Tuesday, 1 July 2025

KUBUR KAMPONG CHE MARANG, SINGAPURA



SUMBER: JEJAK WARISAN SINGAPURA

Di tanah perkuburan yang dikenali sebagai Kubur Kampong Che Marang di Marang Road yang ditutupi belukar merupakan tempat bersemadinya sebahagian penduduk Kampong Che Marang termasuk ahli keluarga peneroka Kampong Che Marang itu sendiri iaitu Haji Omar bin Abdul Jalil, anaknya Haji Ahmad dan cucunya Haji Abdul Hamid bin Ahmad.
Awalnya dikenali sebagai Kampong Panchor, ia dibuka oleh Haji Omar bin Abdul Jalil - seorang saudagar Melayu dari Daik (Pulau Lingga) yang kemudiannya berhijrah ke Marang (Terengganu).
Ketika berhijrah ke Singapura, beliau telah membuka satu perkampungan bersebelahan Istana Temenggong - kediaman rasmi Temenggong Daeng Ibrahim bin Temenggong Ungku Abdul Rahman di kawasan Telok Blangah.
Tapak tanah tersebut telah dihadiahkan oleh Temenggong Daeng Ibrahim kepada Haji Omar pada tahun 1833.
Perkampungan itu diberi nama Kampong Panchor kerana terdapatnya 'mata air’ di situ.
Haji Omar meninggal dunia pada tahun 1866 dan disemadikan di tanah perkuburan yang dikhususkan untuk para penduduk Kampong Panchor itu.
Setelah meninggalnya Haji Omar, anaknya iaitu Haji Ahmad dilantik sebagai ketua kampung.
Beliau adalah salah seorang tokoh masyarakat Melayu dan usahawan terkemuka di Singapura. Dikenali dengan nama Haji Ahmad Marang, beliau ada membina sebuah gedung mewah di Kampong Panchor beralamat 86 Telok Blangah Road.
Pada tahun 1912, sebahagian dari tanah Kampong Panchor beserta perkuburan itu telah dijual kepada usahawan Cina iaitu Wong Ah Fook.
Namun pada 3 Mac 1917, tanah perkuburan itu telah dikembalikan kepada Kerajaan Johor melalui Dato' Ja'far bin Mohamed (Menteri Besar Johor pertama).
Apabila Haji Ahmad meninggal dunia pada 11 Februari 1920 dan disemadikan berhampiran bapanya, nama Kampong Pachor telah digantikan kepada Kampong Che Marang - bersempena nama Haji Ahmad Marang.
Salah seorang anak Haji Ahmad pula ialah Haji Abdul Hamid. Beliau merupakan salah seorang pengasas Singapore Muslim Association Of Singapore (SMA) pada tahun 1891. Antara jasanya kepada masyarakat Islam setempat pula ialah membiayai pembinaan Masjid Tasek Utara pada tahun 1907 dan Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran pada tahun 1932. Beliau juga salah seorang anggota jawatankuasa pertama dalam Persekutuan Seruan Islam (JAMIYAH). Atas jasanya kepada masyarakat Melayu setempat, beliau dilantik sebagai Justice Of Peace. Haji Abdul Hamid meninggal dunia pada tahun 1945 dan disemadikan di Kubur Kampong Che Marang itu juga.
Kampong Che Marang yang mempunyai sekitar 20 buah rumah dengan sekitar 100 penduduk itu akhirnya musnah dijilat api pada tahun 1983.
Pada 8 September 1988, tapak Kubur Kampong Che Marang diambil-alih sepenuhnya oleh pemerintah Singapura di bawah Land Acquisition Act.
Disebalik cebisan sejarah yang tinggal, kini hanyalah kenangan belaka.
Kampong Che Marang telah lama terkubur, namun nama Marang Road terus kekal abadi - menunjukkan betapa jasa yang ditaburkan oleh keluarga besar Haji Omar bin Abdul Jalil dihargai.
***
Foto:-
Jejak Warisan Singapura

Copy and paste:
1 Julai 2025: 11.58 a.m

No comments: