Saturday, 24 April 2021

Keterampilan & Keupayaan Melayu Zaman Empayar Melaka

OLEH: SRIKANDI

Pada zaman empayar, di pelabuhan Kota Melaka itu sendiri, Syahbandar dan para pegawainya menguruskan tidak kurang 2000 buah kapal setiap hari. Pelabuhan yang diuruskan oleh anak-anak Melayu tempatan ini menjadi salah satu di antara 3 pelabuhan paling sibuk dalam dunia ketika itu.
Berkargo-kargo gandum, buah pala, cengkeh, cendana, teh, porselin dan sutera melintasi Kota Melaka dalam perjalanan ke Eropah yang memerlukan rempah-ratus. Dari kepulauan Nusantara di sebelah selatan muncul kapur barus, sarang burung, lada, kasturi, emas dan gading. Dan dari Barat, yang kebanyakannya dibawa oleh pedagang dari Asia Selatan dan Timur Tengah, datanglah kapas, senjata, kemenyan, candu, pewarna, perak dan ubat-ubatan, serta sekumpulan orang Portugis yang suka bertualang.
Ia adalah tempat di mana orang-orang Gujarat, orang-orang Tamil dan orang-orang Bengali dari India tinggal dan berdagang secara harmoni dengan orang-orang Melayu, Cina dan Arab. Ianya adalah sebuah kota yang berpenduduk 100,000 jiwa di mana 84 bahasa dapat didengar di pasar-pasar para sultan Melayu, pemerintah Melaka yang memastikan selat itu bebas dari kegiatan lanun.
Barang-barang dapat disimpan dengan selamat di ratusan gudang yang dijaga dengan baik, dan sekiranya berlaku perselisihan, undang-undang kota itu diberikan dengan adil kepada orang-orang Melaka dan orang asing.
Apa yang dinyatakan di atas adalah penegasan yang dicatatkan oleh Simon Elegant yang menulis dalam Far Eastern Economic Review pada 10 Jun, 1999, berdasarkan Suma Oriental of Tome Pires. Bagi catatan Portugis tentang keagungan kota pelabuhan Melaka itu bolehlah diambil sebagai fakta sejarah kerana pencerobohan Portugis ke atas Kota Melaka adalah ketika kota dan pelabuhan Melaka di tahap stabil dan maju.
Jika dihayati dengan mendalam, nampaknya kehebatan orang Melayu ketika itu ialah ibarat orang putih, Yahudi atau Cina pada hari ini yang kini sebahagian anak-anak Melayu terkagum-kagum bagaimana mereka semua ini pandai berniaga dan mencipta kekayaan.
Orang Melayu pada zaman empayar itu seolah-olah 'Melayu yang lain' - sejenis Melayu yang luar biasa ilmunya mengenai perdagangan dan pengurusan perniagaan. Melayu yang global. Melayu yang mengantarabangsa, mendunia.
Adakah Melayu pada zaman itu memiliki 2 otak, 3 mata, 3 tangan dan 10 kaki? Tidak, Melayu pada zaman itu sama seperti Melayu pada hari ini - mereka memiliki 2 biji mata, 2 lubang hidung, satu mulut, sepasang tangan dan kaki.
Namun apakah yang membezakan Melayu zaman empayar dengan Melayu pasca merdeka dari penjajahan Eropah?
Bezanya ialah KESAN PENJAJAHAN itu sendiri. Apa yang kalian baca tentang diri kalian dari kacamata para penjajah, orang asing dan orang luar itu yang nanti akan membentuk sikap, peribadi dan kepercayaan kalian terhadap keupayaan diri kalian SECARA BERANSUR-ANSUR secara MINDA BAWAH SEDAR.
2 dekad kemerdekaan adalah masa yang amat singkat untuk perubahan. Orang Melayu perlukan masa untuk membangun peradabannya. Namun, jika para ahli politik Melayu dan raja-raja Melayu campurtangan dengan lebih aktif dalam membangunkan peradaban Melayu, ia akan mempercepatkan lagi pembudayaan kemajuan itu sendiri.
Namun, jika politikus Melayu nafsi-nafsi sambil bertuankan para tauke, para cukong di kala kerabat raja bagai berada di langit ke-7 tidak mempedulikan nasib Melayu yang disaka tulisan para kerani penjajah, maka proses untuk pembudayaan kemajuan zaman empayar menjadi lebih lambat, lebih rumit dan mencapai tahap hampir mustahil.
Apatah lagi diganggu prosesnya oleh orang asing, orang luar atau penjajah baharu yang lebih licik, lebih tamak dan lebih iri hati dengan apa yang ada dalam tangan orang Melayu, yang mana ramai orang Melayu tidak menyedarinya - seperti di masa-masa lalu.
~Srikandi
For Justice in History
C&P: 24 APRIL 2021 @ 12 RAMADAN 1442H: 7.52 AM

No comments: