Wednesday, 19 May 2021

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-566: HUKUM PRANK DALAM ISLAM


Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya. Apakah hukum buat prank? Dan Apa hukum buat prank dan upload dalam channel Youtube atau media sosial lain?

Jawapan Ringkas

Hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.

Oleh kerana itu, dinasihatkan agar mengelakkan dari menghasilkan video-video atau ‘content’ prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum. Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat pada penonton serta dapat memberikan pengajaran.

Huraian Jawapan

Prank menurut kamus dewan bahasa adalah usikan yang kebudak-budakan. Prank adalah satu istilah moden yang digunakan bagi menggambarkan perbuatan mengusik seseorang dengan perkataan atau perbuatan sebagai bahan jenaka atau menguji seseorang. Adakalanya, gurauan atau prank tersebut agak melampau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi seseorag. Seseorang yang terkena prank akan merasa malu, kecewa dan merasa tertipu.

Tambahan lagi, budaya ini makin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan pembuat video di Youtube dan media sosial yang lain kerana kebiasaannya video-video prank sebegini akan mendapat sambutan dan tontonan yang ramai. Hasil daripada tontonan tersebut, pemilik video akan memperoleh pengikut-pengikut baharu dan juga boleh dibayar oleh Youtube atas capaian dan tontotan yang tinggi tersebut. Oleh kerana itu, makin ramai yang menghasilkan video-video berunsurkan prank ini untuk mendapatkan tontonan yang tinggi dan sekaligus mendapat hasil pendapatan darinya.

Dalam satu kisah, Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan bahawa dia tidak akan masuk syurga sehingga wanita tua tersebut beredar dengan perasaan yang sedih yang kemudiannya Rasulullah menjelaskan semula bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua tetapi akan masuk dalam keadaan muda.

‌أتت ‌عجوز‌إلى ‌النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله أدع الله أن يدخلني الجنة. فقال يا أم فلان! انّ الجنة لا تدخلها عجوز. قال: فولت تبكي فقال: أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول: إِنَّا أَنْشَأْناهُنَّ إِنْشاءً فَجَعَلْناهُنَّ أَبْكاراً عُرُباً أَتْراباً

Maksudnya: Seorang wanita tua datang kepada Nabi s.a.w maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah SAW bersabda, wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah SWT berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya 
(Surah al-Waqiah: 35-37). 
(Rujuk Syamail Muhammadiyyah h.144)

Oleh itu, dapat difahami bahawa bergurau atau bercanda adalah dibolehkan asalkan tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.

Melampau Dalam Gurauan

Istilah melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang mana Allah s.w.t melarang perbuatan merendah-rendahkan orang lain, menyebarkan aib orang lain, memanggil orang lain dengan panggilan buruk dan lain-lain. Firman Allah s.w.t:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرًا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءً مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرًا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah al-Hujurat (11)

Selain itu, kami juga ingin menukilkan beberapa hadis berkaitan melampau dalam gurauan sehingga membuatkan orang lain terperanjat atau terkejut kerana ianya adalah salah satu bentuk kezaliman pada orang lain. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ، مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya: Daripada Abdurrahaman Bin Abu Laila, beliau berkata, para sahabat Nabi Muhammad s.a.w bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim membuat saudara muslimnya terkejut.

Sunan Abi Daud (5004)

Ibn Raslan menerangkan bahawa perbuatan memeranjatkan orang tersebut adalah salah satu bentuk kezaliman pada mangsa.

وفي معنى هذا النهي كل من روع مسلمًا أو خوفه، كأن يكون في ظلمة أو غفلة

Maksudnya: Dan pada makna larangan ini setiap perbuatan membuat orang islam terkejut atau takut adalah suatu kezaliman dan kelalaian. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud 164-165/19)

Terdapat juga bentuk gurauan yang mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut. Kebiasaannya pemilik barang akan rasa risau dan sedih apabila barangannya hilang. Rasulullah s.a.w bersabda:

لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا

Maksudnya: Tidak boleh sama sekali kamu mengambil barang salah seorang daripada saudara kamu kerana gurauan atau serius.

Sunan Abi Daud (5003)

Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abbad menerangkan bahawa larangan terhadap perbuatan tersebut adalah kerana ianya akan membuatkan seseorang rasa risau dan sedih.

أن ذلك منهي عنه إذا ترتب عليه فزع الإنسان أو ذعر الإنسان أو حزن الإنسان

Maksudnya: Perkara tersebut dilarang sekiranya menyebabkan unsur menakut-nakutkan atau merisaukan orang atau membuatkannya sedih. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud lil ‘Abbad No.568)

Tambahan lagi, kadang-kala prank atau gurauan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang menjadi mangsa prank tersebut. Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin turut meriwayatkan satu hadis lain yang menyatakan perbuatan tersebut dibenci oleh Allah s.w.t.

وَقَالَ صلى الله عليه وسلم إن الله يكره أذى المؤمنين

Maksudnya: Dan Rasulullah bersabda, sesungguhnya Allah s.w.t membenci orang yang menyakiti orang-orang beriman. (Rujuk Ihya’ Ulumuddin 195/2)

Daripada perbincangan tersebut, kami ringkaskan bahawa unsur-unsur melampau dalam gurauan atau prank adalah seperti berikut.

1. Berbohong

2. Menakut-nakutkan atau Membuatkan Orang Rasa Risau

3. Menyebarkan aib

4. Mendatangkan kecederaan dan Menyakiti mangsa

Kesimpulan

Hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.

Oleh kerana itu, dinasihatkan agar mengelakkan dari menghasilkan video-video atau ‘content’ prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum. Sebaiknya, video-video atau ‘content’ sedemikian perlu digantikan dengan video-video lain yang boleh memberi manfaat pada penonton serta dapat memberikan pengajaran.

Wallahualam

Bibliografi

Al-Ghazali. Ihya’ Ulumuddin. Terbitan Dar al-Ma’rifah: Beirut


Syamail Muhammadiyyah. Terbitan Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiyy: Beirut

Ibn Raslan. 2016. Syarh Sunan Abi Daud. Terbitan Dar al-Falah

C&P: 18/5/2021 @ 7 SYAWAL 1442H: 3.38 PAGI

No comments: