Sumber & Kredit : The Patriots: 29 July 2016
Saya memetik kata-kata salah seorang rakan admin di The Patriot dalam satu komen berkenaan teori konspirasi:
'... Ilmu Fitan (Eskatologi dan Teori Konspirasi) ada dasarnya jika diulas dengan disiplin ilmu yang mantap. yang jadi masalahnya apabila merepek sangat2 seperti Hitler itu Islam sebab bunuh Yahudi, Barrack Obama itu pejuang Islam sebab ada nama dia Barrack Hussein Obama, PM Kanada tu Islam sebab dia ziarah umat Islam ketika hari pilihanraya n so on...'
Saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan beliau. Saya masih kekal dengan pendapat saya sejak dahulu iaitu tidak menolak sepenuhnya teori-teori konspirasi dan juga tidak mempercayai sepenuhnya sebelum mengkaji dengan lebih mendalam dan merujuk kepada yang arif.
Dalam kita mendepani dunia akhir zaman ini memang ilmu-ilmu seperti ini perlu kita ada. Supaya kita bersedia dan tak terkejut beruk jika suatu hari nanti apa yang dibincangkan oleh mereka terkena pada batang hidung sendiri. Ada diantara kita yang masih bermimpi bahawa fasa akhir zaman itu belum berlaku lagi atau ia adalah perkara masa depan. Tetapi bagi saya kita dah masuk lama dah dalam fasa tersebut.
Ilmu-ilmu ini bukan sekadar teori karut dan tulisan orang-orang gila isim yang paranoid, tetapi ilmu sebegini juga ada dalam Islam yakni ilmu Fitan atau Eskatologi. Memang ilmu ini bukan ilmu fardhu ain dan tidak wajib untuk kita pelajari, tetapi ia adalah sebagai ilmu tambahan supaya kita sentiasa berwaspada dengan musuh-musuh Allah dan berhati-hati dengan tipu helah mereka yang memang ditujukan untuk memesongkan kita dari jalan Allah.
Dalam masyarakat kita ada dua golongan yang bertindak balas dengan ilmu-ilmu ini. Satu golongan dia tolak sepenuhnya dan kata semua ilmu ini dongeng dan karut marut serta tidak berasas. Manakala satu golongan lagi terima sepenuhnya tanpa was-was dan bulat-bulat apa sahaja teori yang datang kepada mereka tanpa disiasat terlebih dahulu. Dua-dua cara golongan ini adalah tidak betul.
Golongan pertama ini kononnya bersikap optimistik dan realistik serta tidak percaya kepada tahyul dan karut marut. Tetapi mereka tenggelam dalam kejahilan mereka sendiri. Mereka sentiasa rasa diri mereka benar sebab bagi mereka apa yang tak logik itu tidak berlaku dan tidak wujud. Bagi mereka seolah-olah kalau dunia ni nak kiamat maka ia akan kiamat begitu sahaja tanpa ada campur tangan mana-mana pihak. Kiamat berlaku bila meteor hempas bumi, atau nuklear meletup atau berlaku gempa bumi seluruh dunia atau berlaku banjir besar seluruh dunia seperti zaman ais dahulu.
Bagi mereka tak ada atau tak perlu tahu chain of event yang akan membawa kepada kiamat tersebut sebab ia tak akan effect diri mereka atau kaum kerabat kesayangan mereka. Kamu dengan amal kamu aku dengan amal aku, kita mati lain-lain kubur. Bagi mereka tak ada pihak-pihak tertentu yang mahu memesongkan akidah mereka, merosakkan akhlak anak cucu mereka, serta tiada pihak yang membuat perancangan jitu bagi menjatuhkan agama Allah.
Mereka tidak mahu menerima dan percaya jika sistem kewangan, sistem politik dan sistem pendidikan serta kehidupan seharian mereka dikawal oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda yang lebih besar. Dan kalau ada pon pihak yang berkenaan ia bukan sesuatu yang terancang dan dirancang atau dipelopori oleh badan-badan tertentu seperti, Freemason atau Illuminati atau nama-nama lain tetapi ia hanya kebetulan. Tak mungkin ada pihak atau segolongan manusia yang sanggup merancang selama beratus-ratus tahun untuk event yang entah akan entah tidak berlaku di masa depan kan? Impossilble kata mereka, tak logik dan tak masuk akal.
Golongan kedua pula seperti yang saya sebut, mereka suka sedut dan ambil bulat-bulat semuanya. Sehinggakan seluruh kehidupan mereka hampir terbelengu dengan teori konspirasi. Makan, minum, tidur, berbini dan beranak mereka sentiasa dihantui dengan teori konspirasi serta ilmu akhir zaman. Hal ini membuatkan mereka sentiasa paranoid. Sehinggakan mereka tak dapat membezakan yang mana realiti , yang mana teori konspirasi yang mungkin boleh dipercayai dan mana satu teori konspirasi yang karut dan palsu.
Sampaikan semua benda dan masalah dalam dunia ini yang menimpa diri mereka dan ahli keluarga mereka dianggap sebagai perancangan pihak tertentu atas agenda yang tertentu. Mereka senentiasa menyibukkan diri mereka dengan ilmu-ilmu pelik yang kononnya dapat membantu mereka dalam peristiwa akhir zaman. Malah ramai diantara mereka sentiasa menunggu-nunggu dan berharap agar mereka sempat hidup dan dapat menguji ilmu-ilmu yang dah mereka pelajari selama ini di masa-masa tersebut. mereka sungguh-sungguh nak membuktikan yang mereka adalah bakal tentera-tentera akhir zaman yang akan menyelamatkan umat manusia.
Mereka sibukkan diri mereka untuk cari pendinding, pemagar, pelindung, pengkalis dan senjata-senjata yang kononnya kata mereka dapat membantu dalam peperangan di akhir zaman nanti. Tetapi pada masa yang sama mereka lupa kepada kewajipan mereka sebagai seorang hamba Allah. Dalam pencarian mereka ini mereka lalai kepada suruhan yang wajib sebaliknya lena dengan teori-teori konspirasi. Sampaikan Nasi Lemak punya bungkusan pon dikatakan sebagai konspirasi Illuminati sebab bentuk tiga segi.
Kesimpulan yang pendek dari bebelan yang panjang ini ialah, jangan jadi dua-dua gologan ini. Satu pesan yang dah beberapa kali saya tulis sebelum ini adalah kita perlu ingat satu je, tiada perancangan , atau konspirasi atau percaturan mana-mana pihak pon yang lebih berkuasa dan lebih hebat dari percaturan dan perancangan Allah SWT. Illekminachi? Freakmasin, Rottingchildish? Itu semua ujian Allah kepada kita je sebab dia nak tengok siapa yang layak ke syurganya. Apa yang penting kita perlu kuatkan akidah dan iman kita dan pandai memilih medan perang. Bukan main serbu terus mahupun lari terus lintang pukang.
Tapi...tapi...tapi...bagaimana dengan Pak Jai? Bukankah Rasulullah dah memberi peringatan kepada kita supaya bersedia dan berwaspada kepada fitnahnya?
Ya, benar, Rasulullah suruh kita bersedia dan berwaspada pada FITNAHNYA bukan batang tubuhnya. Batang tubuhnya bukan milik anda untuk diapa-apakan sebab batang tubuhnya milik Isa A.S untuk dihancurkan. Jadi yang Nabi kita dok suruh hang lawan dan waspada dan elak tu bukan Pak Jai tapi fitnah dia, tipu helahnya, pujuk rayunya, dan sistemnya yang sebenarnya kita semua umat Islam zaman ini dah lama terikat. Itu yang membahayakan Akidah dan Iman kita bukan fizikal Pak Jai, bukan raksaksa bawah tanah dan bukan Yakjuj dan Makjuj. Pertahankan Akidah dan Iman kita serta kaum keluarga kita, maka kita akan selamat. Ok...pi sambung bungkus Nasi Lemak tiga segi. Wallah hu a'lam.
P.S: Teori Konspirasi tetap bukan sebahagian subjek yang dibahaskan. Page ini akan bebas daripada teori konspirasi walau kami mengambil jalan tengah dalam hal ini.
-ASJ-
Copy and paste:
19 Septembeer 2025: 12.12. p.m
No comments:
Post a Comment