Monday, 12 April 2021

PENDAKWAH MALAYSIA USUL CARA MUDAH DIRIKAN SOLAT TARAWIH DI RUMAH


KUALA LUMPUR: Malam Ramadan yang lazimnya meriah dengan aktiviti solat tarawih secara berjemaah di surau dan masjid tidak kira di bandar atau desa, kini sunyi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan normal baru, solat sunat tersebut yang kini digalakkan didirikan di rumah, secara tidak langsung menimbulkan rasa kekok dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang selama ini terbiasa mengerjakan tarawih secara berjemaah.

Menghuraikan kebimbangan mengerjakan solat sunat istimewa itu, personaliti dakwah terkenal, Syamsul Amri Ismail, 43 tahun, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menjelaskan solat tarawih boleh dilakukan walaupun hanya menerusi bacaan Al Fatihah kerana ia merupakan solat sunat dan menjadi amalan Nabi Muhammad SAW.

“Contohnya, andai kata kita solat dan hanya baca Al Fatihah, tak baca surah lain pun sah solat dan walaupun kita mengulangi surah yang sama dalam setiap rakaat, juga tiada masalah.

“Biasanya, jika kita solat di masjid, imam akan baca doa, selawat dan zikir yang panjang-panjang selepas salam tetapi sebenarnya kalau kita tak buat, pun tidak mengapa kerana solat itu sendiri adalah solat sunat dan bukanlah solat wajib,” katanya kepada Bernama.

Katanya lagi, maksud solat tarawih itu sendiri ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat dan adabnya adalah istirahat sesudahnya.

Erti tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas menunaikan solat fardu Isyak. Biasanya, jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup lapan ataupun 20 rakaat,” katanya.

Pada masa yang sama, Syamsul Amri turut menasihatkan setiap ketua keluarga agar mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi mengendalikan solat tarawih di rumah.

“Pertama, kita perlu beri taklimat pada keluarga supaya mereka lebih bersedia kemudian ‘hidupkan’ persekitaran di rumah supaya menjadi tempat solat yang sebenar.

“Kepada bakal imam, banyakkan mengkaji, berazam dan melazimkan untuk menghafaz surah-surah yang mungkin selama ini kita tidak biasa. Namun, sekiranya nak letakkan mashaf (Al-Quran) di depan sebagai rujukan pun boleh tapi letakkanlah secara elok,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, pendakwah, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman berkata solat Tarawih adalah solat sunat yang sangat mudah dilakukan dan rukunnya adalah sama seperti solat lima waktu.

“Jangan risau, tarawih sangat senang, boleh buat dua-dua daripada lapan sampai 100 rakaat, lepas fatihah (bacaan Al Fatihah) kamu boleh baca surah ataupun tak baca surah ataupun baca surah yang sama pun tidak ada masalah. Tiada bacaan yang wajib sebelum dan selepas tarawih.

Kalau lepas Al Fatihah terus rukuk sebab tak hafal surah pun tak apa. Sebarang bacaan sebelum dan selepas tarawih, tak wajib. Jangan gelabah kalau tak hafal. Tarawih tetap sempurna. Kalau lepas selesai dua rakaat, nak sambung solat terus pun tak apa,” kongsinya melalui laman sosial Instagram miliknya.

Solat tarawih, jelasnya, juga boleh dibuat di rumah sama ada secara bersendirian atau berjemaah dan waktunya adalah selepas Isyak sehingga sebelum azan Subuh.

“Suka hati (terpulang) kamu nak buat bila pun dalam jangka masa tersebut. Tarawih boleh dibuat secara duduk walaupun dia sihat dan tarawih juga dianggap sebagai tahajud ataupun qiamulail. Jangan lupa tutup dengan (solat) Witir sama ada satu, tiga atau lima rakaat atau dengan angka ganjil yang korang (kamu) larat,” katanya.

Perkongsian tersebut, jelasnya, bukan bermaksud beliau mengambil mudah mengenai solat berkenaan sebaliknya mahu memberi kefahaman kepada orang ramai.

"Jangan salah faham, Cik Man (Azman) bukan meremehkan tarawih tapi nak bagi faham tentang surah yang tak hafal, sebenarnya tak membatalkan tarawih. Ya Allah, senangnya tarawih," katanya.

Sementara itu, seorang ketua keluarga, Encik Muhammad Luqman Safian Suri, 33 tahun, menyifatkan menjadi imam solat tarawih buat keluarga kecilnya yang terdiri daripada isterinya, Marina Muhammad, 33 tahun, dan dua anak, Nur Athalia Alma,8 tahun, dan Muhammad Aryan Mubin, 5 tahun, adalah sebagai satu pengalaman baharu yang tidak boleh dilupakan.

“Asalnya, saya akui sedikit gemuruh. Biasanya, kami sekeluarga akan berjemaah di masjid sepanjang Ramadan, tapi tahun ini nampaknya kami perlu melakukannya sendiri kerana masjid ditutup. Kami seboleh-bolehnya ingin melakukannya kerana mahu rasa kemeriahan Ramadan itu sendiri. Bagi kami, ibarat tidak lengkap Ramadan jika tiada solat Tarawih walaupun hanya melakukannya sekadar termampu,” katanya.

Berkongsi pengalaman, penjawat awam itu memberitahu beliau sekeluarga menunaikan solat tarawih lapan rakaat dan ditutup dengan solat Witir tiga rakaat.

“Bacaan dan doa juga hanya yang ringkas mengikut kemampuan. Sebenarnya, ia memang mudah dan cepat kalau buat di rumah. Anak-anak pun terkawal. Alhamdulillah, sesuai untuk kami yang ada anak kecil,” katanya.

- BERNAMA/NA/na
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/ramadansyawal2020/pendakwah-m-sia-usul-cara-mudah-dirikan-solat-tarawih-di-rumah/4440434.html

Copy and paste: 12/4/2021 @ 1 Ramadhan 1442H: 11.35 pm

No comments: