Thursday, 15 April 2021

Mus’ab bin ‘Umair - Duta pertama Islam

SUMBRE : FB SEJARAH & LAGENDA

Mus’ab di lahirkan didalam keluarga yang kaya raya dan kehidupan zaman remajanya dipenuhi dengan kemewahan. Ia juga sangat disayangi dan dimanjakan oleh ibunya. Ibu Mus’ab bernama Khunaas binti Malik yang terkenal dengan sikapnya yang sangat garang dan teguh pegangannya dengan agama menyembah berhala.
Semasa Islam baru mula berkembang dan seluruh tanah Arah gempar dengan agama yang dianggap baru ini, Muas’ab juga mendengar dengan penih minat. Hatinya terus tertarik dengan agama Islam dan dengan diam-diam pada suatu malam mengunjungi Al-Arqam di mana Nabi mengajar.
Tiba di rumah Al-Arqam dia di jemput masuk dan dipersilakan duduk, namun sebelum sempat duduk, Nabi ketika itu membaca ayat-ayat dari Al-Quran, Mus’ab terpaku. Masih berdiri, hatinya hancur luluh mendengar keindahan ayat suci Al-Quran. Anak muda ini terus memeluk Islam di tangan Rasulullah. Rasulullah meletakkan tangan ke dadanya dan menenangkannya, ketenangan yang dinikmatinya sepanjang hayat.
Selepas memeluk Islam, dia merahsiakannya bukan kerana takutkan sesiapa, hanya takut kepada ibunya yang terlalu menyayanginya. Dia terus mengunjungi rumah Al-Arqam untuk belajar dan beribadat bersama-sama dengan umat Islam yang lain. Namun, bukan mudah untuk menyimpan rahsia di Mekah, kelibatnya mengunjungi Al-Arqam dilihat oleh Uthmaan Ibn Taihah yang kemudiannya memberitahu ibu Mus’ab.
Berdiri di hadapan ibunya yang kelihatan begitu kecewa dengan berita yang menusuk hatinya, Mus’ab mengaku telah memeluk Islam dan menyeru ibunya untuk ikut bersamanya. Ibunya yang tidak dapat menahan kemarahan terus menampar mukanya, tetapi tidak sampai hati untuk terus memukul Mus’ab anak kesayangannya. Ibu Mus’ab merantaikannya di penjuru rumah dengan harapan dia akan berubah dan kembali kepada agama nenek moyang mereka. Selang beberapa hari dia berjaya melepaskan diri dan mengikuti rombongan berhijrah ke Habshah.
Tidak lama di Habshah Mus’ab pulang ke Mekah dan dia terus mengunjungi Nabi yang pada ketika itu dikelilingi oleh para sahabat, masing-masing yang melihat Mus’ab menundukkan muka dan sedih melihat keadaan Mus’ab yang kurus kering dan berpakaian begitu buruk tidak seperti Mus’ab yang mereka kenali sebelum ini. Sebaliknya Rasulullah melihatnya dengan penuh kasih sayang dan berkata “Segala puji bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”
Mus’ab juga mengunjungi ibunya yang merayu kepadanya untuk kembali menyembah berhala, Mus’ab sebaliknya memujuk ibunya untuk memeluk Islam. Ibu Mus’ab cuba merantainya sekali lagi tetapi tidak berjaya, Mus’ab mengancam untuk membunuh sesiapa sahaja yang cuba merapatinya. Ibunya terus menghalaunya keluar, Mus’ab menghampiri ibunya dan memujuknya lagi untuk memeluk Islam. Ibunya semakin marah dan terus menghalaunya keluar dan tidak mengakui dia sebagai anak. Lalu Mus’ab berjalan keluar dengan hati yang penuh dengan kesedihan kerana tidak berjaya menyakinkan ibunya.

Rasulullah kemudiannya melantik Mus’ab sebagai utusan untuk ke Yathrib (Madinah) dan juga mengembangkan ajaran Islam di sana. Bersama Mus’ab ramai lagi umat Islam yang lebih tua dan berpengalaman, namun dia di pilih memikul tugas yang begitu besar. Dengan latar belakang dan didikannya dalam keluarga bangsawan dan di tambah dengan sikap semulajadi Mus’ab yang lemah lembut, dia berjaya dalam tugas yang diamanahkan oleh Rasulullah. Hanya beberapa bulan sahaja Mus’ab membawa pulang 70 warga Madinah yang telah memeluk Islam ke Mekah untuk berjumpa dengan Rasulullah.
Tugasnya sebagai utusan bukanlah tanpa cabaran, ia hampir terbunuh ketika sedang berdakwah di Yathrib. Usaid Ibn Hudair ketua puak ‘Abd Al-Ashhal mengacukan panahnya ke dada Mus’ab kerana marah dengannya “Untuk apa kamu disini? Merosakkan agama nenek moyang kami? Berambus kamu dari sini jika kamu mahu selamat!” Mus’ab begitu tenang berkata kepada Usaid, “Bagaimana kiranya kalau anda duduk dan mendengar apa yang hendak aku sampaikan? Jika engkau redha dengan apa yang aku ucapkan, maka terimalah. Seandainya engkau membencinya, maka aku akan pergi”. Usaid terdiam melihat Mus’ab yang langsung tidak takut mati, dan ketenangan di wajahnya, apatah lagi dia tidak di paksa, pilihan di tangannya samaada mahu mendengr atau tidak. Usaid menjawab, “baiklah, itu adil,” langsung dia juga duduk bersama hadirin yang lain mendengar ceramah Mus’ab.
Sebaik sahaja Mus’ab selesai dengan ceramahnya, Usaid bangun dan bercakap kepada Mus’ab dan semua hadirin “Sungguh indah bacaan-bacaan dan ceramah ini, dan sesungguhnya ia adalah benar, bagaimana harus seseorang mahu mengikuti agama ini?” Usaid yang pada awalnya datang untuk membunuh Mus’ab akhirnya memeluk Islam di tangan Mus’ab. Terpengaruh dengan Usaid memeluk Islam makin ramai penduduk sekitar Madinah datang berjumpa Mus’ab untuk mencari cahaya kebenaran. Pada mereka, jika Usaid yang terkenal keras hati dan gagah menentang Islam boleh menjadi lembut dengan keimanannya pada Islam, apa yang harus di tunggu lagi, ini adalah agama yang benar yang harus di anuti.
Di waktu perang Uhud ketika puak Quraish mula menyerang Nabi, Mus’ab melaungkan Allah hu Akbar dan bagaikan singa menerkam dan membunuh tentera Quraish disekelilingnya untuk menarik perhatian mereka supaya tidak menuju ke arah Nabi. Dia berjuang bersendirian dikelilingi oleh musuh Islam, sebelah tangannya memegang pedang dan sebelah lagi memegang bendera Islam, hatinya hanya risaukan keselamatan Rasulullah. Makin ramai tentera Quraih menghampirinya, ramai yang dibunuhnya.
Kemudiannya datanglah wira Quraish yang bernama Ibn Quhamah, dia menghampiri Mus’ab dan menetak tangan kanannya hingga putus, kata Mus’ab “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.” (Ali Imran: 144). Darah mengalir laju di sebelang tangan kanannya yang putus, Mus’ab yang kini makin lemah bersandar pada tiang bendera yang di pegang di sebelah tangah kirinya, dan dia masih mengucapkan ayat-ayat Quran tadi. Ibn Quhamah semakin marah lalu ditetaknya lengan kiri Mus’ab hingga putus, Mus’ab memegang bendera dengan kedua-dua tanganya yang telah kudung, dan masih mengucapkan ayat-ayat Quran; “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul.” ( Ali Imran: 144). Ibn Quhamah yang terlalu marah menikam Mus’ab dengan tombak, gugur Mus’ab syahid mempertahankan Islam dan Rasul yang dikasihinya, Hingga ke saat-saat akhir hayatnya dia masih sedih kerana risau selepas kematiannya tentera Quraish akan menyerang dan membunuh Rasulullah.
Ketika peperangan Uhud telah tamat, maka Rasulullah SAW bersama para sahabat datang meninjau medan pertempuran untuk menyampaikan perpisahan kepada para syuhada’. Ketika sampai ditempat terbaringnya jasad Mus’ab, bercucuranlah dengan deras air matanya.
Di saat-saat pengkebumiannya, Musab hanya ada sehelai kain sebagai penutup jasad. Itu pun kain itu terlalu kecil. Jika ditarik untuk menutup kepalanya, kakinya akan terdedah. Kalau ditarik menutup kakinya pula, kepalanya akan terdedah. Rasulullah menyuruh para sahabat menutup kepala Musab dengan kain tersebut sementara bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun azkhar.Begitulah sedihnya riwayat seorang pemuda yang dibesarkan dalam kehidupan serba mewah tetapi matinya dalam keadaan yang amat dhaif. Jika dulu dia ada pakaian yang berharga beratus dirham, tapi kini mayatnya ditutup dengan sehelai kain kecil sahaja. Sesungguhnya Musab telah berjaya.
Disunting dari buku: Men around the Prophet

Copy and paste: 15/4/2021 @ 3 Ramadhan 1442H: 8.16 am

No comments: