Oleh : The Patriots : 18 Januari 2015
Kedah Darul Aman,sebuah negeri di utara Malaysia yang tidaklah terlalu kecil namun tidaklah terlalu besar sepertimana negeri Perak dan Pahang.Kebanyakan orang luar,terutamanya para pelancong hanya melihat keistimewaan Kedah ini pada keindahan Pulau Langkawi,Pantai Merdeka dan Menara Alor Setar sahaja.Mereka hanya mengenali Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi Malaysia sahaja.
Ramai anak Kedah sendiri yang tidak mengetahui bahawa Kedah sebenarnya menyimpan 1001 kisah sejarah yang sangat hebat.Atau dalam bahasa mudahnya,sejarah Kedah memang arsem.
Artikel ini saya nukilkan khusus untuk rakyat Kedah yang sedang menyambut hari keputeraan DYMM Sultan Kedah pada hari ini (18/1/2015). Tujuan saya menulis artikel khas ini bukan untuk menimbulkan semangat kenegerian yang melampau terhadap rakyat Kedah dan jauh sekali bertujuan untuk memperendah-rendahkan sejarah negeri-negeri lain. Tetapi niat saya untuk menaikkan jati diri kita semua, mengenali asal usul tamadun kita.
1) Tamadun Terawal di Asia Tenggara ditemui di Kedah
Prestij negeri Kedah dalam sejarah Asia Tenggara sememangnya tidak boleh dinafikan lagi apabila sebuah penemuan arkeologi sebuah tapak peninggalan sejarah ditemui di Kedah yang walaupun cuma bersaiz kecil,namun penemuan peninggalan sejarah tersebut sememangnya akan mengubah silibus pengajian sejarah mengenai Asia Tenggara di seluruh dunia.
Di Sungai Batu yang terletak dalam kawasan tapak arkeologi Lembah Bujang,pakar arkeologi tempatan telah berjaya menemui sisa-sisa sebuah tamadun purba yang pernah berkembang di sana sebelum kelahiran Nabi Isa a.s lagi. Daripada penemuan tersebut membuktikan bahawa nenek moyang orang Melayu pada zaman dahulu sudah lama hidup berorganisasi dan bertamadun sebelum kedatangan pengaruh luar lagi.
Penemuan tinggalan tapak peleburan besi,jeti purba,sebuah monumen keagamaan purba dan sisa-sisa besi dan logam purba ditemui oleh pakar arkeologi Univeristi Sains Malaysia (USM) pada tahun 2009 di sekitar kawasan Sungai Batu,membuktikan bahawa kawasan tersebut pernah menjadi sebuah tamadun purba yang hebat.Penemuan ini diperkukuhkan lagi dengan penemuan relau besi purba di Kampung Gajah,Jeniang.
Penemuan ini membuktikan bahawa nenek moyang Melayu yang pernah mendiami kawasan tersebut mempunyai kepakaran dalam pembuatan dan peleburan besi.Kemahiran peleburan besi bukan calang-calang kemahiran biasa pada zaman dahulu kerana besi memerlukan suhu setinggi 1600 darjah Celsius untuk meleburkannya dan mesti stabil tahap kepanasannya.
Dan untuk pengetahuan anda lagi,usia tapak peleburan besi dan jeti purba yang ditemui di Sungai Batu tersebut adalah lebih kurang bertarikh sekitar tahun 60 Masihi.
Apa yang boleh kita buat kesimpulan di sini ialah sememangnya bangsa Melayu pada masa tersebut mempunyai taraf teknologi yang sangat tinggi sejak zaman dahulu lagi.Tambahan pula,hasil ujian pentarikhan karbon yang dijalankan oleh pihak USM terhadap sampel dari bahagian lantai monumen keagaman purba di Sungai Batu tersebut mendapati usia monumen tersebut adalah berusia lebih 1,900 tahun atau lebih jelas lagi,monumen tersebut bertarikh sekitar tahun 110 Masihi!!
Dengan penemuan tersebut membuktikan bahawa Sungai Batu,Kedah adalah pusat tamadun tertua di Asia Tenggara sekurang-kurangnya telah berkembang kuat pada tahun 478 Sebelum Masihi.Penemuan monumen keagamaan purba yang ditemui adalah lebih tua dari Candi Borobudur dan Angkor Wat lagi.Penemuan tapak loji pemprosesan besi purba dan jeti purba di sana membuktikan yang pernah wujud satu tamadun purba yang maju dan hebat di Kedah satu ketika dahulu,di mana penduduknya mempunyai kemahiran tinggi dalam teknologi melebur besi dan berdagang sejak dari dahulu kala lagi.
2) Besi Terbaik di Dunia pada Zaman Dahulu ada di Kedah
Penemuan tinggalan sebuah tamadun purba yang hebat sekitar tahun 500 Sebelum Masihi lagi di Sungai Batu telah membuktikan bahawa nenek moyang orang Melayu sudah lama mengamalkan cara hidup yang bertamadun sebelum kedatangan pengaruh dari luar lagi.Tambahan lagi,beberapa tapak loji pemprosesan besi purba yang ditemui di sana juga membuktikan bahawa nenek moyang kita sudah mempunyai kepakaran yang tinggi dalam teknologi berasaskan besi sejak zaman dahulu lagi.
Sememangnya penemuan-penemuan ini telah membenarkan catatan-catatan dari tamadun luar mengenai Kedah yang satu ketika dahulu menjadi pusat pembangunan industri besi yang terkenal di dunia malahan besi yang dibuat oleh orang Kedah ini tiada tolok bandingannya di dunia pada masa itu.
Abu Dullaf al Muhalhil,seorang pedagang dari Bukhara telah datang ke sini pada tahun 940 Masihi dan merekodkan kepada kita satu cerita yang menarik mengenai Kedah Tua;
“Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang “qala’I” iaitu pedang Hindi yang tulen…”
Al Idrisi pada tahun 1154 pula merekodkan ;
“Orang-orang Zabag (Srivijaya atau Kedah Tua) telah pergi ke Tanah Sofala (kini dikenalpasti berdekatan Beira, Mozambique) dan mengeksport besi.Dari sana mereka membekalkannya ke seluruh TANAH INDIA.Tiada besi yang mampu menandingi besi-besi mereka dari segi mutu dan ketajaman.”
Berdasarkan cerita dua orang pedagang Arab tersebut,kita dapat mengetahui bahawa Kedah satu ketika dahulu bukan sahaja muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa,malahan menjadi pusat pemprosesan besi terkenal di dunia pada masa itu.
Rekod al-Kindi pada sekitar abad ke 9 Masihi menyatakan bahawa tiga besi terbaik di dunia pada masa itu boleh didapati di tiga buah tempat;
1) Yemen
2) Hindi
3) Qalai (Kedah Tua)
Selama ini,kita sering mendengar bahawa eksport utama dari tanah Semenanjung yang terkenal pada zaman dahulu adalah bijih timah dan emas.Nampaknya catatan pedagang Arab pada zaman dahulu dan dibuktikan dengan penemuan loji pemprosesan besi purba di Kedah membuktikan bahawa satu masa dahulu,besi juga termasuk antara eksport yang terkenal dari tanah Semenanjung,dan tambahan pula,besi Kedah (besi Qalai) ini pula dikatakan antara tiga besi terbaik di dunia pada masa itu!
Dipercayai bahawa salah satu daripada pedang nabi kita Rasulullah S.A.W adalah diperbuat di Kedah!
3) Sejarah Panjang Raja-Raja Melayu Kedah Yang Mengasyikkan
Sejarah raja-raja Kedah boleh dirujuk seawal pada Merong Mahawangsa. Sebenarnya Merong Mahawangsa, pengasas kerajaan Kedah Tua ini adalah kisah yang melambangkan perwatakan bangsa Melayu kita suatu masa dahulu.
Apakah tugas Merong Mahawangsa?
Baginda MEMANDU pelayaran rombongan kerabat raja Rom ke China. Dan orang Melayu menjadi bangsa atau orang tengah yang menggabungkan dua bangsa bangsa, menjadi pakar diplomasi dan [enyatu kepad adua tamadun dunia yang hebat.
Apa yang ingin digambarkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa, yang menceritakan asal-usul dan kisah raja pertama sebuah kerajaan yang pernah berdiri di bumi Kedah dahulu, iaitu Langkasuka adalah sikap dan profesion orang Melayu pada masa dahulu itu sendiri.
Semua harus sedar bahawa orang Melayu adalah orang tengah di selat yang menjadi pertemuan dua tamadun. Barat dan Timur, Eropah dan China, Arab dan India, semuanya berkumpul di sebuah pelabuhan yang dibangunkan oleh orang Melayu. Kejayaan pelabuhan Melayu ini tidak akan berjaya tanpa sifat yang digambarkan dalam diri Merong Mahawangsa itu sendiri. Raja pertama kerajaan Kedah Tua ini adalah cerminan tamadun Melayu itu.
Bayangkan,lama sebelum Sri Indraditya memberontak dari pentadbiran orang Khmer dan menubuhkan kerajaan Sukhotai, dan raja-raja Ayuthia dan Melaka masih berada di alam roh lagi.Kedah sudah lama menjadi sebuah kerajaan yang besar dan menjadi tumpuan dunia dengan sejarah raja-rajanya yang mengasyikkan.
Sejarah Kedah Tua memang arsem.Sebelum orang-orang di Jawa Tengah bina Borobudur,sebelum orang-orang di sekitar Tasik Tonle Sap bina Angkor Wat,sebelum orang-orang Burma bina Bagan,orang-orang Kedah dah bina kompleks candi di Lembah Bujang beratus tahun sebelum itu.
Kemudian, Kedah mengenali seorang raja dalam sejarah purba mereka sebagai Raja Bersiong yang bersusor galur dengan Merong Mahawangsa. Kalau Eropah terkenal dengan kisah raja dracula mereka, kita orang Melayu juga berkongsi kisah yang lebih kurang sama.
Nama sebenar raja ini adalah Raja Inderawangsa. Dalam petitih-petitih berbahasa Mon (kadang-kadang selit dalam kitab Pali) dan kemudian disalin dalam bahasa Siam (Thai lama campur istilah-istilah Khmer purba) barulah timbul gelaran Phra Ong Maha Perita Deria.'Perita Deria' itu cognate dari Sanskrit,ia macam nama anak dia, Phra Ong Mahapudisat, nama hujung tu 'Mahapudisat' adalah kognat bagi 'Mahabodhisatva'. Nama ini akhirnya muncul dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Perlu diketahui, nama-nama raja Kedah Tua popular sampai ada versi Mon dan Siam.Orang Khmer menggelarkan dinasti Kedah Tua sebagai 'Ketomala'.Lihat nama-nama raja Kedah Tua dahulukala, siap ada 3 nama-nama standard, nama Mon/Siam dan gelaran tempatan.
Raja Inderawangsa inilah yang dikatakan sangat suka memakan sayur bayam, lalu pada suatu hari, seorang tukang masak istana telah terhiris jarinya sewaktu memasak sayur bayam. Ketika itu, Raja Inderawangsa baru sahaja balik berburu dan dia pun memakan masakan sayur bayam itu. Aneh, sayur bayam itu lebih sedap daripada biasa. Selepas disiasat, maka tukang masak itu mengaku akan hal sebenarnya.
Diceritakan bahawa Raja Inderawangsa ini kemudiannya menyuruh agar semua penjahat-penjahat dibunuh semata-mata raja ini mahu meminum darah mereka. Diceritakan sampai satu masa, maka habis kosong penjara ketika itu. Maka si raja pun mencari sasaran iaitu kanak-kanak kecil dan rakyat yang lemah. Kezaliman Raja Inderawangsa ini kemudiannya dibayar dek pemberontakan oleh rakyat dan menteri baginda sendiri. Baginda kemudian dikatakan lari ke dalam hutan dan mangkat di dalamnya.
Namun kisah Raja Inderawangsa ini bukanlah satu-satunya kisah yang perlu diketahui oleh rakyat Kedah tentang raja-raja purba mereka yang pernah memerintah Kedah suatu masa dahulu. Insan yang bernama Raja Phra Ong Mahawangsa adalah insan yang harus dijulang namanya dalam sejarah. Pada pemerintahan baginda, Kedah telah berjaya diIslamkan oleh Syeikh Abdullah Al Qumairi sekitar abad ke 12,iatu pada tahun 1136 Masihi.
Maka pemerintahan Kedah Tua yang bersusor galur dengan Tamadun Sungai Batu yang berusia 500 SM ini terus bertukar menjadi Kesultanan Kedah, iaitu antara kesultanan tertua di dunia, menyambung legasi monarki Kedah sehingga ke hari ini, menjadikan monarki Kedah antara yang tertua di Asia! Selepas memeluk Islam, Raja Phra Ong Mahawangsa ini memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah I.
Keluasan Kedah pada masa itu bukanlah sekecil sepertimana pada hari ini,sebaliknya kekuasaan Kedah sebenarnya menganjur dari Tenang Siram (Tennaserim,kini berada di bawah kekuasaan Myanmar),Ujung Salang (Phuket),Trang,Setul Mambang Segara (Satun),Perlis hingga ke Pulau Pinang dan utara Perak.Ya,pada zaman dahulu,Kedah merupakan sebuah negeri besar di mana kekuasaanya sehingga melepasi Segenting Kra nun di utara sana.
4) Banyak Tokoh dan Pahlawan Agung Lahir di Kedah
Kesultanan Kedah diiktiraf antara kesultanan Islam yang tertua di dunia yang masih wujud sehingga ke hari ini.Legasi kesultanan Kedah yang wujud sejak tahun 1136 masih lagi bertahan dan wujud sehingga ke hari ini,menjadi payung penaung kepada rakyat Kedah.Sejak tahun 1136 hingga ke hari ini,Kedah mempunyai seramai 27 orang sultan.
Antara sultan Kedah yang terkenal dan agung sekali ialah Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II,yang memerintah dari tahun 1710 hingga tahun 1778.Tempoh pemerintahannya yang sangat panjang,iatu sekitar 68 tahun menjadikan baginda antara pemerintah yang paling lama memerintah dalam sejarah Alam Melayu iatu selama 68 tahun!
Ini menjadikan Sultan Muhammad Jiwa II adalah antara raja yang mempunyai tempoh pemerintahan paling lama di dunia,mengalahkan Ratu Victoria dari United Kingdom dan Sultan Ibrahim Iskandar dari Johor yang hanya memeirntah selama 63 tahun.
Sultan Muhammad Jiwa II inilah yang mengasaskan bandar Alor Setar dan menjadikan bandar tersebut sebagai pusat pentadbiran negeri Kedah sehingga kini.Baginda membina dan menjadikan Alor Setar (asalnya dikenali sebagai Kota Setar) sebagai ibu negeri pada tahun 31 Disember 1735 dan pada tahun ini,genap usia Alor Setar sebagai ibu negeri Kedah selama 279 tahun.Usia kota Alor Setar jauh lebih tua dari usia pusat pentadbiran terkenal lain di dunia seperti Washington D.C (1775) dan Sydney (1778).
Bandar Alor Setar ini turut menjadi saksi kelahiran beberapa orang tokoh Melayu yang agung seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj,tokoh yang bertanggungjawab dalam kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (31 Ogos 1957) dan penubuhan Persekutuan Malaysia (16 September 1963).Seorang lagi negarawan Melayu,Tun Dr.Mahathir Mohammad juga dilahirkan di Alor Setar pada 10 Julai 1925.Beliau antara tokoh yang bertanggungjawab menukarkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan kuasa ekonomi yang kukuh di Asia.
Selain itu,Kedah turut melahirkan beberapa orang tokoh agung yang terdiri dari kalangan pahlawan dan ulama.Antara tokoh ulama terkenal di Nusantara yang lahir di bumi Kedah adalah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berhijrah ke Kalimantan Barat dan mengasaskan pengajian pondok pertama di sana,Tuan Guru Hussein al Banjari yang berjaya menyuburkan pengajian pondok secara meluas di Kedah dan juga Tok Haji Ishak bin Haji Muhammad Hashim yang merupakan pengasas Pondok Pokok Pisang,iatu pusat pengajian pondok yang terkenal dan termasyhur dalam sejarah Kedah.
Salah seorang sahabat rapat Tok Haji Ishak ialah seorang kerabat diraja Kedah bernama Tunku Anum (seorang lelaki),yang juga merupakan seorang tokoh agung Melayu di mana beliau melambangkan anak jantan Melayu yang sebenar.Kalau tidak kerana kebijaksanaan dan kehebatan ilmu diplomasi Tunku Anum,mungkin nasib Kedah selepas itu akan menerima nasib sama seperti Patani.
Tatkala Dinasti Chakri di Thailand dengan bantuan Ligor menyerbu Kedah pada tahun 1821 dan memaksa Sultan Ahmad Tajuddin II berundur ke Pulau Pinang,dengan tipu muslihat British yang memang "kamceng" dengan Siam pada masa itu.
Pada masa Kedah ibarat anak ayam hilang ibu,ditambah pula dengan serangan Siam dan Ligor (bersubahat pula dengan British),pada masa itulah juga Tunku Anum datang menyelamatkan keadaan dengan cuba mengembalikan kedaulatan Kedah dengn cara diplomasi dan kelicikan.Bak kata orang tua,kalau senjata gagal selamatkan negeri,biar akal pula mencari jalan.
Beliau pergi ke Ligor dan mengisytiharkan bahawa beliau hendak menghambakan dirinya kepada mereka,atau dengan kata lain "belot" kepada Kedah.Ini sangatlah menggembirakan Raja Ligor.Ketika di Ligorlah,Tunku Anum jadi 'spy' pada Kedah,apa jua rancangan Siam dan Ligor ke atas Kedah,maka Tunku Anum akan sampaikan pada pihak pejuang di Kedah.Jadi pejuang-pejuang di Kedah pun menyerang pos-pos kawalan tentera Siam sesuai dengan maklumat yang dikirim oleh Tunku Anum dari Ligor.
Siam makin runsing dengan serangan gerila pejuang Kedah yang makin menjadi-jadi dan boleh menggugat pentadbiran Siam di sana.Siam tawarkan Tunku Anum jadi wakil peemrintah Siam di Kedah (dan ini amat dicemburui oleh Ligor yang sudah lama menghambakan diri mereka pada Siam) .Permntaan ini namunditolak oleh Tunku Anum dengan alasan tentera Kedah akan membunuh dia jika dia datang ke Kedah untuk berunding.Masa ini Siam minta pandangan Tunku Anum.
Yess...inilah yang ditunggu-tunggu oleh Tunku Anum.Jadi Tunku Anum cadangkan Kedah dibebaskan dan hanya perlu hantar bunga emas sahaja sebagai ufti.Siam pun bersetuju dan buat surat rasmi pembebasan Kedah.
Ketika Tunku Anum pulang ke Kedah,ramai penduduk Kedah mahukan beliau sahaja dilantik sebagai sultan.Namun Tunku Anum bukannya seorang yang tamak dan menolak permintaan tersebut.Beliau menyerahkan kembali pemerintahan Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin II,yang juga merupakan sepupunya.
Atas jasanya,Sultan menganugerahkan daerah Kubang Pasu di utara Kedah kepada beliau dan beliau dilantik sebagai Raja Kubang Pasu Darul Qiyam.Inilah contoh anak jantan "real gentleman" Melayu yang patut dijadikan teladan oleh generasi Melayu kini,terutamanya kepada anak Kedah.Beliau adalah contoh dan lambang ketinggian diplomasi orang Melayu.Kelicikan dan ketinggian ilmu diplomasinya terhadap Siam dan Ligor berjaya membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kedaulatannya.
Mengerti wahai anak Kedah semua?
Kalian sangat beruntung kerana negeri kalian mempunyai sejarah yang sungguh mengasyikkan,sejarah negeri kalian jauh lebih tua dari sejarah Ayuthia dan Melaka dan negeri kalian telah melahirkan banyak tokoh-tokoh agung dalam sejarah bangsa dan negara.
-HE dan RAD-
No comments:
Post a Comment