan agama, malah menghormatinya.
Maharaja Hongwu pula bukan menulis kosong sahaja. Beliau juga menekankan nilai keadilan, kejujuran dan kesetiaan yang katanya sama seperti ajaran Nabi Muhammad. Pujian ini menjadi simbol bahawa Islam bukan asing, tapi sebahagian daripada nilai sejagat yang dihargai oleh orang China sendiri.
Selepas itu, Islam terus berkembang secara damai walaupun ada turun naik mengikut zaman. Di beberapa wilayah, sekolah agama dan madrasah mula muncul. Ulama tempatan mula menulis kitab dalam bahasa Cina, malah terjemahan al-Qur’an pertama dihasilkan oleh sarjana Islam China sendiri.
Apa yang menarik, walaupun komuniti Muslim di China hidup dalam persekitaran budaya yang berbeza, mereka tetap mempertahankan identiti agama. Masjid masih penuh setiap kali Jumaat, dan sambutan Ramadan tetap meriah. Tradisi Islam terus hidup seiring dengan kemajuan moden yang berlaku di negara itu.
Kisah pujian maharaja Hongwu kepada Nabi Muhammad sebenarnya merupakan satu hubungan antara dua tamadun besar, iaitu Islam dan China yang pernah saling menghormati dan saling belajar antara satu sama lain.
Dan siapa sangka, di tanah yang jauh dari Arab, nama Nabi Muhammad tetap disebut dengan penuh hormat oleh seorang pemerintah yang bukan Islam. Itulah keindahan dakwah yang benar-benar menyentuh hati manusia tanpa paksaan, hanya dengan akhlak dan kebenaran.
_________________________
Macam mana sebenarnya Dinasti Qin melakar namanya di dalam sejarah China?
Jangan lupa dapatkan QIN: DINASTI TERRACOTTA tulisan Abdullah Sidek yang baru kami terbitkan bulan ini!
Kami hadiahkan 300 buku terawal akan dapat TANDATANGAN PENULIS siap dengan GIFT CARD yang mengandungi info-info tentang buku kami!
Pra-tempah sekarang:

Copy and paste:
17 Oktober 2025: 4.15 p.m

No comments: