Sumber: Col.Jimio's The Untold Series
1. Pengkajian terowong di Kampung Titi, Kuala Klawang, Negeri Sembilan bermula apabila saya menerima laporan susulan aktiviti memotong tanah bukit yang mendedahkan stuktur terowong kerana hampir dengan Pasar Awam Titi pada 27 April 2012. Keesokan harinya saya telah berjumpa dengan informer yang sememangnya tinggal di Kuala Klawang.
2. Saya bersama Penyelia Teknikal, Tracker no.1 dan seorang staf wanita sebagai jurugambar telah bergerak ke lokasi dan berjumpa informer di Kampung Titi bagi menemubual beliau terlebih dahulu sebagai pengesahan.
Memang menjadi SOP saya, informer kena saring dulu untuk kenalpasti dia adalah lapis yang ke berapa. Kalau lapis pertama maksudnya maklumat itu dari dirinya sendiri. Tapi, kalau lapis kedua, ketiga atau seterusnya, memang setakat menyembang kedai kopi la gayanya. Sebab saya biasanya akan ragu-ragu kerana pasti ada tokok tambah cerita pada maklumat tersebut.
3. Pendek cerita, informer ni merupakan lapis pertama dan dia berkata,
“Ok tuan, lepas minum saya bawa tuan ke lokasi dan terpulang pada tuan lah nak masuk atau tak? Janji saya dapat tunjuk pintu terowong, maka selesai part saya."
Informer juga menyatakan aktiviti menarah bukit tersebut menyebabkan struktur terowong mudah dilihat dan dia berkata, sayang dan risau jika tiada kajian susulan dilakukan kerana bukti sejarah akan hilang begitu sahaja.
Hasil maklumat awal juga, saya dimaklumkan struktur terowong tersebut adalah bekas lombong dan kemudiannya digunakan pihak komunis. Saya juga telah berjumpa beberapa penduduk Cina sekitar Pasar Titi tersebut dan beberapa penduduk berkongsi maklumat sama,
“Itu komunis dulu duduk, sini masuk sana kem keluar, sana bank keluar.'
Macam-macam versi juga la, tapi nak buat macam mana, apa-apa kena rekod dulu maklumat.
4. Pada ketika itu terdapat 4 pintu terowong yang dapat dilihat dengan jelas pada tebing tanah yang ditarah. Tracker no.1 saya macam biasa dah swap area dan memaklum pada saya,
“Tuan kita masuk pintu atas, saya jumpa satu, tapi kena mendaki sikit dan nak masuk kena menunduk sikit."
Saya kata, "Ok jom dah tengahari ni, elok kita selesaikan cepat. Dapatkan maklumat penting yang ada."
5. Akhirnya kami bertiga memasuki terowong atas (pintu no.5) anggaran dalam 80’ sebelum bertemu simpang tiga yang mempunyai ruang untuk turun ke aras bawah. Saya terperasan pada satu tanda paku dan dinding dipahat segi empat. Terdetik dari tanda tersebut saya membuat back track dengan meneliti dinding kiri dan kanan dan menjumpai beberapa tanda tiga segi dan empat segi pada jarak tertentu dan dengan penemuan marker ini saya merumuskan komunis bukannya satu-satunya pihak yang menggunakan terowong ini malah mungkin seawal Perang Dunia Kedua.
6. Sekembali ke muzium, saya terus membuat kajian literatur dengan aktiviti perlombongan, aktiviti ketenteraan sejak Perang Dunia Kedua sehingga era insurgensi. Teori menyatakan ia adalah bekas lombong boleh ditolak kerana kebanyakan lombong di sana adalah jenis open pit dan bukan terowong.
kedua, aktiviti tentera Jepun di Kuala Klawang seperti penempatan kem rahsia dan terdapat sebuah Taman Memorial yang melibatkan pembunuhan penduduk Cina yang dibunuh beramai-ramai oleh Jepun. Kawasan Titi juga merupakan Kawasan aktif Unit Pengempur Ke 6 PKM.
7. Pasukan Khas Perisikan Tempur telah mengesan aktiviti PKM di lokaliti ini pada 21 Januari 1983 dan satu operasi khas diketuai Lt Muda Khlir bin Mohd Noor telah dilancarkan dan berjaya membunuh dua anggota PKM namun turut mengorbankan seorang anggota iaitu LKpl Saimon bin Tarikat pada 26 Januari 1983. Allahyarham telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 1 Jun 1983.
8. Susulan dari hasil tinjauan ini, saya telah berhubung dengan Pejabat Daerah Jelebu dan satu mesyuarat telah diadakan yang turut melibatkan kehadiran wakil Majlis Keselamatan Negara, wakil Special Branch IPK Negeri Sembilan serta beberapa jabatan lain.
9. Selesai bermesyuarat kami telah melakukan lawatan tapak, sewaktu tengah syok berbincang di kawasan lapang berhadapan Pintu Terowong no.1 dan no.2 (pintu berkembar), boleh seekor ular hitam keluar dari semak dari arah Pasar Titi dan melalui tengah-tengah kami yang sedang berbincang dilapangan, terhenti sekejap perbincangan kami gara-gara lintas hormat ular hitam ini. Ingatkan Air Force je selalu buat lintas hormat pesawat, tak sangka ular pun nak lintas hormat juga.
10. Dari semak tu sebenarnya ular tersebut boleh je pergi direct ke pintu berkembar pasal dia memasuki Pintu no.2 tapi peliknya dia boleh buat laluan L lalu di depan kami dan baru masuk ke pintu. Kan jauh tu or maybe memang dia nak show off atau bagi clue.
Pendek cerita kami tidak memasuki terowong pada sesi tersebut namun saya telah menerangkan jumpaan saya dan kaitan terowong dengan Perang Dunia Kedua dengan jumpaan Shinto Marker. Keadaan terowongnya kukuh, selesa dan nyaman kerana pengudaraan amat baik. Terowong juga nampak bersih menyakinkan saya meneroka sehingga aras bawah semasa tinjauan awal.
11. Saya telah bertanya kepada anggota Special Branch jika mereka mengetahui kedudukan kem penempatan semasa tentera Jepun yang melibatkan pembunuhan beramai-ramai penduduk Cina suku Hakka disitu. Dari situ saya dibawa ke Kuala Klawang Memorial Park yang menempatkan sebuah tugu memperingati kejadian pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Cina oleh Jepun semasa Peristiwa Jelulung pada 18 Mac 1942.
Rupanya perisikan tentera Jepun turut memantau gerakan penentangan Cina suku Hakka di sini dengan menyamar sebagai peniaga kain dan tukang gunting rambut. Hasil pengumpulan maklumat inilah yang membawa kepada punca pembunuhan beramai-ramai suku Hakka ini. Saya tidak ingin bercerita lanjut kerana suku ini dibunuh dengan cara yang amat kejam dari budak lelaki, wanita malah bayi turut dibunuh sama. Saya juga telah dibawa ke beberapa lokasi yang berkait dengan peristiwa ini.
12. Pada satu sesi lain saya sekali lagi telah datang ke lokasi terowong ini bagi mengesahkan beberapa maklumat semasa yang diperolehi dan sesi pada kali ini entah mengapa muncul satu watak hantu Cina baju hitam (jenis loncat loncat tu), kalau letak kertas kuning kat kepala dia diam macam dalam cerita Cina selalu tu le. Entiti hantu Cina ni berkata,
“Aiyaaa! Apa pasal tuan talak bawak itu lesen musat? Aiyaa itu aaa manyak onnng."
Sudah, hantu Cina pulak mana datangnya , rupanya memang kawasan situ tempat tinggal mereka sejak penghijrahan pemimpin suku Hakka selepas kekalahan dalam Pemberontakan Taiping pada tahun 1864 di China yang dipimpin oleh Hong Xiu Quan, pemimpin Hakka beragama Kristian mahzab Protestan yang membawa kepada wujudnya gereja Kristian di Titi.
13. Saya lupa pula nak tanya apa nama hantu tu. Mana tau, kot-kot dia dari awal memang asal China pasal pakaian dia memang lama. Lesen besar yang dimaksudkan hantu Cina tadi ialah sebilah pedang Jepun Maharaja yang berada dalam simpanan saya yang mempunyai khadam yang berteraskan Shinto, seingat saya ada 7 khadam dengan pelbagai nama seperti Sunnai, Gigo, Miso dan ketua khadamnya jenis Black Shogun.
14. Saya pernah membawa pedang tersebut berjumpa seorang alim dan bertanya pendapat beliau. Penyudahnya, merasa pedang tersebut dimandikan dengan air mandian Kaabah bagi ritual menyucikannya. Pernah pihak Jepun berjumpa dan menyatakan memang mencari semula koleksi pedang terpilih yang berisi pada harga yang tak masuk akal.
Berbalik kepada pengkajian terowong ini saya hentikan kerana Kerajaan Negeri memutuskan untuk menutup terowong ini pada ketika itu. Walau demikian saya dimaklumkan kajiannya telah dibuka semula oleh UKM pada tahun 2021.
Copy and paste:
15 September 2025: 9.05 p.m
No comments:
Post a Comment