Wednesday, 28 September 2022

SISTEM TULISAN MELAYU KUNO



Di alam Nusantara terdapat bnyak sistem tulisan, termasuklah aksara Bali, aksara Jawa, dan juga aksara Sasak. tapi disini aku ingin bercerita mengenai aksara2 yang pernah digunakan di MALAYSIA. Iaitu:

AKSARA KAWI
Tulisan kawi ialah sistem tulisan terawal di Kepulauan Melayu. Ia telah wujud dalam kurun ke-8 M. Tulisan kawi digunakan untuk menulis dalam bahasa kawi yang dituturkan oleh orang Jawa ketika itu. Tulisan ini kemudiannya dibawa masuk ke kawasan-kawasan lain di sekitar Asia Tenggara dan bercambah menjadi sistem-sistem tulisan baharu.
Tulisan kawi asalnya adalah daripada huruf Vangki (Wenggi) iaitu huruf orang-orang Pallava yang berasal dari Coromandel, India. Huruf Kawi ini lenyap pada tahun 1400 M beriringan dengan runtuhnya kemaharajaan yang menggunakan huruf itu iaitu Majapahit yang kemudiannya digantikan oleh Huruf Jawa (Carakan) yang dikembangkan daripada huruf kawi oleh Kekhalifahan Demak.
Huruf-huruf dalam aksara Kawi

Dengan menggunakan huruf-huruf kawi, orang-orang Melayu kuno menulisnya di atas kulit-kulit kayu, daun-daun lontar, kepingan-kepingan logam dan pada batu-batu (batu bersurat).
Aksara Kawi adalah sebuah huruf yang digubah dari huruf India Selatan. Tiap hurufnya merepresentasikan sebuah suku kata dengan vokal yang dapat diubah dengan penggunaan tanda baca. Aksara ditulis tanpa ruang kosong. Aksara Kawi memiliki sekitar 47 huruf, namun terdapat sejumlah huruf yang bentuk dan penggunaannya tidak diketahui pasti karena sedikitnya contoh yang ditemukan dalam mempraktikan sistem bertulis Kawi.

Aksara Kawi memiliki bentuk subskrip huruf yang digunakan untuk menulis tumpukan konsonan, sama dengan pasangan dalam aksara Bali. Namun beberapa inskripsi Aksara Kawi tidak menggunakan pasangan dalam penulisannya.
contoh ayat menggunakan aksara kawi yang berbunyi Jahnī yāhning talaga kadi langit bermaksud 'air telaga jernih bagaikan langit'

AKSARA PALAVA/PALLAWA
Nama aksara ini berasal dari Dinasti Pallava yang pernah berkuasa di selatan India antara abad ke-4 sampai abad ke-9 Masehi. Dinasti Pallava adalah sebuah dinasti yang memeluk aliran Jainisme.
Tulisan ini merupakan sistem tulisan yang paling awal digunakan di kawasan Kepulauan Melayu. Tulisan ini mula bertapak di Pulau Jawa dan digunakan untuk menulis dalam bahasa Sanskrit dan ianya terdiri daripada 46 abjad .Ketika itu bahasa Sanskrit menjadi bahasa pentadbiran dan ilmu pengetahuan. Penyebaran tulisan dan bahasa Hindu ini dijangka terhad di kalangan golongan istana sahaja disebabkan tiada kemudahan asas untuk mengajar orang kebanyakan membaca dan menulis.

Tulisan Pallava juga merupakan sistem tulisan paling awal digunakan untuk menulis dalam Bahasa Melayu Kuno, yang mana banyak menerima pengaruh daripada Sanskrit. Bukti penggunaan tulisan Pallava terdapat pada yupa (tiang batu persembahan)/prasasti di daerah Muara Kaman, pertemuan antara Sungai Mahakam dan Kedang Kepala, sekitar 125 km atau dua jam menaiki bot laju ke hulu Tenggarong, ibu kota Kabupaten Kutai Kartanegara.
Selain itu aksara Pallawa juga digunakan di dalam dokumen Tarumanegara yang berasal dari pertengahan abad ke-5. dokumen2 inilah yang menjadi bukti penggunaan aksara Pallawa sebagai tanda aksara ini telah berkembang di Nusantara.

Tugu(batu bersurat) juga turut dijumpai oleh pekerja topografi Belanda dalam tahun 1879 dalam huruf Pallava berbahasa Sanskrit. Tujuh tugu tersebut kini berada di Muzium Nasional Jakarta menceritakan tentang pencapaian Raja Mulawarwan, cucu Kudungga. Tugu tersebut berasal dari tahun 400 merupakan tinggalan pemerintahan Hindu.

AKSARA RENCONG
Tulisan Rencong (réncong), atau Incung ialah sistem tulisan yang diterbitkan berdasarkan aksara Pallava dan Kawi . Ia juga merupakan tulisan Melayu tertua yang digunakan dalam sistem persuratan bahasa Melayu sejak abad ke-6 masihi iaitu ketika zaman kerajaan Melayu Srivijaya di Sumatera. Walau bagaimanapun, tulisan Rencong dipercayai telah pun digunakan sebelum abad ke-3 masihi. Aksara ini diciptakan oleh orang-orang Melayu dengan meniru bentuk-bentuk cabang, ranting, potongan kayu dan bentuk aliran sungai.
Tulisan Melayu Purba ini telah dijumpai pada tahun 1892 pada sebatang tiang batu iaitu Batu Bersurat Kota Kapur di Kota Kapur, Bangka Barat, Sumatera Selatan, Indonesia. Rencong ialah perkataan Bahasa Melayu Kuno yang membawa maksud serong kerana tulisan ini ditulis secara menyerong dan menyendeng.


Huruf Rencong iaitu huruf Melayu Purba yang banyak digunakan di Sumatera Selatan (Bangkahulu dan hulu Palembang) dan Minangkabau dan banyak didapati digunakan semasa zaman pemerintahan Kerajaan Srivijaya. Huruf-huruf yang telah digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman purba ialah huruf tertua yang menyerupai bentuk huruf-huruf Rencong atau Rencang, Kawi dan Lampung. Kajian menunjukkan bahawa huruf-huruf tersebut mempunyai kaitan dengan huruf-huruf orang Kemboja pada zaman purba.
Tulisan Rencong ini terdiri daripada tanda baca bagi suku kata berikut (diberikan dengan bunyi a):

ka, ga, nga, ta, da, na, pa, ba, ma,
ca, ja, nya, sa, ra, la, ya, wa, ha, a,
mba, ngga, nda, nja

Selain itu, huruf yang ditandakan dengan tanda titik atau sengkang yang terletak di bawah, atas ataupun di sebelah huruf tersebut asalnya akan tetap dibunyikan huruf tersebut jika tidak dinyatakan berbunyi a adalah penanda untuk dibaca sebagai huruf lain seperti huruf vokal e, i, o, u, ai, au, ataupun bermakna huruf tersebut adalah pangkal suku kata seperti -ng atau -h. Huruf-huruf ini boleh dicantumkan bersama-sama untuk menghasilkan suku kata Bahasa Melayu yang difahami. Tanda selepas huruf na, jika dicantumkan dengan tanda baca u dan -ng akan dibaca dengan bunyi nung. Terdapat juga tanda berhenti atau tanda mati yang disebut sebagai tanda bunuh yang dituliskan secara jelas pada huruf vokal a yang ditambah; contohnya huruf ka dicantumkan dengan tanda bunuh akan menjadi -k.
Setelah penyebaran Islam di Kepulauan Melayu, orang-orang Melayu Klasik cuba untuk terus menggunakan aksara Rencong (serta Kawi dan Palava) untuk menulis tentang Islam. Mereka mendapati ketiga-tiganya tidak sesuai kerana tidak mampu untuk merakam bunyi perkataan-perkataan baru dari al-Quran dan hadis secara tepat.
Daripada mencipta atau menambah huruf baru pada aksara Rencong, Kawi atau Palava, orang-orang Melayu Klasik telah mengambil keputusan untuk mengabaikan terus ketiga-tiga tulisan tersebut. Sebaliknya, orang-orang Melayu Klasik cuba mengeksperimennya ke atas huruf-huruf Arab dengan mengejanya dalam bahasa Melayu. Hasilnya, lahirlah tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan dan digunapakai dalam sistem persuratan Bahasa Melayu Klasik. Walaubagaimanapun, aksara Rencong terus digunakan di Minangkabau dan Sumatera Selatan.

Copy and paste: 
28 September 2022 : 2 Rabiulawal 1444H: 7.12 pm