Tuesday, 1 July 2025

KERAMAT SULTAN ISKANDAR SHAH, FORT CANNING, SINGAPURA

SUMBER: JEJAK WARISAN SINGAPURA

Di lereng Fort Canning Hill yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Singapura atau Bukit Larangan terletak satu kubur penuh misteri yang mungkin tertua di Singapura - Keramat Sultan Iskandar Shah.
Namun demikian, terdapat pelbagai versi berkait status sebenar empunya kubur tersebut.
Ada pihak menyatakan bahawa ia adalah kubur Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah - Raja Singapura yang terakhir yang memerintah dari tahun 1388 hingga 1398. Setelah memerintah Singapura selama 10 tahun, baginda melarikan diri apabila diserang oleh tentera Majapahit. Bersama pengikutnya yang masih setia, mereka berundur dari Istana Bukit Singapura ke Sungai Seletar sebelum kemudiannya belayar ke Sungai Muar (Johor), di mana baginda mendirikan sebuah kota yang diberi nama Kota Buruk. Mereka kemudiannya menuju ke Sungai Ujong dan seterusnya ke Sungai Bertam dimana baginda telah mengasaskan sebuah pemerintahan baharu yang dinamakan Kerajaan Melaka pada tahun 1402. Sejak itu, baginda bertapak di Melaka dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka yang pertama dan dikenali sebagai Sultan Iskandar Shah. Baginda mangkat di Melaka pada tahun 1414. Meskipun tarikh kemangkatannya diketahui, tempat persemadiannya tetap menjadi misteri sehingga kini.
Emanuel Godinho De Eredia dan Tome Pires dari Portugis yakin bahawa Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah disemadikan di Bukit Tanjung Tuan (Melaka). Tokoh sejarawan William Linehan dan Haji Mohamed Yusof bin Adil atau Cikgu Buyong Adil juga berpendapat yang sama.
Di dalam kitab Sulalat As-Salatin pula, pengarangnya iaitu Bendahara Tun Muhammad bin Tun Ahmad atau Tun Seri Lanang menjelaskan bahawa pengasas dan Raja Singapura pertama, Sang Nila Utama atau Sri Tri Buana disemadikan di Bukit Singapura itu.
Bagaimanapun, di dalam kitab Tuhfat Al-Nafis, Raja Ali bin Raja Ahmad atau Raja Ali Haji menyebut bahawa Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah yang disemadikan di Bukit Singapura.
Dengan pendapat-pendapat yang bercanggah itu, jawapan sama ada kubur di Fort Canning Hill itu milik Sri Tri Buana atau Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah masih menjadi tanda-tanya.
Sepertimana dicatat oleh Haji Abdullah bin Abdul Kadir atau Munshi Abdullah, status keberadaan kubur raja-raja Singapura di Bukit Singapura itu telah dikhabarkan pada tahun 1820 kepada dua pegawai British, William Farquhar dan John Samuel Crawfurd oleh Temenggong Ungku Abdul Rahman bin Temenggong Tun Abdul Hamid.
Farquhar kemudiannya telah mengupah orang-orang Melaka membersihkan semak dan membina laluan menuju ke atas bukit tersebut. Malah beliau telah mengarahkan mereka mencacak tiang bendera East India Company dan melepaskan 12 das tembakan dari bukit tersebut.
Pada Februari 1822, John Samuel Crawfurd (Residen Singapura) telah mencatat dalam diari peribadinya mengenai keberadaan kubur yang diyakini sebagai kubur “Iskandar Shah, Raja Singapura”.
Pada 21 Januari 1823 pula, Thomas Stamford Bingley Raffles yang telah mendirikan Government House di Bukit Singapura itu telah menulis sepucuk surat kepada rakannya, William Marsden. Isi kandungannya berbunyi:-
"We have lately built a small bungalow on Singapore Hill, where, though the height is inconsiderable, we find a great difference of climate. Nothing can be more interesting and beautiful than the view from this spot. I am happy to say the change has had a very beneficial effect on my health, which has been better during the last fortnight than I have known it for two years before. The tombs of the Malay Kings are, however, close at hand; and I have settled that if it is my fate to die here, I shall take my place amongst them. This will, at any rate, be better than leaving my bones at Bencoolen."
Dari catatan itu, Raffles menyebut “.. the tombs of Malay Kings”. Ini jelas menunjukkan di Bukit Singapura itu ada kubur raja-raja Singapura dari zaman silam.
Namun, sejak Bukit Singapura didiami oleh para pegawai British dari tahun 1823 hingga nama bukit itu diubah kepada Fort Canning Hill pada tahun 1861, status keberadaan kubur raja-raja Singapura itu tidak jelas.
Charles Burton Buckley dalam catatannya tahun 1902, mengatakan:-
"The tombs of the old Rajahs were there, and it was considered sacred, as it is to the present day. Malays were frequentiy seen until late years crowding up the hill and decorating old graves there.."
Berkemungkinan besar, kubur raja-raja Singapura di Bukit Singapura itu telah diratakan oleh pihak British antara tahun 1902 hingga 1919. Ini adalah kerana dalam tahun 1919, dicatatkan hanya satu kubur sahaja yang tersisa; bahkan posisi asal kubur tunggal itu pun kelihatan telah diubah. Kubur itu dikenali sebagai Keramat Sultan Iskandar Shah.
Pada tahun 1920, pihak British Army yang mempunyai ibu pejabatnya di Fort Canning Hill telah mendapatkan kelulusan dari Muslim Advisory Board (MAB) untuk menggali dan memindahkan Keramat Sultan Iskandar Shah.
Persiapan sudah dibuat, tetapi projek tersebut dibatalkan kerana buruh-buruh yang ditugaskan tidak berani berbuat demikian walaupun dipujuk dan ditawar upah yang lumayan.
Sejak itu, Keramat Sultan Iskandar Shah telah dijaga oleh seorang lelaki tua, Haji Akram bin Shaik Ismail sehingga 17 Julai 1965.
Dari tahun 1967 hingga 1972, atas saranan MAB, Muslimin Trust Fund Association (MTFA) telah mengambil-alih urusan Keramat Sultan Iskandar Shah sebelum diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Pada tahun 1975, seluruh kawasan Keramat Sultan Iskandar Shah telah diubah; pondok dan struktur kubur telah diroboh dan dipecahkan. Semuanya telah digantikan dengan tembok berpagar rendah. Kubur tersebut pula digantikan dengan struktur berbentuk kotak hitam yang menyerupai sarkofagus. Bahkan nisan tunggal yang ada disisinya satu ketika dulu juga telah ditanggalkan. Nama “Keramat Sultan Iskandar Shah” dipahat pada sarkofagus tersebut dalam tulisan Jawi dan Inggeris. Lambang bulan sabit dan bintang turut disertakan.
Pada tahun 1981, National Parks Board (NParks) telah mengambil-alih keseluruhan urusan Fort Canning Hill termasuk Keramat Sultan Iskandar Shah.
Pada tahun 1989 pula, tembok berpagar Keramat Sultan Iskandar Shah dirobohkan dan digantikan dengan struktur bangunan yang baharu hasil rekaan Junichi Inada, seorang arkitek dari Jepun. Ianya kekahl sehingga kini.
Perbahasan mengenai status Keramat Sultan Iskandar Shah sebenarnya sudah lama dibincangkan.
Pada tahun 1997, pihak Singapore Philatelic Museum mempertahankan pendirian mereka bahawa itu adalah kubur Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah berdasarkan maklumat sejarah yang ada; tetapi dibantah oleh novelis dan wartawan yang bernama Wilfred Hamilton Shimmen, yang berpendapat tidak mungkin baginda kembali ke Singapura di akhir hayatnya bersandarkan bukti dalam kitab Sulalat As-Salatin.
Kwa Chong Guan pula menolak pendapat Shimmen dengan mempersoalkan dan memperkecilkan kesahihan kitab Sulalat As-Salatin sebagai sumber sejarah. Sedangkan dalam kitab Sulalat As-Salatin telah dijelaskan bahawa hanya empat raja Singapura telah disemadikan di Bukit Singapura.
Dan logiknya jika bersandarkan pada catitan sejarah, tidak mungkin Sri Maharaja Parameswara Dewa Shah yang mangkat di Melaka, dibawa jasadnya pulang ke Singapura. Ini adalah kerana beliau masih diburu oleh tentera Majapahit.
Justeru, adakah Keramat Sultan Iskandar Shah itu sebenarnya kubur Sri Tri Buana? Mungkin. Ini adalah kerana “syarat pemerintahan berlandaskan hukum syariah” yang dimeterai oleh leluhur Sri Tri Buana sejak zaman kekhalifahan Bani Umayyah iaitu Amir Al-Mukminin Umar bin Abdul Aziz adalah petanda baginda seorang Muslim. Manakala nama “Iskandar Shah” pula merupakan nama nobat yang mungkin diguna-pakai oleh Sri Tri Buana semasa memerintah Singapura pada ketika itu.
Kami akhiri kemelut Keramat Sultan Iskandar Shah di sini, untuk kita renungkan bersama.

Copy and paste: 1 Julai 2025: 11.26 a.m

No comments: