Saturday, 12 July 2025

Asal-usul Rendang Terpaling Asal

Sumber: Srikandi

Asal-usul rendang adalah daripada masyarakat Melayu dahulukala di mana rekod bertulis paling terawal yang mencatatkan kewujudannya terdapat di dalam sebuah manuskrip Melayu, Hikayat Amir Hamzah. Di sana tercatat:
“... Khoja Buzurjumhur Hakim pun pergi pula ke kedai orang merendang daging kambing, lalu ia berkata ‘beri apalah daging kambing rendang ini barang segumpal”
Di situ jelas menyebutkan perkataan 'merendang' dan 'rendang' sebagai sejenis cara menyediakan makanan dan juga produk makanan. Ini bermakna rendang dan merendang sudah ada dalam kosakata masyarakat Melayu ketika itu malah cenderung ianya sudah pun ada lama sebelum itu. Hikayat Amir Hamzah merupakan salah satu dari kisah hikayat yang disebut dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), semasa serangan Portugis pada tahun 1511 Masehi. Maka manuskrip Hikayat Amir Hamzah ini dipercayai telah pun ada sejak abad ke-15 lagi di Kesultanan Melaka dan dunia kesusasteraan Melayu.
Lebih 100 tahun kemudian dari kejatuhan Kota Melaka itu yakni ketika abad ke-17 Masehi, Syeikh Burhanuddin dari Ulakan (Pariaman) dikatakan telah memperkenalkan rendang ke masyarakat Minangkabau. Tokoh yang sama juga dipercayai oleh masyarakat Minangkabau telah membawakan teknik penyediaan lemang, sejenis makanan lain. Kedua-dua makanan itu dibawa oleh tokoh pendakwah terbabit dalam siri penyebaran agama Islam di Tanah Minangkabau.
Adakah terdapat maklumat lain selain dari rekod tertua dalam manuskrip Melayu tersebut?
Malangnya, pada abad ke-16, tidak banyak maklumat bertulis tentang rendang selain yang terdapat dalam teks Hikayat Amir Hamzah. Jika ini sudah mengesahkan sekurang-kurangnya Kesultanan Melaka dan masyarakat Melayu khasnya sudah terbukti telah pun tahu teknik penyediaan masakan rendang bagaimana pula dengan masyarakat di Sumatera Barat misalnya ketika itu?
Jika pada masa kini, masakan Minangkabau dikenali dengan menu berdaging, sebaliknya menurut catatan sejarah awal abad ke-16 atau sekitar seangkatan dengan ketika Hikayat Amir Hamzah ditulis, pengambilan makanan penduduk asli Sumatera Barat secara umumnya begitu mudah. Ini dicatatkan dalam rekod perjalanan penyair Perancis, Pierre Crignon, yang mana pada tahun 1529 telah menyertai ekspedisi dua beradik, Jean dan Raoul Parmentier, melawat wilayah Tiku di utara Padang. Cignon melaporkan pemerhatiannya mengenai menu makan tengah hari orang Tiku:
“... au repas ils ont pour tous mets un petit de ris à demi cuit à l'eau sans sel, et aucune fois un petit de poisson menu comme le doigt séché au soleil qu'ils mangent avec : et c'est un bien grand banquet quand il y a quelque coq haché par morceaux, roty sur le charbon, ou bouïlly en un peu d'eau et meslé avec le ris”
(...apabila mereka makan mereka hanya mempunyai nasi separuh masak yang dimasak dengan air tanpa garam, dan ikan-ikan kecil sebesar jari dijemur di bawah sinar matahari dan mereka makan bersamanya: adapun hidangan ini, ia dianggap sangat istimewa apabila di hidangannya ada beberapa ketul ayam bakar yang dibakar di atas arang, atau direbus menggunakan sedikit air dicampur nasi).
Rendang sebagai masakan yang mewah dengan rempah-ratusnya dan agak rumit penyediaannya sesuailah berasal dari istana Kesultanan Melaka, sebuah empayar maritim yang amat berpengaruh di seluruh Selat Melaka ketika itu - seperti ungkapan: rasa yang enak dan asli seperti Sajian Istana Di Zaman Silam. Manakala rakyat biasa lebih mudah cara penyediaannya makanan mereka sehari-hari.
Jika kita hanya 'wiki' sahaja atau 'google' sahaja tentang asal-usul rendang, mungkin kita hanya terhenti di 'Minangkabau'. Namun sebenarnya sejarah makanan itu lebih lama daripada itu.
Pakar masakan Indonesia, Allahyarham Bondan Winarno, pernah berkata bahawa rendang perlu difahami sebagai "warisan bersama" (shared heritage) antara Indonesia dan Malaysia.
Peace

~Srikandi
Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya

Copy and paste:
12 Julai 2025: 12.09 p.m

No comments: