Thursday, 23 November 2023

Ancaman kepada Pemimpin Zalim dan Penyokongnya

Oleh Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad
Berita Harian, New Straits Times > 12 August 2022

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w.505H/1111M) menyebut dalam kitabnya al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk  betapa pentingnya seorang raja (atau pemerintah) berlaku adil kepada rakyatnya kerana kerajaan dan pemerintahan itu adalah anugerah daripada Allah SWT yang Dia boleh beri dan tarik semula daripada sesiapa yang dikehendaki seperti mana firman Allah SWT, mafhumnya: “Dia (Allah) berikan kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia menarik kerajaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki; Dia muliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia hinakan sesiapa yang Dia kehendaki, segala kebaikan itu miliknya, dan sesunggunya Dia berkuasa atas segala sesuatu” (Al-Imran:26).

Kezaliman boleh berlaku dalam banyak bentuk tidak semestinya dalam bentuk penindasan dan penganiayaan fizikal sahaja. Kezaliman dalam Islam membawa maksud “tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar”. Pengkhianatan terhadap harta negara juga adalah salah satu bentuk kezaliman yang seringkali tidak diambil berat oleh sesetengah raja atau pemimpin ketika berkuasa. Imam al-Ghazali menyebut betapa sebuah kerajaan yang adil walaupun diperintah oleh pemimpin bukan Islam akan mampu bertahan, berbanding kerajaan zalim walau dipimpin oleh orang-orang Islam. Beliau mengingatkan para pemimpin jangan menyalahgunakan harta negara untuk kepentingan peribadi.

Malang sekali nasihat-nasihat sebegini tidak begitu dipedulikan oleh ramai pemimpin hari ini apabila sebaik dilantik sebagai pemimpin, mula menjadikan harta negara milik peribadinya. Masyarakat tentu hairan bagaimana seorang pemimpin daripada kalangan rakyat biasa asalnya, yang bukan berlatar belakangkan keluarga jutawan, korporat, atau ahli perniagaan mewarisi harta yang banyak, tiba-tiba dalam masa yang singkat mampu mengumpulkan sebegitu banyak harta kekayaan dan kemewahan. Mencongak gaji dan jumlah keseluruhan pendapatan bulanan yang diperoleh secara halal dan sah oleh seseorang pemimpin melalui jawatan yang dipegangnya dan kelayakan yang diterimanya mengikut undang-undang, tidak memungkinkan mereka mampu memiliki kemewahan sebanyak itu, jika tiada sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah. 

Pemimpin sebeginilah setiap kali dilantik akan memulakan ucapan kemenangan atau pelantikan dengan merakamkan terima kasih dan menganggap “ini adalah amanah besar daripada Allah SWT”, tetapi malangnya ia hanyalah sekadar ungkapan pemanis bibir sahaja, kerana mereka selepas itu mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

Penyalahgunaan kuasa di negara kita ini berlaku sudah sekian lama melibatkan pemimpin daripada hampir semua peringkat samada partai politik mahupun penjawat awam. Ia suatu yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin-pemimpin beragama Islam. 

Ia memaksa cendekiawan ulung negara, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan meluahkan kekecewaan beliau melalui buku terbaharunya “Corruption and Hypocrisy in Malay Politics: The Urgency of Moral-Ethical Transformation” dan mengharapkan satu gerakan transformasi dilakukan dalam masyarakat bagi membendung semacam “endemik” di negara kita ini. Beliau jelas menzahirkan kekecewaan dengan korupsi, rasuah, penipuan dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini. 
Adakah para pemimpin Islam lupa dengan begitu banyak ancaman Baginda SAW terhadap pemimpin yang khianat, seperti mafhum sebuah hadis berbunyi: “Tidaklah seseorang diamanahkan memimpin sesuatu kaum kemudian dia meninggal dalam keadaan berkhianat terhadap rakyatnya, maka diharamkan baginya Syurga.” (HR Bukhari dan Muslim). 
Begitu juga dalam hadis lain disebut, mafhumnya: “Sesiapa pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya dalam Neraka” (HR Ahmad). 
Dalam Musnad Imam al-Rubai’ pula diriwayatkan hadis berikut: “Allah melaknat orang yang memerintah umat ku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya.”

Beberapa persoalan yang menuntut jawapan kita ialah, kenapa masih wujud pemimpin Islam yang tidak segan silu terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, pecah amanah ini sedangkan ia jelas suatu perbuatan berdosa di sisi Islam kerana mengkhianati amanah yang dibebankan terhadap mereka? 

Apakah yang mendorong mereka melakukan pengkhianatan sedemikian? Adakah mereka tidak takut kepada Hari Akhirat kelak dan dihumbankan ke dalam neraka? Adakah mereka merasakan boleh bertaubat, menunaikan haji, bersedekah lalu kononnya suci harta tersebut sedangkan dosa dan kesalahan mereka melibatkan wang rakyat, bukan berdosa kepada Allah semata-mata? 

Yang lebih menghairankan lagi, kenapakah walaupun sudah jelas penyelewengan dan pengkhianatan demi pengkhianatan dilakukan namun rakyat masih tetap memilih dan mengangkat pemimpin yang bergelumang dengan korupsi dan penyelewengan ini? Adakah masyarakat kita sudah buta daripada menilai kebenaran sehingga menjadi taksub kepada pihak tertentu? Atau, adakah sebenarnya masyarakat kita tiada lagi pilihan kerana sekalian calon pemimpin yang ada di sekeliling kita amat sedikit yang benar-benar jujur, amanah dan berintegriti seperti mana ungkapan yang sering didengari, “sesiapa pun yang memimpin, mereka sama sahaja, hanya skala yang berbeza-beza.” ?

Pemimpin yang terlibat melakukan penyelewengan, pengkhianatan, perasuah sebenarnya adalah termasuk dalam kalangan pemimpin yang zalim. Zalim bukan dalam erti kata sempit seperti membunuh, mendera, menyeksa sahaja seperti mana yang sering disalah fahami oleh sebahagian besar masyarakat awam, tetapi zalim dalam pengertian berkhianat terhadap amanah rakyat dan harta negara yang diperintahkan kepada mereka menjaga dan menguruskannya dengan betul. Mereka itu masih tergolong dalam pemimpin yang zalim walaupun pada masa yang sama mereka turut memberikan pelbagai bantuan kewangan, wang kebajikan, pelbagai subsidi dan sebagainya bagi mengelabui pengkhianatan mereka yang jauh lebih besar dan dahsyat itu. Justeru, rakyat yang masih mengangkat mereka yang seperti ini hanya kerana “digula-gulakan” dengan sedikit habuan dikhuatiri nanti termasuk dalam kalangan mereka yang menyokong orang-orang yang zalim sedangkan ancaman Allah SWT terhadap mereka yang menyokong orang zalim amat keras sekali.

Seperti mana dirakamkan dalam Surah Hud ayat 113, mafhumnya: “Jangan sekali-kali kamu cenderung menyokong orang yang zalim, kelak kamu akan dibakar oleh Api Neraka, (pada ketika itu) kamu tidak akan dapati selain Allah sebagai penyelamat dan kamu juga tidak akan mendapat sebarang pertolongan.”  

Marilah sama-sama kita menyahut perintah Nabi SAW: 

“Tolonglah saudara mu yang zalim dan yang dizalimi” [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2263, 2264 dan 2438]. 

Menolong saudara kita yang zalim ialah dengan cara menghentikan mereka daripada melakukan kezaliman lagi, iaitu dengan cara tidak lagi memilih dan mengangkat mereka sebagai pemimpin.

Copy and paste: 23/11/2023 > 10 Jamadilawal 1445H: 9.38 pm


No comments: