Oleh: Mazlah Syafie
THE PATRIOTS
Sejarah bangsa Melayu tidak hanya tercatat pada tanah dan daratan. Ia tertulis di lautan yang luas, pada ombak yang menghempas dan pada kapal-kapal besar yang pernah berlayar jauh melepasi batas Nusantara.
Bangsa ini sejak beribu tahun dahulu adalah bangsa pelaut, bangsa yang berani menyeberangi samudera dan menghubungkan pelabuhan dunia.
Seawal abad ke-2 Masihi, catatan asing sudah menyebut tentang kapal Melayu yang menakjubkan. Besarnya mencecah 50 hingga 60 meter, mampu membawa muatan ratusan tan.
Orang China menamakan kapal ini Kun-lun po manakala orang India pula menyebutnya Dvipantra. Inilah bukti jelas bahawa bangsa kita sudah menguasai seni bina kapal jauh lebih awal daripada gambaran buku teks sekolah yang sering mengecilkan peranan kita.
Pada awalnya, kapal-kapal Melayu menjadi pengangkutan buat pedagang asing dari India, China dan Timur Tengah. Mereka membawa rempah, kain sutera dan logam.
Tetapi masa tidak lama menjadikan Melayu sekadar pengangkut. Kita sendiri bangkit menjadi pedagang ulung. Dari tanah Nusantara, lahirlah emas, kapur barus, timah, gaharu dan damar yang menjadi rebutan seluruh dunia.
Pelabuhan kita bertaburan di seluruh rantau. Kedah menjadi pusat awal di barat. Jambi dan Palembang menguasai Sumatera. Jawa Timur terkenal dengan jong yang megah. Brunei, Kalimantan dan pelabuhan tanah besar semuanya berhubung antara satu sama lain.
Dari titik-titik ini, kapal Melayu berlayar jauh ke India, Teluk Parsi, Laut Merah dan seterusnya ke kawasan sekitar Suez yang menjadi pintu masuk perdagangan ke Mediterranean. Inilah jaringan maritim yang membuktikan dunia Melayu adalah nadi perdagangan global.
Ketika Sriwijaya berkuasa pada abad ke-7, adat laut sudah diwujudkan untuk mengatur perdagangan. Apabila tiba zaman Melaka, adat itu ditulis lengkap sebagai Undang-undang Laut Melaka.
Undang-undang ini begitu terperinci, membahagikan kerja anak kapal, melindungi pedagang dan mengawal dagangan. Ia dijadikan rujukan oleh Johor, Pahang, Brunei bahkan sampai ke kepulauan lain.
Kebangkitan Melaka pada abad ke-15 pula membawa pelaut kita ke kemuncak. Jong Melayu berlabuh di pelabuhan antarabangsa, penuh dengan muatan gaharu, damar, emas dan rempah.
Ada yang mampu membawa ribuan tan. Catatan Tome Pires dalam Suma Oriental mengakui yang kapal dan pedagang Melayu berulang-alik dari Nusantara ke Lautan Hindi, hinggalah ke Teluk Parsi.
Kehebatan ini tidak terhad pada kapal semata-mata. Bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa bersama seluruh rantau. Dari Maluku hingga ke India, pedagang asing terpaksa belajar bahasa kita untuk berdagang.
Perjanjian diplomatik, kontrak dagang, bahkan kitab agama ditulis dalam bahasa Melayu Jawi. Lidah kita menjadi lingua franca dunia timur.
Lebih hebat lagi, wujud golongan saudagar raja. Mereka adalah pedagang istana yang diberi kuasa menjaga laluan antarabangsa. Dengan jaringan saudagar inilah pedagang Arab, India, Cina, Parsi dan Eropah berlabuh di Melaka.
Dari sini, kapal Melayu bergerak ke Lautan Hindi, menyusuri Teluk Parsi, naik ke Laut Merah dan akhirnya sampai ke kawasan Suez. Dari situlah perdagangan disambung ke Mediterranean dan menjadikan dunia Melayu penghubung timur dan barat.
Jangan kita lupa, jauh sebelum Terusan Suez digali pada abad ke-19, laluan Melaka–Suez sudah dikuasai oleh bangsa kita melalui jaringan maritim yang luas. Kapal Melayu menjadi nadi penghubung dengan membawa hasil bumi Nusantara yang menjadikan rantau ini rebutan kuasa besar.
Orang Portugis yang tiba abad ke-16 kagum dengan kapal jong Melayu. Mereka melihat sendiri betapa besar dan perkasa kapal kita. Tome Pires menulis, kapal Melayu menguasai hampir seluruh kepulauan timur. Ia satu pengakuan bahawa pelaut kita berdiri di puncak maritim dunia.
Semua ini tidak berlaku dengan kebetulan. Orang Melayu sejak dahulu mahir membaca angin, arus dan bintang. Catatan asing mengesahkan bahawa mereka berani menyeberangi samudera terbuka, berlayar ribuan kilometer tanpa bergantung pada teknologi asing. Ilmu dan keberanian inilah yang menjadikan pelaut kita setaraf dengan pelaut terbaik dunia.
Tetapi kehebatan inilah yang akhirnya mengundang kuasa besar datang menjajah. Portugis, Belanda, Inggeris datang bukan sekadar mahu membeli rempah tetapi mahu merampas laluan maritim yang Melayu kuasai sekian lama.
Dari saat itu, sedikit demi sedikit tradisi pelaut kita dipadamkan, sehingga kita sendiri hampir lupa bahawa kita pernah menguasai lautan.
Hari ini, laluan yang dahulu menjadi milik pelaut Melayu masih menjadi nadi dunia. Selat Melaka kekal sibuk, lebih 80 ribu kapal melalui setiap tahun membawa minyak, elektronik, makanan dan segala hasil dagang.
Laut China Selatan pula menjadi rebutan kuasa besar. Semua ini membuktikan, geopolitik maritim tidak pernah mati sejak zaman nenek moyang kita.
Jika dahulu kapal Melayu menghubungkan Melaka ke kawasan Suez, hari ini kuasa besar dunia bersaing untuk menguasai laluan sama. Amerika Syarikat, China, Jepun dan Eropah melihat Selat Melaka dan Laut China Selatan sebagai kunci strategik.
Apa yang pelaut Melayu buktikan berabad dahulu masih sah hingga hari ini: sesiapa yang menguasai laut akan menguasai perdagangan, sesiapa yang menguasai perdagangan akan memegang kuasa politik.
Sejarah ini mengingatkan kita bahawa bangsa Melayu pernah berdiri sebagai kuasa maritim dunia. Kita tidak sekadar menunggu pedagang datang, tetapi kita sendiri belayar jauh membawa hasil bumi dan menyatukan benua. Dari sini, Nusantara menjadi pusat perdagangan paling penting di zamannya.
Generasi kini perlu membuka mata. Laut tidak harus dilihat hanya sebagai sempadan negara, tetapi masa depan bangsa. Seperti dahulu, laut adalah medan kebangkitan tamadun Melayu. Selat Melaka dan Laut China Selatan adalah ruang strategik yang mesti dipelihara, kerana di situlah letaknya kesinambungan maruah bangsa.
___
Buku Melayu, Laut dan Perdagangan karya Dr Ahmad Jelani Halimi membongkar kisah ini dengan fakta penuh. Dari kapal Kun-lun po yang disebut catatan China, hingga Undang-undang Laut Melaka, semuanya dihuraikan untuk membuktikan bahawa maritim Melayu itu realiti sejarah. Buku ini mengingatkan kita bahawa bangsa kita pernah menguasai laut hingga ke pintu Suez, dan dari situlah lahir kekuatan tamadun yang gemilang.
Pra-tempah sekarang di Shopee: https://s.shopee.com.my/7Kn5ue2o4H
Copy and paste:
2 September 2025: 5.16 p.m
No comments:
Post a Comment