Wednesday, 28 September 2022

Penempatan awal di Bukit Bunuh

SUMBER: SEJARAH MELAYU PURBA BLOGSPOT

PULAU PINANG 29 Jan.- Pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membuktikan penempatan awal manusia wujud di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak iaitu kira-kira 1.83 juta tahun dahulu.

Ini berdasarkan penemuan artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan iaitu pisau yang melekat pada batuan oleh sekumpulan penyelidik USM di kawasan tersebut pada Jun tahun lalu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin berkata, pengesahan tarikh batu dibuat melalui kaedah kesan belahan oleh makmal geokronologi di Tokyo, Jepun selama tiga bulan.

''Pada dua minggu lepas, kami menerima pengesahan daripada makmal itu bahawa artifak tersebut wujud pada tarikh sekitar 1.83 juta tahun sekali gus menolak teori Movius Line yang mengatakan tidak wujud alatan tersebut di rantau ini.

''Tarikh itu juga membuktikan alatan kapak genggam itu terlebih dahulu wujud di negara ini berbanding penemuan pertama yang direkodkan wujud di Olduvaigeorge, Tanzania di Afrika sekitar 1.6 juta tahun dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengumumkan penemuan terbaru itu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di sini hari ini.

Penyelidikan yang dikenali sebagai Kajian Kuartenari Hulu Perak dan Sabah Timur di kawasan itu bermula pada tahun 2000 dan mereka berjaya menemui bukti kewujudan kebudayaan Paleolitik berusia 40,000 tahun pada tahun 2003.

Turut ditemui, bukti jatuhan meteorit yang menyebabkan batuan asal melebur dan membentuk batuan baru iaitu suevit dan bukti impak meteorit ditunjukkan dengan hasil penemuan batuan kuarza, anomali geofizik dan geomorfologi kawah.

Pada tahun lalu pula, para penyelidik itu berjaya menemui artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan di dalam batu suevit, batuan yang wujud akibat hentaman meteorit sebelum dihantar ke Jepun untuk pentarikhan.

Mokhtar berkata, hasil penemuan itu juga memberi bukti baru terhadap bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu.

''Manusia terawal di dunia yang dikenali sebagai Homohabilis telah dibuktikan wujud di Afrika pada 2 juta tahun dahulu menakala kumpulan manusia terawal keluar dari negara itu yang dikenali Homoerectus telah ditemui di Georgia.

''Jadi, dengan penemuan itu, sudah jelas kumpulan manusia Homoerectus sudah wujud di Bukit Bunuh sebelum ia bertapak di Dmanisi di Georgia (1.8 juta) Sangiran di Jawa Indonesia (1.2 - 1.7 juta) dan Yuanmou dan Longgupo di China (1.7 - 1.8 juta) seperti yang direkodkan," ujarnya.

Beliau berkata, penemuan batu suevit yang pertama seumpama itu di rantau Asia Tenggara ini juga tidak menolak kemungkinan manusia awal yang wujud di Sangiran di Jawa, Indonesia berasal dari Bukit Bunuh yang berpindah ekoran kemusnahan oleh impak meteorit.

Dalam pada itu, Mokhtar memberitahu, hasil penemuan itu juga telah ditunjukkan dua orang pakar arkeologi dari Universiti Oxford di United Kingdom dan Universiti Pensylvinia di Amerika Syarikat baru-baru ini.

''Kita juga sedang giat mencari bukti lain seperti tulang atau gigi manusia di kawasan tersebut bagi mengesahkan asal-usul manusia yang memulakan penempatan di situ sekali gus mencari lebih banyak bukti.

''Saya juga bercadang untuk memuatkan semua hasil penemuan yang memberi impak kepada dunia ini dalam sebuah jurnal tidak lama lagi bagi membolehkan ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang," jelasnya.

"Beliau berkata, penemuan batu suevit yang pertama seumpama itu di rantau Asia Tenggara ini juga tidak menolak kemungkinan manusia awal yang wujud di Sangiran di Jawa, Indonesia berasal dari Bukit Bunuh yang berpindah ekoran kemusnahan oleh impak meteorit".

Copy and paste:
28/9/2022 : 2 Rabiulawal 1444H: 8.48 pm

No comments: