Sunday, 4 September 2022

PENERBANGAN TERAKHIR MH370 DAN MH17

SUMBER: GENG BORAK

Mantan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sememangnya dikenali ramai apabila mengetuai operasi pencarian pesawat penerbangan terakhir MH370 milik Malaysia Airlines yang dilaporkan hilang daripada radar menara kawalan pada 8 Mac 2014.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA) sebelum ini juga berdepan situasi krisis sekali lagi apabila terlibat dalam kemalangan pesawat MH17 pada 17 Julai 2014.

Datuk Seri Azharuddin juga telah berkhidmat selama 11 tahun sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2018.

Ikuti wawancara UtusanTV bersama Datuk Seri Azharuddin bagi merungkai kisah di sebalik operasi tragedi yang mendapat liputan dunia dan masih menjadi perhatian ramai sehingga kini.

Bagaimana perasaan Datuk Seri apabila menerima berita mengenai MH370 dan MH17?

Datuk Seri Azharuddin: Pada pagi tu apabila melihat telefon, saya dikejutkan dengan mesej yang banyak mengatakan sebuah pesawat milik Malaysia Airlines telah hilang. Apa yang sebenarnya berlaku? Banyak soalan-soalan yang ditanyakan dan ‘missed call’ yang diterima, namun saya tidak menjawab satu pun daripada telefon dan mesej tersebut.

Saya hanya menunggu panggilan daripada pegawai yang mengatakan bahawa perlu hadir ke Hotel Sama-Sama KLIA untuk sidang akhbar pertama dan dikehendaki tiba lebih awal bagi mendapatkan maklumat yang terkini mengenai kejadian tersebut. Rasa terkejut, hairan dan tertanya apa perkara sebenar yang berlaku. Apa yang perlu dibuat apabila berlaku musibah sebegini. Serta apa protokol-protokol yang perlu dilakukan untuk sebarang insiden penerbangan awam.

Apa pandangan Datuk Seri tentang teori-teori konspirasi yang disebarkan berkaitan dengan kes dua buah pesawat ni? Ada kebenarannya?

Datuk Seri Azharuddin: Kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi kerana perlu menjaga hati dan perasaan waris-waris mangsa. Sebagai badan siasatan, kami perlu mendapatkan bukti yang sahih. Teori-teori itu banyak sekali diperkatakan diluar sana. Ada yang mengatakan pesawat ditembak jatuh dan ada yang mengatakan telah diambil alih oleh satu pihak kuasa lain. Ada juga yang mengatakan pesawat telah mendarat di Diego Garcia dan banyak lagi yang saya tidak dapat sebutkan. Bagaimanapun, apa yang kami ketahui adalah pesawat tersebut telah berpatah balik dan penerbangan terakhir dikenal pasti berada di Laut China Selatan.

Itu adalah berdasarkan analisa dan kajian yang dilakukan oleh pakar yang telah dilantik dan bekerjasama. Mereka adalah syarikat satelit INMARSAT di United Kingdom (UK) bersama dengan Air Accidents Investigation Branch di UK yang pertama sekali melakukan siasatan tentang keberadaan pesawat yang hilang itu.

Manakala, pesawat MH17 pula yang diketahui ketika itu berlaku pergolakan di timur Ukraine. Lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh itu dikuasai oleh pihak pemisah yang menetang kerajaan Ukraine. Siasatan dijalankan oleh panel siasatan khas kriminal dari lima buah negara iaitu Malaysia, Holland, Ukraine, Australia dan Austria.

penerbangan terakhir MH370

Ada kisah-kisah mistik berkaitan dengan tragedi yang mahu dikongsikan dengan penonton?

Datuk Seri Azharuddin: Kisah mistik itu tiada tetapi terdapat segelintir pihak iaitu bomoh yang datang menggunakan perkataan mistik. Mereka jumpa saya dan katakan boleh mencari pesawat yang hilang, tetapi dengan syarat mahukan ‘pengeras’. Ada beberapa kisah menarik saya boleh kongsikan, pertamanya sepasukan warga Vietnam datang berjumpa saya melalui kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur.

Mereka datang membawa satu sampul surat seakan kad undangan ke majlis bewarna kuning. Apabila buka sahaja sampul itu, terlihat peta Asia Tenggara. Ada Malaysia, sedikit bahagian Vietnam dan di atas kawasan utara Sumatera tertera tanda “X”. Apabila ditanyakan tentang tanda “X”, mereka katakan di situlah terletaknya pesawat MH370 seperti yang diberitahu oleh ahli psikik mereka. Kami telah cari di kawasan yang bertanda “X” itu namun pesawat tidak dapat dijumpai.

Bagaimanapun, mereka amat berbesar hati kerana dapat menyampaikan amanah yang diberikan oleh ahli psikik mereka meskipun pesawat tidak dapat ditemui.

Kemudian, ada satu kejadian di mana seorang warga India yang sering menghantar emel memaklumkan mahu berjumpa saya. Selepas 3 bulan dari tarikh kejadian hilangnya pesawat MH370, individu tersebut secara tiba-tiba datang berjumpa saya di Hotel Royal Chulan. Bagaimanapun, individu tersebut banyak dalihnya apabila di minta untuk menunjukkan kawasan pesawat itu.

Malah, di dalam buku Penerbangan Terakhir: MH370 & MH17 juga ada diceritakan tentang kisah saya diarahkan untuk berjumpa dengan seorang individu yang boleh mencari pesawat berpandukan Al Quran. Individu tersebut memaklumkan pada saya dia boleh mencari apa-apa sahaja yang hilang. Tetapi oleh kerana pesawat ini hilang di dalam lautan, maka tiada petunjuk.

Jika hilang di atas daratan, individu terbabit boleh beritahu di mana kawasannya, tetapi di lautan tiada alamat. Apabila saya minta koordinat, dia mohon maaf kerana di dalam Al Quran tiada ditunjukkan longitud dan latitud.

Nota kaki: Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman merupakan penulis buku Penerbangan Terakhir: MH370 & MH17. Beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Oktober 2007 sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2018.

penerbangan terakhir MH370

Misteri kehilangan MH 370 masih lagi menghantui rakyat Malaysia. Kehilangan pesawat tersebut diratapi oleh setiap lapisan masyarakat. Ketika rakyat Malaysia masih lagi menunggu dengan sabar khabar berita itu, satu lagi tragedi terus menggegarkan negara. Kali ini berkenaan Pesawat MH 17 yang telah ditembak di suatu sudut langit Eropah. Ratusan nyawa lagi diragut dalam nahas pesawat tersebut.

Lantas, kedua-dua tragedi tersebut meninggalkan tanda tanya. Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada kedua-dua pesawat itu? Ada teori konspirasi, ada teori geopolitik, malah timbul pelbagai hipotesis. Tetapi tidak salah jika kita semua ketahui sendiri daripada mantan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia yang mengetuai siasatan awal; dan juga yang bertanggungjawab mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkaitan dengan nahas.

Ada riwayat yang mahu didendangkan beliau berkaitan dua tragedi itu yang anda tidak mungkin dapat di tempat lain.

Baca juga : Diego Garcia Rahsia Dunia

Kisah trending di Pulau Diego Garcia?

Jadi, bagaimana pandangan para pembaca terhadap teori konspirasi atas kehilangan MH370 dan tragedi MH17? Para pembaca berhak untuk sama ada mempercayai atau tidak teori ini tetapi pelbagai maklumat dan fakta telah dipaparkan bersama hujah-hujah yang logik.

Akal yang diberikan Allah SWT mampu untuk kita berfikir secara rasional terhadap apa juga yang berlaku di dunia ini. Ingatlah, Dajjal Illuminati sudah menguasai setiap atur langkah hidup kita sekarang ini. Tidak mustahil apa yang berlaku terhadap MH370 dan MH17 satu hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Selamat membaca!

Copy and paste: 4 September 2022 > 7 Safar 1444H: 9.58 am

No comments: