Sunday, 26 October 2025

PARAMESWARA DARI SUMBER CHINA

Oleh: Megat Hisemudin Megat Kasim
FB Melaka Dulu-Dulu: 24 Oktober 2025

Menurut catatan Dinasti Ming bahawa Srivijaya yang berpusat di Palembang telah ditewaskan oleh Majapahit di tahun 1397. Dituliskan, "明洪武三十年 (1397), 满者伯夷国海军攻占旧港,灭三佛齐". Pada tahun ke-30 era 洪武 Hóngwǔ semasa pemerintahan 明太祖 Míngtài zǔ (1397), angkatan laut Majapahit telah menyerang dan menduduki Palembang maka berakhirlah kerajaan Sān fó qí iaitu Srivijaya.
Sebenarnya sebaik saja China bertukar kepada Dinasti Ming pada pertengahan abad ke 14, 明太祖洪武二年 (1369) 明太祖派赵述出使三佛齐,王坦麻沙那阿遣使随赵述进贡. Di tahun ke 2 era 洪武 Hóngwǔ semasa pemerintahan Maharaja 明太祖 Míngtài zǔ (1369), baginda telah menghantar utusan bernama 赵述 Zhào shù ke Sān fó qí. Raja Sān fó qí, 坦麻沙那阿 Tǎn máshā nà ā telah menghantar utusan mengikut Zhào shù menghadap ke istana. Tentang kemangkatannya dituliskan, "洪武九年 (1376), 坦麻沙那阿死." Di tahun ke 9 era Hóngwǔ semasa pemerintahan Maharaja Míngtài zǔ (1376), Tǎn máshā nà ā telah meninggal dunia. Dipercayai bagindalah yang disebut sebagai Adityawarman dari Dinasti Mauli berdasarkan tarikh kemangkatannya bertepatan dengan catatan China dan Indonesia.
Dalam catatan Dinasti Ming menyebut, "子麻那者巫里請紹封,獲封為三佛齊國王". Puteranya 麻那者巫里 Mánà zhě wū lǐ telah menghantar warkah ke istana dan beroleh watikah menjadi raja Sān fó qí. Baginda merupakan raja terakhir Sān fó qí atau Srivijaya. Dalam prasasti Saruaso II menyebutnya sebagai Ananggawarman. Dipercayai Parameswara adalah adinda kepada Ananggawarman yang melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu setelah Palembang diserang oleh Majapahit yang akhirnya membuka Melaka.
Jika dilihat dari turutan peristiwa di tahun 1376 Adityawarman meninggal dunia, manakala dalam catatan Indonesia menyebutnya di tahun 1375. Kemudiannya digantikan oleh Ananggawarman setelah memperolehi watikah dari Maharaja Dinasti Ming. Dari sumber China hanya menyebut Parameswara meninggal dunia di tahun 1414 yang bermakna jarak masa antara tahun 1376 ke 1414 ialah 38 tahun, yakni jarak kemangkatan antara seorang bapa dengan kemangkatan anaknya cuma 38 tahun dan ia adalah angka yang sangat wajar. Manakala Melaka didirikan sekitar tahun 1400 iaitu 24 tahun selepas kemangkatan Adityawarman. Dengan ini bolehlah dianggarkan usia Parameswara ketika mendirikan Melaka adalah sekitar 35 hingga 40 tahun, yakni baginda berusia antara 10-15 tahun semasa kemangkatan ayahandanya, Adityawarman.
Disebabkan Ananggawarman telahpun mewarisi takhta kerajaan Palembang maka Parameswara mencari untung nasib ke Semenanjung Tanah Melayu setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya. Oleh itu adalah wajar mengatakan bahawa Parameswara adalah anakanda kepada Adityawarman yang secara tidak langsung pewaris kepada kerajaan Melayu Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu.
Tome Pires yang menulis Suma Oriental mengejakan "Paramicura" yang bersumberkan dari catatan China 拜里迷蘇剌 Bài lǐ mí sū lá (dibacakan Pai li mi su la). Lalu kemudiannya ahli-ahli sejarah mengaitkan perkataan "Paramicura" dengan perkataan Sanskrit Parameśvara (परमेश्वर) iaitu imej lain bagi Śiva atau Mahadewa maka lahirlah nama "Parameswara". Sedangkan sumber primer dalam bahasa Cina yang menyebut "Pai li mi su la" tidak ada kaitan langsung dengan konsep ketuhanan "Parameśvara". Nama-nama yang tercatat dalam rekod China selalunya adalah nama yang tertera pada watikah pelantikan sebagai raja. Seperti 坦麻沙那阿 Tǎn máshā nà ā ialah Adityawarman, 麻那者巫里 Mánà zhě wū lǐ sebagai Ananggawarman namun tidak diketahui nama asal 拜里迷蘇剌 Bài lǐ mí sū lá (Pai li mi su la).
Menurut 汪大渊 Wāng dàyuān, seorang pengembara China semasa Dinasti Yuan yang membuat dua kali pengembaraan di tahun 1330 - 1335 dan 1337 - 1339 menyebut dalam bukunya 岛夷志略 Dǎo yí zhì lüè bahawa Siam telah menguasai Temasik dalam tahun 1349 dan tentulah kesultanan Melayu Temasik yang berasal dari Kerajaan Srivijaya sudah tidak lagi memerintah Temasik atau digantikan dengan pemerintahan oleh wakil Siam. Maka naratif yang menyebut Raja Iskandar Shah adalah keturunan kesultanan Melayu Temasik sukar diterima kerana tentunya Siam telah menghalau semua saki-baki kerajaan Srivijaya dari Temasik apabila menguasainya di tahun 1349.
Dalam Sulalatus Salatin menyebut, "Adapun baginda di Singapura tiga dua tahun, Singapura pun alah oleh Jawa" dirasakan tidak benar kerana yang diserang oleh Majapahit ialah Palembang, bukannya Singapura. Tentunya Majapahit tidak mahu mengusik Temasik yang berada di tangan Siam kerana ketika itu Majapahit dan Siam adalah dua kuasa dominan di rantau sebelah sini. Tambahan tidak ada kepentingan atau perbalahan antara Jawa dengan Singapura ketika itu.
Dalam 明史 Míngshǐ, buku sejarah Dinasti Ming yang disusun semasa Dinasti Qing menyebut 拜里迷蘇剌 Bài lǐ mí sū lá (dibacakan Pai li mi su la) iaitu Parameswara adalah seorang penghulu di Melaka ketika utusan China, 尹慶 Yǐn qìng sampai di Melaka di tahun 1403. Catatan China juga tidak menyebut asal-usul Parameswara. Jika diambil tarikh kejatuhan Srivijaya di tahun 1397 sehingga 1403 iaitu ketika Yǐn qìng sampai ke Melaka bermakna Parameswara telah membina penempatan di Melaka sekurang-kurangnya selama 6 tahun. Dalam banyak buku sejarah menyebut Melaka didirikan pada sekitar tahun 1400 adalah tepat.
Catatan China juga menyebut Iskandar Shah atau Megat Iskandar Shah adalah putera kepada Parameswara. Dalam Míngshǐ menyebut, "十二年,王子母干撒于的儿沙来朝,告其父讣". Pada tahun ke 12 era Yǒnglè (1414), putera raja 母干撒于的儿沙 Mǔ gàn sā yú de er shā iaitu Megat Iskandar Shah datang menghadap memberitahu kemangkatan ayahandanya. Ini mengesahkan bahawa Parameswara telah mangkat di tahun 1414 dan digantikan oleh puteranya bernama Megat Iskandar Shah. Dalam catatan yang lain hanya menyebutnya sebagai 亦思罕答儿沙 Yì sī hǎn dá er shā iaitu Iskandar Shah sahaja. Oleh itu Megat Iskandar Shah dan Iskandar Shah adalah merujuk kepada orang sama iaitu putera kepada Parameswara.
Dalam Sulalatus Salatin pula menyebut Raja Iskandar Shah telah mangkat setelah 3 tahun bersemayam di Melaka namun Sulalatus Salatin tidak pernah menyebut tarikh sesuatu peristiwa itu berlaku. Ia juga tidak menyebut tentang nama Parameswara tetapi mengatakan raja pertama Melaka ialah Raja Iskandar Shah yang pada sangkaan pengarangnya ialah Sultan Iskandar Shah, padahal baginda adalah putera kepada Parameswara. Namun demikian ahli-ahli sejarah sepakat menyebut pembuka Melaka ialah 拜里迷蘇剌 Bài lǐ mí sū lá (Pai li mi su la) iaitu Parameswara seperti yang tercatat dalam rekod Dinasti Ming.
Versi lain yang ditulis oleh Tome Pires menyebut anak raja Palembang yang melarikan diri ke Singapura adalah orang yang sama kemudiannya melarikan diri ke Malaka yang disebut sebagai Parameswara. Antara penulisan dalam Suma Oriental dan Sulalatus Salatin sama-sama menyebut Parameswara pernah berada di Temasik namun dari sorotan peristiwa catatan China tidak pernah menyebutnya begitu tetapi digambarkan Parameswara terus ke Melaka atau Muar setelah kekalahan Srivijaya dan Palembang diserang oleh Majapahit. Lebih meyakinkan dari catatan China kerana ia dikaitkan dengan tarikh setiap peristiwa itu tetapi dalam Suma Oriental dan Sulalatus Salatin tidak menyebut sebarang pertarikhan yang boleh dipercayai.
Dalam 明史 Míngshǐ, buku sejarah Dinasti Ming menyebut, "永樂元年十月遣中官尹慶使其地,賜以織金文綺、銷金帳幔諸物". Pada bulan ke 10 dalam tahun pertama era 永樂 Yǒnglè (1403), baginda telah menghantar seorang utusan bernama 尹慶 Yǐn qìng ke Melaka. Dihadiahkan selembar kain tenunan emas, sebidang kelambu dengan jahitan benang emas di tepinya dan lain-lain.
Sebelum itu nama Melaka tidak diketahui oleh pihak istana China. Melalui perkhabaran dari pedagang-pedagang Calicut, sebuah negara di barat daya India yang merupakan pusat dagangan timur-barat yang terkenal ketika itu barulah China mengetahui terdapatnya nama Melaka. Yǐn qìng telah singgah sekali lagi di Melaka dalam pelayaran balik ke China di tahun 1405.
Dalam catatan lain menyebut, "慶至,宣示威德及招徠之意。其酋拜里迷蘇剌大喜,遣使隨慶入朝貢方物,三年九月至京師". Yǐn qìng datang dengan memperagakan kehebatan dan memberitahu niat kedatangannya. Penghulu tempat itu, Parameswara amat gembira dengan perkhabaran oleh Yǐn qìng. Parameswara menghantar seorang utusan mengikut Yǐn qìng bersama hadiah untuk dipersembahkan ke istana. Pada bulan 9 tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Yǒnglè iaitu di tahun 1405 barulah sampai ke ibu kota di Nanjing.
Pada akhir tahun tersebut (1405) dengan titah Maharaja China, 郑和 Zhèng hé memulakan ekspedisi ke barat yang pertama dengan diiringi oleh Yǐn qìng ke Melaka. Para utusan dari Melaka, Samudera dan Calicut yang mengikuti Yǐn qìng ke China juga telah ikut bersama untuk kembali ke negara masing-masing.
Di istana Melaka dilakukan istiadat pemasyhuran diraja kepada Parameswara. Dengan itu Parameswara sah menjadi raja Melaka yang pertama maka rasmilah pada tahun 1405 Melaka menjadi sebuah kerajaan yang sah diiktiraf di bawah naungan China.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
26 Oktober 2025: 6.40 p.m

No comments: