Oleh : Azizul Farhan
The Patriots: 23 August 2024
Pernah dengar tak nama ni? Mesti ramai tak tahu pasal operasi ketenteraan Tentera Berikat untuk tawan semula Malaya selepas Jerman mengaku kalah pada Mei 1945.
Waktu tu, Perang Dunia Kedua di Eropah dah tamat, Jerman dan Itali dah bungkus, tinggal Tojo je yang masih berkuasa kat Asia Pasifik.
Jepun pula dah mula kalah di Burma dan berundur ke selatan Thailand. Tentera Amerika Syarikat pula dah tawan Iwo Jima.
Jepun memang dah di ambang kehancuran. Jadi, British pun rancang nak tawan balik Malaya dan seterusnya Singapura.
Operasi ni dipanggil Operation Zipper, satu rancangan besar oleh kuasa bersekutu untuk tamatkan penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Ketika Perang Dunia Kedua, Istana Bandar di Kuala Langat dijadikan markas tentera Jepun. Malah mereka bina landasan terbang di Ladang Kelanang, tak jauh dari Simpang Morib.
Ia menempatkan beberapa berek dan hangar untuk satu atau dua skuadron kapal terbang Zero mereka.
Pantai Morib sepatutnya jadi saksi satu pendaratan besar-besaran mirip Pantai Normandy di Perancis.
Mengikut perancangan, di jam 3 pagi waktu Colombo, Sri Lanka dan di saat itulah ratusan buah kapal perang dan kenderaan mendarat Tentera Berikat dengan kekuatan lebih daripada 100,000 orang mula berlabuh di perairan Pelabuhan Swettenham, Morib, Bagan Lalang, dan Port Dickson.
D-Day untuk Malaya dah bermula.
Operasi ni melibatkan tiga zon pendaratan berbeza. Divisyen Ke-25 mendarat di pantai Morib, Briged Ke-37 di pantai Bagan Lalang, kira-kira 10 batu di selatan Morib, dan Divisyen Ke-23 di pantai Port Dickson. Menurut catatan, SS Dunera tiba di Morib pada 9 September.
Tapi, takdir lain yang berlaku. Sebelum askar-askar ni sempat melangkah ke pantai, Jepun dah menyerah kalah, terutamanya lepas Hiroshima dan Nagasaki dibom atom pada Ogos 1945.
Walaupun begitu, operasi ini tetap diteruskan tanpa sebarang tentangan yang kemudian dikenali sebagai Operation Tiderace pada 9 September 1945.
Tentera Berikat mula mengambil alih landasan udara Kelanang selepas pendaratan di Morib.
Jepun menyerahkan landasan tersebut tanpa sebarang perlawanan. Malah, ketika Tentera Udara Berikat mendarat, beberapa buah kapal terbang Zero milik Jepun masih kelihatan di landasan.
Walaupun Operation Zipper tak jadi seperti yang dirancang, ia masih jadi satu episod penting yang hampir dilupakan.
Operation Zipper melibatkan kekuatan ketenteraan yang besar. Dari pihak Kuasa Bersekutu, hampir 100,000 askar dikumpulkan. Ini termasuk 42,651 askar dari Divisyen India, bersama dengan 3,968 kenderaan berperisai dan 11,224 tan bekalan.
Sementara itu, Jepun ada kira-kira 59,000 askar di seluruh Tanah Melayu dan angka ni mungkin naik ke 72,000 kalau operasi tu diteruskan.
Akhirnya, pada 13 September 1945, di Kuala Lumpur, Lieutenant General Ishiguro menyerahkan senjata dan tanda menyerah kalah kepada Lieutenant General Roberts (XXXIV Corps).
Walaupun tak jadi, Operation Zipper simbol kepada perjuangan dan pengorbanan ribuan askar demi Tanah Melayu.
Ia ingatkan kita tentang saat-saat genting dalam sejarah, di mana masa depan satu bangsa berada di hujung tanduk, dan bagaimana nasib boleh berubah dalam sekelip mata.
Morib mungkin tenang hari ni, tapi bagi yang tahu, ia tempat penuh sejarah yang hampir dilupakan. Malah ada tugu peringatan yang dibina di Pantai Morib.
Kisah Operation Zipper mungkin tak seperti pendaratan D-Day di Normandy yang berakhir dengan penuh kemegahan, tapi ia tetap jadi satu episod penting yang tunjukkan bahawa kebebasan kita hari ni bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah.
___
Agaknya kalau Amerika tak bom Hiroshima dan Nagasaki, adakah Operation Zipper akan berlaku?
Dapatkan MALAYA 1941 dan PERANG DUNIA KEDUA di Shopee kami sekarang!
No comments:
Post a Comment