Tuesday, 1 July 2025

KUBUR WAQAF KASSIM, SINGAPURA


SUMBER: JEJAK WARISAN SINGAPURA

Kawasan Siglap pada hari ini merupakan kawasan perumahan mewah yang menjadi tarikan bukan sahaja warga setempat malah warga asing. Namun, terdapat sebahagian daripada kawasan Siglap yang kurang diterokai ramai - iaitu tanah perkuburan lama di Siglap Road.
Tapak tersebut dibeli oleh Ahna Mohamed Kassim bin Ally Mohamed pada tahun 1916 dari Chua Guat Kow dan Khoo Kee untuk dikhususkan sebagai tanah perkuburan orang-orang Islam dan ian mula dibuka pada November 1919.
Pada 30 April 1921, beliau membahagikan bahagian tapak tanah perkuburan itu (21:3:2 setiap seorang) kepada rakan-kongsinya iaitu Pana Shaik Maricar dan Oona Said Ally bin Hussein. Ini dimana mereka kemudiannya bersepakat untuk mewakafkan tapak tanah perkuburan tersebut sebagai Kubur Bukit Wakaf Siglap.
Apabila Pana Shaik Maricar dan Oona Said Ally meninggal dunia, Kubur Bukit Wakaf Siglap kemudiannya dinamakan sebagai Kubur Wakaf Kassim pada 25 November 1932 sempena nama Ahna Mohamed Kassim yang juga merupakan pewakif Masjid Kassim. Bahkan Ahna Mohamed Kassim telah melantik Shaikh Ahmad bin Muhammad Basharahil, Haji Hassan bin Omar, Yacob bin Mohamed Khan, Abdul Latif bin Noordeen dan Seena Mohamed Kassim bin Sinda Sahib sebagai pengamanah Kubur Wakaf Kassim.
Ahna Mohamed Kassim bin Ally Mohamed meninggal dunia di Singapura pada 31 Julai 1935.
Pada 8 Mei 1962, urusan pentadbiran Wakaf Kassim telah diambil-alih oleh Muslim And Hindu Endowments Board.
Pada tahun 1968 pula, di bawah Administration Of Muslim Law Act (AMLA), urusan pentadbiran Kubur Wakaf Kassim telah diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Kubur Wakaf Kassim akhirnya ditutup secara rasmi pada tahun 1973.
Pada 27 November 1987, pemerintah Singapura telah mengeluarkan notis pengambilan tapak Kubur Wakaf Kassim di bawah Land Acquisition Act bagi tujuan projek pembangunan semula kawasan Siglap di masa hadapan.
Secara rasminya pada 16 Februari 1989, tapak Kubur Wakaf Kassim telah diambil-alih oleh pemerintah dan sehingga ke hari ini kekal sebagai State Land.
Kubur Wakaf Kassim mempunyai sekitar 3 000 kubur, termasuk kubur tokoh-tokoh ugamawan dan masyarakat tempatan. Mereka termasuk:-
(1) Dr Hafizudin Sirajudin Moonshi bin Hakeem Abdul Hamid; salah seorang doktor Islam terawal Singapura
(2) Khawaja Habibullah Shah; Murshid Thariqah Qadiriah Naqshahbandiah Suhrawardiah Chistiah Sanusiah
(3) Shaikh Ali bin Abu Bakar Al-Khatib; seorang Wali Allah
(4) Daeng Siti Fatimah; ahli perubatan tradisional
(5) Haji Abdul Rahman bin Jamaludin @ Syeikh Abdul Rahman Al-Jempoli; khalifah Thariqah Ahmadiyah Idrisiyah Rashidiyah Dandarawiyah
Bahkan, terdapat juga ‘kubur peringatan’ bagi mangsa nahas pesawat Alitalia DC-8 yang terhempas di Bombay (India) pada 6 Julai 1962 iaitu Mohamed Said Nabi dan anaknya Annie Farida Nabi.
Kini, walaupun Kubur Wakaf Kassim sudah 51 tahun ditutup, ia masih dikunjungi ramai malah bekas bangunan mandi mayatnya juga digunakan oleh jama'ah Thariqah Qadiriah Naqshahbandiah Suhrawardiah Chistiah Sanusiah pada setiap pagi Ahad dan dikenali sebagai Khanqah Khairiah.
***
Foto:-
Jejak Warisan Singapura

Copy and paste:
1 Julai 2025: 12.24 p.m

No comments: