Wednesday, 4 December 2019

OPS MAI PULAI 2011

Dari FB Borneo Oracle
- “Pulai Menoa” 21 Penjejak Iban dan Sarawak Rangers dari Malaya dan Singapura
ANDAI ada anak Sarawak yang berkata bahawa apa yang berlaku di Malaya sekarang tidak melibatkan Sarawak adalah sesuatu yang amat kita kesali kerana walau tiada darah yang mengalir di dalam tubuh badan seorang anak Sarawak itu sekalipun satu sejarah yang berkaitan dengan perjuangan komunis di bumi Malaya turut pernah melibatkan anak Sarawak.
Mungkin sudah hidup di dalam aman yang nyaman, segalanya serba serbi ada sehingga kita lupa daratan malah terus lupa ingatan mengenai satu ceritera sejarah mengenai sebahagian anak Sarawak yang menabur keringat dan bakti mereka ketika darurat komunis berlangsung di Malaya iaitu jauh sebelum Negara Malaysia ditubuhkan iaitu pada tahun 1948.
Ya, disinilah pasukan yang gagah terdiri dari anak Sarawak yang amat dibanggakan oleh Pesuruhjaya British Malaya iaitu Sir Gerald Templer yang menggelar pasukan Penjejak Iban dan Sarawak Rangers sebagai “Pasukan Terbaik Di Dunia”. Dan kata pujian yang sama turut pernah dipertuturkan oleh Presiden Sukarno iaitu presiden Indonesia ketika zaman Konfrontasi Indonesia/Malaysia (1962-1965) di dalam ucapannya iaitu ”Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Ramai yang bercerai dari badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia”.
Penglibatan anak Sarawak mula berjuang di medan peperangan di Malaya bermula pada tahun 1948 iaitu ketika zaman Darurat Komunis Malaya yang mana menyaksikan keringat mereka dituntut oleh Koloni British pada masa itu. Dengan Sarawak dibawa jajahan Koloni Mahkota Sarawak British maka pemerintah pada masa itu bersetuju untuk menghantar 49 penjejak Iban ke Malaya bagi membantu memerangi komunis yang berleluasa pada waktu itu.
Kepakaran 49 orang anak-anak Iban ini bukanlah hanya sembrono dipilih sebaliknya sudah membuktikan bahawa mereka yang terbaik daripada seluruh rumah-rumah panjang kaum Iban di Sarawak itu. Jika diikutkan di dalam perjanjian yang pertama, kesemua mereka hanya berkhidmat selama tiga bulan sahaja di Malaya dan usai tempoh perkhidmatan mereka tamat, dari 49 orang ada 24 orang yang memilih untuk terus berbakti di Malaya.
Tatkala itulah 24 orang penjejak Iban yang tinggal di Malaya telah diserapkan ke Pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh pasukan tentera Gurkha dan tentera Force 136. Dari 24 orang pada mulanya akhirnya ramai anak-anak Iban terus mendatangi Malaya dan berkhidmat sebagai pertahanan paling hadapan di medan peperangan. Dicatatkan sehingga tahun 1952 ada lebih 1,168 penjejak Iban yang berkhidmat sebagai Penjejak Iban Sarawak di bumi Malaya.
Jika diikutkan sebagai barisan pertahanan paling hadapan sepatutnya ramai penjejak iban yang mungkin terkorban atau tercedera sewaktu bertembung dengan komunis dari tahun 1948 namun begitu mungkin ramai tidak mengetahui bahawasanya hanya pada tahun 1951 barulah ada seorang penjejak Iban yang terkorban di Malaya iaitu yang bernama Jaweng Anak Jugah, anak Iban kelahiran Kapit, Sarawak. Dan Mendiang Jaweng bukanlah terkorban ditembak musuh sebaliknya kerana tertembak secara tidak sengaja sebab disangkakan salah seorang musuh ketika serang hendap komunis berlaku.
Mengikut sejarah, penjejak Iban hanyalah pasukan separa tentera sahaja tetapi atas nama menjaga kebajikan mereka dari segi hak dan status, Kerajaan Koloni British di Malaya, Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British dan pemimpin kaum Iban di Sarawak telah mengambil kata sepakat untuk mengiktiraf penjejak Iban sebagai unit tentera. Tanggal 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu telah ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama adalah Leftenan Kolonel C.J Baird.
Kemudian pada tanggal 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak, Borneo telah ditubuhkan secara rasminya di bumi Sarawak oleh Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British dengan pegawai pemerintahnya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban bernama Leftenan Tomlow Anak Isa. Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada kaum bumiputera Sarawak amnya dan kaum Iban khususnya di dalam rentatan perjuangan anak Sarawak mempertahankan ibu pertiwi kita memandangkan ketika itu Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan British.
Ini hanya satu sejarah ringkas mengenai keberadaan penjejak Iban dan Sarawak Rangers di bumi Malaya dan berbalik kepada satu sejarah yang begitu mencengkam jiwa malah meninggalkan luka yang amat dalam adalah mengenai kepulangan “jasad tanpa nyawa” para penjejak Iban yang terkorban dibunuh komunis sewaktu zaman darurat komunis berlangsung di Malaya.
Bayangkan setelah berpuluh-puluh tahun jasad dikuburkan jauh dari keluarga, dibiar sepi tanpa ada yang menjenguk pusara kerana difahamkan keluarga di Sarawak tidak mengetahui dimanakah pusara mereka berada dan atas inisiatif seorang anak Iban kelahiran Kampung Lachau Dua, Simanggang iaitu Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah @ Robert Madang Langi yang juga seorang pesara tentera yang dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Kerajaan Malaysia atas kecemerlangannya bertingkah dengan komunis memungkinkan “pulai menoa” 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers ini ke Sarawak pada tahun 2011.
Ops Ngerapuh yang dijelmakan pada tahun 2008 oleh beliau bagi membawa pulang penjejak Iban dan Sarawak Rangers yang mana pusara mereka berselerakkan di bumi Malaya dan Singapura bukanlah mudah. Jika tiada usaha dan tekad yang waja mana mungkin kerja-kerja sesulit ini boleh dilakukan. Namun atas nama bagi memastikan saudara seSarawak “kembali” ke ibu pertiwi memungkinkan beliau menggunakan segala pengalaman dan hubungan di dalam ketenteraannya menjejak pusara-pusara 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers ini sampai dapat.
Lokasi pusara 21 penjejak Iban yang dikenalpasti masih lagi berada di bumi Malaya pada waktu itu adalah seperti berikut:
1. Empat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Batu Gajah;
2. Dua di Tanah Perkuburan Kristian Jalan Kamunting, Taiping;
3. Empat di Tanah Perkuburan Kristian Cheras, Kuala Lumpur;
4. Dua di Tanah Perkuburan Tentera Kranji, Singapura;
5. Lapan di Kem Pertahanan Terendak, Melaka;
6. Satu yang dikuburkan di tepi jalanraya di Alor Setar, Kedah.

DIKUBURKAN DI TEPI JALANRAYA! Ya, itulah kenyataan yang harus kita terima apabila berkata di dalam darurat atau waktu peperangan. Dan dinyatakan pusara penjejak Iban bernama Ungkok Anak Jugam itu telah dialihkan ke tepi jalan KM4 Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah satu dekad yang lalu bagi membenarkan pembinaan lebuhraya pada waktu itu. Hanya pada bulan April tahun yang sama ia berjaya dijejaki oleh Leftenan Kolonel Rizal Robert baharulah pusara Mendiang Ungkuk Anak Jugam dipindahkan ke Tanah Perkuburan Gereja Katolik St. Michael’s di Alor Setar. Bagi memastikan adat kaum Iban dipertahankan, beliau turut mengadakan “upacara miring” dijalankan ketika proses pemindahan pusara Mendiang Ungkuk dilakukan.
Satu kerja yang memakan masa bertahun lamanya yang mana Ops Ngerapuh jika dilihat dari sasarannya adalah untuk membawa pulang kesemua 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers pada tanggal 31 Ogos 2010. Atas sebab-sebab tertentu akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak bersama dengan Kerajaan Malaysia serta penglibatan beberapa agensi pertahanan termasuklah persatuan Veteran Tentera Sarawak dan SEDC akhirnya memungkinkah ianya berlaku dan sejak itulah ianya dikenali sebagai Ops Mai Pulai 2011.
Ops Mai Pulai dilestarikan pada tanggal 26 Julai 2011 apabila rangka-rangka 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers diterbangkan dengan pesawat tentera ke Lapangan Terbang Tentera Udara Kuching. “Kepulangan” mereka disambut oleh ribuan rakyat Sarawak lebih-lebih lagi keluarga 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers yang terlibat dengan linangan airmata dan kesedihan yang amat sangat. Dengan penuh adat-istiadat ketenteraan akhirnya mereka mendapat pengiktirafan yang sewajarnya setelah berbakti kepada negara dengan kesemua mereka dikebumikan semula pada tanggal 27 Julai 2011 di Makam Pahlawan Sarawak di Kuching.
Ingatilah sejarah ini wahai rakyat Malaysia amnya dan anak Sarawak khususnya, jangan kita beralah dengan mainan politik sesetengah pihak yang cuba untuk mengangkat ideologi komunis bertapak kembali di bumi Malaysia. Waima abu sekalipun ianya bukan sekadar abu TETAPI ada rasa sakit dan luka yang paling dalam di dalam sejarah perjuangan anak Sarawak samada di bumi Malaya mahupun di Sarawak sendiri. Jangan cuba mengubah sejarah!
RIP Sarawakian warriors, the brave one!
-HB-

Rujukan:

1.The Star, 23/7/2011 - Reburial for 21 Iban Trackers and Sarawak Rangers
2.Borneo Post, 25/7/2011 - 21 Iban Trackers To “Come Home” Finally
3.An Update Of Ops Ngerapuh
4.Dead Iban Warriors To Go Home
5.Borneo Oracle - Penjejak Iban Dan Sarawak Rangers

Copy and paste: 4/12/2019: 8.01 pm

No comments: