Tuesday, 27 September 2022

PEMBUKTIAN BAHASA : PERBEZAAN HOMO ERECTUS DENGAN HOMO SAPIENS

SUMBER: PROF.DR. SOLEHAH YAACOB

Teori Darwin yang mendakwa bahawa manusia berasal daripada keturunan kera, yang melalui beberapa proses evolusi ternyata tidak benar. Malah, ramai ahli sains sama ada dalam kalangan Muslim atau bukan Muslim mempertikaikan kebenaran teori tersebut. Pada pertengahan abad ke -20, teori ini sudah tidak digunakan lagi. Penerangan tentang kejadian manusia yang dihuraikan oleh Al-Quran ternyata lebih jelas dan logik, apabila Allah SWT menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami, di samping huraian yang berbentuk satu per satu dan disertakan dengan hujah yang mudah diterima akal.

Ahli sains membahagikan makhluk pada peringkat awal kejadian manusia kepada dua jenis, iaitu Homo erectus dan Homo sapiens. Homo erectus dipercayai wujud lebih awal daripada Homo sapiens, dan berkemungkinan makhluk yang sentiasa melakukan pertumpahan darah di atas muka bumi seperti yang dirakamkan dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُون

Maksud: Dan(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah bumi.”Mereka bertanya(tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan) padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu ? “ Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah 2: 31-33)

Menurut ahli sains, kejadian Homo sapiens ini pula merujuk kejadian Nabi Adam a.s dan anak cucunya. Apabila Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia, baginda dan Hawa diajarkan oleh para malaikat cara untuk melalui kehidupan di dunia, termasuk cara berpakaian, berkeluarga dan cara menyediakan makanan. Kitab tafsir banyak menceritakan secara terperinci kisah antara Nabi Adam a.s dengan isterinya Hawa yang dihukum oleh Allah SWT kerana termakan hasutan syaitan yang memakan buah daripada pohon terlarang di syurga.

Menurut Ibnu Kathir (1997:237), Nabi Adam a.s diturunkan di India, di sebuah tempat yang dikenali sebagai Wasssim yang terletak di lembah Bahil, iaitu di antara Ad-Dahnaj dengan Al- Mandal. Manakala Hawa pula diturunkan di Makkah, Ibnu Abbas pula berpendapat bahawa Nabi Adam a.s diturunkan di Dihna yang terletak di antara Makkah dan Taif (Ibnu Kathir, 1997:237). Walaubagaimanapun, Hassan Basri berpendapat bahawa Nabi Adam a.s diturunkan di India, Hawa di negara Arab dan ular yang ada bersama-sama mereka di syuga diturunkan di Isfahan, Iran, manakala iblis di Bostiman, Iraq. Abu Musa al- Ashaari, daripada aliran al-mutakalim percaya bahawa sebelum Nabi Adam a.s diturunkan di dunia,baginda diajarkan berbagai-bagai bahasa seperti firman Allah SWT dalam Surah al- Baqarah, ayat 31-33:

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33

Maksud: Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda gunanya kemudian ditunjukkannnya kepada malaikat,lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa-apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Adam menerangkan nama benda itu semua kepada mereka, maka Allah berfirman: “Bukankah Aku telah mengatakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa-apa yang kamu nyatakan dan apa-apa yang kamu sembunyikan?!”
(Surah al-Baqarah 2:31-33)

Walaubagaimanapun, para ulama bersetuju bahawa pertemuan antara Nabi Adam a.s dengan isterinya Hawa terjadi di Padang Arafah. Persoalan bahasa pertuturan Nabi Adam a.s ketika di syurga masih tidak mempunyai jawapan yang tepat dan saintifik. Namun begitu, huraian dan hujahan tentang bahasa Semitik melalui kesan yang ditemukan oleh pakar bahasa mungkin boleh membantu untuk memberikan petunjuk bagi menjawab persoalan ini. Sebahagian daripada para orientalis percaya bahawa bahasa Arab Fushah merupakan induk (asal) kepada bahasa Semitik yang lain, berdasarkan dalil bahawa bahasa ini (bahasa Arab Fushah) mewakili keseluruhan laras bahasa Semitik. Tambahan pula, bahasa Arab Fushah ternyata masih digunakan dan dikaji sehingga sekarang, berbanding dengan kebanyakan bahasa lain di bawah kumpulan yang sama, telah pupus dan tidak digunakan lagi. Para ulama Islam hakikatnya telah pergi lebih jauh untuk membuktikan teori mereka bahawa bahasa yang dituturkan oleh Nabi Adam a.s ialah bahasa Arab Fushah.

Pembuktian ini ternyata tiada pengakhirannya kerana selain ulama Islam, ahli kitab dan cendekiawan agama Yahudi dan Nasrani pula cuba untuk membuktikan bahawa bahasa yang dituturkan oleh Nabi Adam a.s ialah bahasa Siryani atau Aramaik atau Hebrew, walaupun perbahasan ini dilihat tidak lebih daripada kajian yang dijalankan bagi membuktikan bahasa asal sesuatu kumpulan bahasa. Profesor Jawad Ali dalam bukunya Al-Mufassal fi Tarikh al- ‘Arab Qabl al-Islam percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Yahudi dan Nasrani dalam pembuktian mereka ternyata berat sebelah dan perlu dianalisis oleh umat Islam.

Copy and paste: 27 September 2022 : 30 Safar 1444H: 8.47 am