Saturday, 25 November 2023

AN-NASIHAH” #05 KAJI DAN TELITI DAHULU SEBELUM SEBAR

SUMBER: FB PEJABAT MUFTI WPKL

1. Dunia media sosial pada masa kini amat terdedah kepada berita palsu dan fitnah yang mana kesannya sangat dahsyat kepada kestabilan masyarakat.
2. Dalam hal ini kewajipan umat Islam ialah perlu sentiasa berhati-hati dalam menerima dan menyebar sesuatu maklumat dengan memastikan bahawa maklumat yang disebar itu mestilah sahih dan benar.
3. Tanpa penelitian dan kajian sesuatu maklumat tersebut boleh menyebabkan terjadinya penyebaran maklumat palsu dan ini akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT bahkan dikategorikan sebagai pendusta. Peringatan tegas daripada Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim RA, Baginda SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang itu dianggap pendusta apabila menceritakan semua yang dia telah dengar (tanpa tabayyun)”(Riwayat Muslim)
4. Penelitian dan kajian dalam keadaan tidak tergesa-gesa ketika menerima dan menyampai sesuatu maklumat adalah penting bagi memastikan kesahihannya agar terhindar daripada menerima dan menyebar maklumat palsu dan fitnah serta permusuhan antara manusia.
Satu kaedah yang masyhur ada menyebut:
إن كنت ناقلاً فالصحة، أو مدعياً فالدليل
Maksudnya: “Sekiranya kamu menukilkan sesuatu (berita) hendaklah kamu memastikan berita itu, atau sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”
5. Di samping itu, penyampaian maklumat mestilah bukan bertujuan untuk memecah belah dan membuka aib. Hal ini kerana perbuatan-perbuatan tersebut merupakan satu perbuatan yang tercela, malahan akibat daripada perbuatan tersebut dosanya akan berterusan jika disebar oleh pihak yang lain.
Jarir bin Abdullah RA meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW, sabdanya:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan Sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (Riwayat Muslim)
6. Secara umumnya dalam penerimaan atau penyampaian sesuatu maklumat, bagi memastikan kebenaran dan keabsahannya, maka mestilah melalui beberapa proses supaya maklumat tersebut dapat diperhalusi dan diteliti. Oleh itu, beberapa faktor yang patut diambil berat ialah:
● Perlu berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita
● Memastikan tidak akan berlakunya salah faham dan kesalahan dalam fakta yang boleh menyebabkan fitnah
● Memastikan kesahihan dan kebenaran berita yang diterima atau yang akan disampaikan.
● Tidak terburu-buru dalam membuat kesimpulan sesuatu berita
● Menanamkan prasangka yang baik dan menjauhi su’u zhan(prasangka buruk) sesama manusia.
● Menjaga ukhuwah dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim diantara masyarakat.
SAHIBUS SAMAHAH DATUK PROF. MADYA DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Copy and paste:
25/11/2023 > 12 Jamadilawal 1445H: 10.47 pm

No comments: