Sunday, 28 December 2025

2025: PULAU CAREY, SELANGOR

Percutian Keluarga pada 25-27 Disember 2025 adalah di Pulau Carey yang terletak sebuah pulau besar di daerah Kuala Langat, Selangor, yang terkenal dengan gabungan unik antara warisan budaya asli, landskap perladangan kelapa sawit yang luas, dan statusnya sebagai hab ekonomi masa depan Malaysia.

PULAU CAREY
Pulau ini dinamakan bersempena Edward Valentine John Carey, seorang pegawai awam British di Malaya dan juga pengusaha ladang kopi dan getah. 

Pulau Carey merupakan kediaman utama suku Mah Meri yang terkenal dengan seni ukiran kayu. Mereka mahir mengukir topeng dan patung dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. 
Perkampungan Budaya Mahmeri yang terletak di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey mempamerkan kraftangan dan budaya masyarakat orang Asli disini. 


HENTIAN REHAT TANJUNG 12
Hentian Rehat Tanjung 12 terletak di Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dalam daerah Jenjarom, Selangor.
Dahulu ketika anak saya menuntut di Kolej Komuniti Kuala Langat pada tahun 2015/16, saya selalu berulang alik dari KL-Kuala Langat. Ketika itu ada beberapa gerai makan di sini, namun 10 tahun berlalu, hari ini (2025) saya lihat R&R ini kelihatan sepi, tiada gerai makan lagi. Kalau berhenti di sini adalah untuk tujuan ke tandas sahaja. 
Jadi kalau ada sesiapa yang bercadang nak berhenti makan di R&R ini, lupakan sahaja, nanti anda akan kecewa.



Dalam perjalanan kami melalui Kolej Komuniti Kuala Langat di mana anak sulong saya pernah belajar di Kolej ini pada tahun 2015/2016. Jalan yang kami lalui ini adalah juga jalan yang sama kami lalui 10 tahun yang lalui. 



Kami singgah untuk solat Zohor di Masjid Sultan Abdul Samad di Kg. Seri Jugra, Banting, Selangor. Masjid ini dinamakan bersempena nama Sultan Selangor yang ke-4, iaitu Sultan Abdul Samad (1959-1898). Makam Baginda terletak di di atas bukit Jugra, dimana terdapat makam-makam sultan dan keluarga di raja Selangor. 


TANJUNG SEPAT, KUALA LANGAT, SELANGOR
Selesai Solat Zohor, kami meneruskan perjalanan dan singgah di Tanjung Sepat, Selangor, untuk makan tengahari. Ianya adalah merupakan sebuah pekan Nelayan di daerah Kuala Langat yang popular sebagai destinasi pelancongan. Terdapat banyak restoran di sepanjang pantai ini untuk para pengunjung menjamu selera. 



RIVERINE HOTEL & SUITES
Selesai makan tengahari, barulah kami kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Resort penginapan kami iaitu Riverine Hotel & Suites, Amverton Cove Golf & Islands Resort, sebuah hotel 4 bintang dan pilihan penginapan terkini di Pulau Carey, Selangor. Ia terletak betul-betul di sebelah Riverine Splash Water Theme Park dan Riverine Survival Park, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga dan kumpulan.







ABANG SEAFOOD, BANTING
Restoran Abang Seafood Makanan Laut terletak di Kampung Sawah, Banting, Selangor, dan menawarkan hidangan makanan laut serta masakan panas tempatan dengan harga berpatutan.
Restoran ini terkenal dengan hidangan Makanan Laut, Suasana yang kasual dan tempat letak kereta percuma dan kemudahan tandas. 
Kami sekeluarga makan malam di sini pada hari pertama kami menginap di Pulau Carey. 


SUNGAI LANGAT
Sungai Langat merupakan salah satu lembangan sungai yang sangat penting di Malaysia, mengalir sepanjang kira-kira 149 kilometer merentasi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Ia bermula dari kawasan pergunungan di Hulu Langat mengalir ke arah barat daya melalui Cheras, Kajang,Bangi, Putrajaya dan Dengkil sebelum berakhir di Selat Melaka melalui Kuala Langat. 
Sungai Langat juga terletak berhampiran dengan resort penginapan kami, dari balkoni bilik saya, dapat melihat Sungai Langat dengan jelas. 

Foto diambil dari balkoni bilik saya di Riverine Hotel & Suites.


DURIAN MUSANG KING, KG SUNGAI BUAYA
Bagi anda yang mencari durian Musang King di kawasan Kampung Sungai Buaya, Banting, terdapat beberapa lokasi utama yang sering menjadi tumpuan peminat durian di situ.
Durian Musang King (Kod Daftar D197) ialah varieti durian premium yang dianggap sebagai "Raja Segala Durian" kerana kualiti isinya yang tinggi dan rasa yang unik.Nama asalnya ialah "Raja Kunyit" , bermula di Pulau Raya, Tanah Merah, Kelantan sekitar tahun 70-an sebelum di bawa ke Gua Musang (asal nama Musang King). Musang mula popular sekitar1993 selepas didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian. 
Durian ini menjadi mahal harga adalah atas permintaan tinggi di peringkat Antarabangsa (terutama di China) dan proses penanamannya yang sulit dan memerlukan penjagaan rapi. Harganya boleh mencecah antara RM30 hingga RM90 mengikut gred. 
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat singgah makan durian Musang King di Kg. Sungai Buaya di Banting, Selangor. 



Setelah kenyang makan Durian Musang King, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, tanpa perlu lagi berhenti rehat untuk makan tengahari. 

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
28/12/2025: 7.02 p.m



No comments: