Monday, 6 November 2023

Harta kekayaan melimpah ruah berlaku di akhir zaman

SUMBER : UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Oleh: Dr. Khairul Asyraf Mohd Nathir : Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM

RENTETAN keadaan manusia yang mula menunjukkan tanda bakhil dengan rezeki daripada Allah SWT, baginda Nabi SAW melalui sabdanya menegaskan pada akhir zaman juga manusia akan berhadapan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah. Manusia pada satu ketika amat mudah memperolehi harta dengan rezeki yang dikurniakan. Perkara ini bersandar kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta kamu melimpah. Sehingga orang yang mempunyai harta merasa hairan, siapakah yang mahu menerima sedekahnya. Bahkan di saat dia menawarkan hartanya kepada orang lain, tawarannya itu dijawab dengan perkataan ‘Aku tidak memerlukan hartamu.'” (Hadis Riwayat al-Bukhari, az-Zakāh, hadith no. 1412 – Fath al-Bari 3/330)

Dalam hadis lain, Baginda bersabda yang bermaksud: “Kemudian melimpahnya harta sehingga seseorang yang sudah diberi 100 dinar pun masih tetap merungut.” (Potongan daripada matan hadis oleh al-Bukhari dalam al-Jizyah wa al-Muwada’ah, hadis no. 3176- Fath al-Bari 6/320). Berdasarkan dua riwayat hadis ini, terdapat lima pemahaman yang diperjelaskan bagi menggambarkan melimpahnya harta sebagai tanda semakin hampirnya kiamat.

Pertama harta yang melimpah disebabkan harta simpanan yang diperoleh oleh kaum Muslimin daripada penaklukan. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya akan dibuka kepada kamu Syam, Rom dan Parsi sehingga masing-masing daripada kamu akan mendapat bahagian unta dengan jumlah tertentu, lembu dengan jumlah tertentu dan juga kambing, sehingga mereka yang mendapat bahagian seratus dinar pun masih lagi merungut dengan bahagiannya.” (H.R Ahmad, baqi Musnad al-Anshar, Hadis no. 22547- al-Musnad 5/340)

Hadis di atas menjelaskan satu bentuk limpahan harta disebabkan pembukaan wilayah pada zaman sahabat berdasarkan perkataan ‘pembahagian’ yang berlaku dalam kalangan mereka. Pembukaan wilayah tersebut berhasil memperolehi sumber yang sangat banyak.

Pada penghujung hadis Rasulullah SAW menjelaskan terdapat masalah dalam pembahagian harta tersebut apabila terdapat mereka yang merungut tentangnya. Namun, mereka yang merungut itu bukan di kalangan sahabat, tetapi mereka yang turut serta dalam pembukaan kota tersebut.

Kedua maksud melimpahnya harta adalah peristiwa yang terjadi pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang memperlihatkan banyaknya harta rampasan perang. Perkara ini berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Bersedekahlah kamu kerana pada satu masa kamu akan menjumpai seorang lelaki berjalan dan membawa hartanya untuk disedekahkan, namun tiada seorang pun yang ingin menerimanya. Kemudian orang yang ingin menerima sedekah itu berkata, sekiranya kamu datang kelmarin membawa sedekah itu, nescaya aku akan menerima sedekah kamu, tapi pada saat ini aku tidak memerlukan harta kamu itu.” (H.R al-Bukhari, az-Zakah, hadith no. 1411- Fath al-Bari 3/330)

Gambaran hadis tersebut menunjukkan pada zaman tersebut ramai orang memiliki sifat qanaah dan zuhud sehingga mereka sanggup mengenepikan segala beban dunia yang memberatkan. Mereka tidak menjadikan penerima sedekah sebagai sesuatu yang tetap, tetapi setakat keperluan sekiranya memerlukan.
Oleh itu, gambaran tersebut sesuai dengan situasi yang berlaku pada zaman Umar bin Abdul Aziz namun kemungkinan juga situasi yang sama akan berlaku pada zaman Al-Mahdi dan Isa AS.

Ketiga maksud melimpahnya harta merujuk kepada zaman Al-Mahdi dan Isa AS Nabi SAW bersabda maksudnya: “Demi zat yang jiwaku ini berada di tangan-Nya, sudah hampir saat turunnya Isa bin Maryam untuk menjadi penguasa yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan jizyah sehingga harta menjadi melimpah sehingga tiada seorang yang mahu menerima sebagai sedekah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Ahadith al-Anbiya, hadith no. 3448- Fath al-Bari 6/556)

Hadis ini memberi gambaran al-Mahdi akan membahagikan harta namun tiada yang ingin mengambilnya. Antaranya disebabkan pada ketika itu bilangan manusia semakin sedikit disebabkan peperangan. Keduanya disebabkan saat hampirnya kiamat menyebabkan ramai yang zuhud kepada harta dunia.
Keempat maksud melimpahnya harta seiring peredaran masa dan perubahan gaya kehidupan. Berdasarkan hadis permulaan tersebut, pandangan tentang mereka yang diberi 100 dinar masih lagi merungut merujuk kepada:

• Terjadinya inflasi besar-besaran terhadap mata wang iaitu apabila seseorang memperolehi 100 dinar masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka yang berbeza dengan kehidupan terdahulu. Nabi SAW bersabda: maksudnya: “Saat itu, berpegang kepada nilai agama adalah sangat sukar. Harta semakin melimpah dan hari kiamat tidak akan tiba kecuali wujudnya sejahat-jahat manusia.” (Hadis Riwayat al- Hakim, Al-Fitan, Hadis no. 8359- al-Mustadrak 4/486)
• Berkembangnya budaya hidup senang atau mewah sehingga banyak keinginan perlu dipenuhi. Oleh itu, 100 dinar tidak akan mencukupi disebabkan manusia hidup dalam gaya dan kemewahan yang luar daripada jangkauan kehidupan mereka.

Pada zaman ini, semakin ramai manusia berhutang demi mencari kesenangan yang diingini. Mereka lebih mengutamakan kehendak berbanding keperluan terutama kawasan pekan dan pusat bandar.

Kelima maksud melimpahnya harta disebabkan tersebarnya banyak fitnah, peperangan serta manusia disibukkan dengan hal yang menyebabkan mereka lupa untuk memikirkan harta mereka: Dalam situasi bencana, sakit dan hilang akal.

Gambaran ini menunjukkan musibah yang dialami jauh lebih besar daripada kesusahan yang menimpa harta mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya akan datang pada manusia satu zaman terdapat seorang lelaki berpusing-pusing membawa hartanya berupa emas dan perak yang hendak disedekahkan namun dia tidak menjumpai walau seorang pun yang mahu menerimanya. Dan akan disaksikan nanti bahawa seorang lelaki akan diikuti oleh 40 orang wanita untuk mendapatkan perlindungan daripadanya. Ini kerana bilangan wanita lebih banyak daripada lelaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, az-Zakah, hadis no. 1414- Fath al-Bari 3/330)

Hadis di atas menggambarkan mereka yang menolak sedekah merujuk kepada harta mereka juga banyak dan limpahan harta tersebut sehingga tiada yang ingin menerima sedekah daripada orang lain manakala ramainya wanita daripada lelaki disebabkan golongan lelaki ramai sudah mati dalam peperangan dan penyakit sehingga bilangan wanita semakin bertambah dan mereka berusaha mencari perlindungan daripada lelaki. Kelahiran bayi lelaki turut berkurang.

Berdasarkan pandangan di atas, terdapat beberapa perkara utama yang menjadi tunjang kepada pemahaman harta melimpah ruah di akhir zaman. Justeru, setiap umat Islam perlu memahami dan menghayati pesanan Nabi SAW bagi menghadapi situasi akhir zaman yang penuh cabaran.

Copy and paste: 6/11/2023 > 22 Rabiulakhir 1445H: 3.53 pm


No comments: