Sunday 16 May 2021

SYEIKH IDRIS AL MARBAWI.


OLEH : KHAIRI KAMIL > MALAYSIAKU DULU DULU OFFICIAL

Kampung asal saya Kampung Lubok Merbau ,Kuala Kangsar Perak ,walaupun tidak berapa dikenali ramai ,namun disinilah berasalnya seorang ulama terkenal Nusantara bernama Sheikh Idris Al Marbawi yang juga merupakan tokoh Maal Hijrah yang pertama .
Syeikh Idris al-Marbawi merupakan seorang ilmuan yang masyhur di Nusantara, Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, tafsir, hadith dan fiqh. Ketokohan beliau dalam peradaban dan ketamadunan Islam Nusantara terserlah melalui sumbangan beliau sebagai tokoh penyusun kamus Arab-Melayu di Asia Tenggara. Beliau berperanan penting dalam membentuk pemikiran umat Islam di Nusantara melalui penghasilan sebuah kamus dwibahasa Arab-Melayu iaitu Kamus al-Marbawi yang menjadi sumber rujukan penting untuk memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa sumber bagi al-Qur’an, al-hadith dan ilmu-ilmu Islam lainnya .
Kamus al-Marbawi diperakui mempunyai kesan menyeluruh kepada perkembangan Islam di Nusantara melalui penyediaan kosakata yang berperanan penting dalam perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Buktinya, ia telah digunakan secara meluas di pondok-pondok, madrasah, pesantren, sekolah agama malahan sebagai sumber rujukan di perpustakaan-perpustakaan institusi pengajian tinggi dulu sehingga kini.
Sheikh Idris Al Marbawi atau nama penuhnya Muhammad Idris bin Haji Abdul Rauf bin Jaafar bin Idris dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 / 1892 disebuah perkampungan Al Masfalah , Makkah Al Mukarramah . Nama al-Marbawi adalah gelaran yang diambil sempena nama kampung beliau iaitu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Beliau merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam kalangan ulama Melayu-Malaysia. Beliau berperanan penting dalam membentuk minda umat Islam di Nusantara melalui penghasilan karya-karya beliau .
Pada waktu kelahirannya, kedua-dua ibu bapa beliau berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah haji serta menuntut ilmu di sana . Bapa beliau Haji Abd al-Rauf bin Ja’far, berasal dari Minangkabau. Ibu beliau pula ialah Asma’ bt Haji Abdul Karim, berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak .
Sheikh Idris Al Marbawi tinggal dan besar di Makkah sampai tahun 1902 sehinggalah beliau berumur sepuluh tahun .
Syaikh Al Marbawi memperoleh pelajaran dan pendidikan agama sejak awal daripada keluarganya yang senantiasa memberi perhatian terhadap pelajarannya dan memberikan perhatian yang cukup bagi memastikan kejayaannya dalam bidang pendidikan. Jika diselusuri , proses pendidikan dan perkembangan ilmu Syaikh Idris Marbawi melalui tiga peringkat iaitu peringkat pengajian di Makkah, pengajian di Tanah Melayu dan pengajian di Mesir.
Pendidikan awal Syaikh al-Marbawi bermula di Makkah yang merupakan pusat perkembangan dan penataran ilmu pada waktu itu. Dalam usia empat tahun beliau sudah mampu menghafal al-Qur’an. Dua tahun kemudian, beliau di hantar ke sekolah Masfalah di kota Makkah yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Di sekolah tersebut beliau memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam menghafal al-Qur’an.
Potensi beliau sebagai seorang bakal ulama terserlah dan terpancar melalui kekuatan ingatan beliau sehingga berjaya menghafal enam belas (16) Juz al-Qur’an ketika umurnya sepuluh tahun .
Keilmuan beliau banyak dicorakkan oleh suasana kehidupan beliau yang mementingkan ilmu semenjak kecil. Usia muda beliau telah digunakan sepenuhnya dalam suasana keilmuan khususnya bagi mendalami pembelajaran al-Qur’an, mempelajari ilmu berkaitan bahasa Arab yang dikenali sebagai ilmu alat seperti nahw, sarf dan balaghahserta ilmu tradisi Islam yang lain seperti usuluddin, fiqh, hadith, tafsirdan tasawuf.
Beliau dipercayai memperoleh pendidikan asas dari bapanya sendiri dan berkemungkinan besar menerima pendidikan dari beberapa ulama besar yang menetap di Makkah seperti Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan (1837- 1912), Syeikh Nik Mat Kecik Fatani (1844- 1915), Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani (1856- 1908) dan Syeikh Wan Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi (1860-1916) .
Bagaimanapun semasa Sheikh Idris berumur sepuluh tahun pada tahun 1902 ,kedua ibu bapanya telah kembali ke Malaysia bersama sama dengan Sheikh Idris Al Marbawi dan menetap dikampung asalnya Kg .Lubuk Merbau Kuala Kangsar, Perak .
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Kesungguhan Sheikh Idris Al Marbawi didalam menuntut ilmu telah digambarkan olehnya didalam satu catitan perjalanannya untuk menuntut ilmu dengan Tok Kenali diKelantan .
Sheikh Idris Al Marbawi ada mencatitkan pengalamannya sewaktu pulang dari menuntut ilmu . Katanya :
"...berjalan kaki dari Kelantan kekampungku selama dua puluh tiga hari dengan bertiga orang ..dengan menempuh hutan dan rimba siang dan malam lamanya ..telah dua hari mendapat kelaparan kerana putus bekalan beras .Dan jalan yang ditempuh itu adalah lorong gajah liar dan lorong perjalanan orang Patani ke Hulu Sungai Perak ditempat bernama Kandang dan ke Baling , Kedah ".
Kesungguhan yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Sheikh telah menyebabkan ayahandanya menyarankan kepada beliau agar kembali menyambung pengajian di Tanah Arab.
Bagaimanapun pada tahun 1920, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya iaitu Khadijah Mohd Idham.
Pada tahun 1924, Sheikh Idris kembali menjejakkan kaki ke Tanah Arab tetapi kali ini di Mesir. Di Mesir, ia menyambung pengajian di Universiti al Azhar dan berpeluang menimba ilmu kepada ulama-ulama
hebat
disana seperti Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi yang merupakan Shaykhul Azhar pada ketika itu dan Shaykh Abu al-Fadl al-Gizawi.
Beliau merupakan anak Melayu pertama kelahiran Perak yang melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir. Semasa di Universiti al-Azhar, beliau memberi penumpuan penuh dalam mendalami ilmu tawhid, hadith dan tafsir .
Antara guru beliau yang terkenal dalam bidang hadith ialah Syeikh Muhammad Ibrahim yang merupakan seorang sarjana di Universiti al-Azhar serta tenaga pengajar penting di Jami‘ al-Husayn, Kaherah .Setelah beberapa tahun di sana, beliau berjaya mendapatkan ijazah ‘aliyah (tertinggi) yang setaraf dengan ijazah sarjana muda sekarang di dalam bidang Shari‘ah Islamiyyah .
Dapatlah disimpulkan bahawa kegigihan dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu merupakan elemen penting dalam pembangunan keintelektualan beliau.
Setelah tamat pengajian di Mesir, beliau tidak terus pulang ke tanah air, tetapi terus menetap di Mesir. Suasana keilmuan di Mesir berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang ilmuwan. Beliau meneruskan aktiviti penulisan ilmiah di Mesir kira-kira 55 tahun.
Ketika berada di Mesir, Sheikh Idris mendapati ramai pelajar Melayu lemah dalam Bahasa Arab. Bermula dari sinilah timbul idea untuk beliau menyusun sebuah kamus Arab-Melayu bersama lima orang sahabatnya, antaranya ialah seperti Sheikh Junid Thala dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Bagaimanapun, Sheikh Idris akhirnya melakukan kerja menyusun kamus itu bersendirian apabila sahabat-sahabatnya tidak dapat turut serta sehingga akhir tugasan.
Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal dengan nama 'Kamus al-Marbawi' itu berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan khususnya di kalangan pelajar Asia Tenggara. Menariknya, kamus tersebut menjadi pemangkin kemunculan berpuluh-puluh kamus yang menggunakan samada bahasa pengantar Arab-Indonesia ataupun Arab-Melayu.
Kamus yang disusun oleh Sheikh itu mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak buat kali pertama oleh Matba'ah Mustafa al-Babiy al-Halaby Wa Awladihi di Mesir. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi dicetak kerana wujud permintaan dari kalangan pembaca. Di Malaysia, kamus ini diterbitkan oleh Darul Nu’man dan Darulfikir. Walaupun memberi perhatian kepada penghasilan kamus sepenuh masa, Sheikh Idris tetap berjaya menyelesaikan pengajiannya dan memperoleh ijazah 'Aliyah (tertinggi) dari universiti berkenaan.
Selain dari Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau ,Sheikh Idris juga telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang tafsir dan hadith. Dalam bidang tafsir, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna. Manakala dalam bidang hadith, Sheikh telah menghasilkan dua buah kitab iaitu Bahr al-Mazi dan terjemahan Bulugh al-Maram. Kitab Bahr al-Mazi adalah merupakan ringkasan dan ulasan kepada kitab hadith Sunan al-Tirmizi. Walaupun ia merupakan ringkasan kepada Sunan al-Tirmizi namun karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya yang terdiri dari 22 jilid ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fiqh, aqidah, tasawwuf dan muamalat .
Ketika berada di Mesir, beliau berkahwin untuk kali kedua dengan seorang wanita Arab iaitu Munirah bt Abd Wahhab. Beliau mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Manakala, beliau tidak dikurniakan zuriat hasil perkahwinan beliau dengan isteri keduanya, Munirah .
Sheikh Idris Al-Marbawi merupakan seorang tokoh yang mempunyai keazaman yang tinggi dalam kehidupannya. Berkat kesungguhan dan tekadnya, beliau mampu menguasai ilmu yang dipelajari sekaligus memanfaatkannya untuk kepentingan ummah melalui hasil penulisan dalam pelbagai bidang.
Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang perkamusan di Nusantara iaitu Kamus al-Marbawi yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan beliau dan para penuntut ilmu di Timur Tengah dalam usaha memahami kuliah dan pengajian, bahan rujukan serta komunikasi yang berasaskan bahasa Arab. Penyusunan kamus ini membuktikan kecekalan dan kegigihan beliau dalam memajukan pendidikan ummah sejagat .
Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan serta diatas ketinggian intelektual beliau , Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980.
Manakala pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.
Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.
Sheikh Idris Al-Marbawi adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Sheikh Idris Al Marbawi mempunyai lapan orang adik-beradik dan beliau merupakan anak sulung. Adik-beradik lelaki beliau dari ibu yang sama ialah Haji Abdullah, Haji Tahir, Haji Harun, Haji Abdul Kadir dan Haji Hasan. Manakala dua orang adik beradik perempuan beliau berlainan ibu ialah Hajah Khadijah dan Hajah Hafsah .
Manakala ibunya Asma' bt Hj Abd.Karim mempunyai empat lagi saudaranya yang terdiri dari dua lelaki dan dua lagi perempuan .Antara adik beradik Asma' bt Hj Abd Karim adalah Hj Othman (Datok saya ) dan Hj.Mohd Daie .
Pada tahun 1985 ,beliau telah datang mengunjungi Al Marhum ayahnda saya dikediaman kami di Kampung Lubuk Merbau , Kuala Kangsar .Hendak dijadikan rezeki , pada masa kunjungannya itu saya secara kebetulan sedang bercuti dikampung dan saya telah mengambil peluang untuk bertanya khabar dengan ulamak terhebat di Nusantara
Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak.
Jenazah Al Marhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir .
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali dengan nama Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga turut diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dan juga telah diabadikan kepada sebuah Masjid di Kampung asal kelahirannya .

C&P: 16/5/2021 @ 5 SYAWAL 1442H: 11.04 PM

No comments: