Thursday, 26 December 2019

Kalau roboh kota Melaka


"Kalau roboh kota Melaka,Papan di Jawa saya gantikan"
Begitulah antara petikan pantun lama.
Persoalannya mengapa Jawa? Perlu ke papan di ambil dari Pulau Jawa?
Tiada langsungkah hutan di Semenanjung Tanah Melayu waktu itu untuk dapatkan balak?
Bukankah hutan di Semenanjung Tanah Melayu mengandungi begitu banyak jenis kayu yang bagus-bagus?
Saya sebagai bekas murid aliran Sastera tulen di sekolah ingin membuat sedikit ulasan serta andaian.
Pertama, Kota Melaka serta kawasan penempatan rakyat negeri Melaka di sekelilingnya sangat luas. Oleh itu radius jangkauan untuk sampai ke hutan bertambah jauh. Hutan jauh dari Kota Melaka.
Kedua, kedudukan geografi. Kota Melaka berada di pesisir pantai. Hutan di mana tempat yang mempunyai kayu-kayan berada di pedalaman. Sudahlah mahu mencarinya lagi; belum tentu berada berdekatan terus jumpa, tetapi mungkin perlu merayau jauh terlebih dahulu di dalam hutan banat barulah berjumpa pokok balak yang sesuai diambil kayunya untuk dibuat papan.
Ketiga, pengangkutan. Pengangkutan laut pada waktu itu lebih berkesan berbanding pengangkutan darat. Ditambah pula dengan permukaan bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang serta berhutan tebal menyukarkan pengeluaran kayu balak. Dah siap tebang kena bawak keluar lagi. Bukan kerja senang. Dan bila dah keluar dari hutan, kena angkut lagi bawa ke Kota Melaka yang jauh itu. Walaupun sudah melewati penempatan manusia yang tidak berhutan banat sekalipun, tidaklah mudah mengangkut kayu balak dari hutan di kawasan pedalaman ke kawasan pesisir pantai di mana terletaknya Kota Melaka. Meskipun sudah diproses menjadi papan sekalipun, bukan senang untuk diangkut dalam perjalanan yang jauh.
Keempat. Jumlah atau volum. Pengangkutan yang ada pada waktu itu seperti gajah, kerbau dan kereta lembu sudah pasti tidak dapat membawa banyak jumlah muatan papan bagi membina kota dalam masa yang singkat.
Kelima, pokok jati. Kayu jati merupakan antara kayu yang terbaik di dunia baik dari segi kekerasan, kekuatan, kelenturan dan tahan lama. Salah satu ciri utama kayu jati adalah mengandungi sejenis minyak yang membuatkannya tahan dari serangan anai-anai serta tahan air tidak kiralah air tawar mahupun air laut. Sesuai sekali diguna sebagai asas Kota Melaka yang berada di pesisir pantai yang terdedah kepada air laut.
Keenam, Pulau Jawa adalah pengeluar kayu jati sejak sekian lama hinggalah hari ini. Indonesia merupakan salah satu pengeksport kayu jati dunia. Salah satu keistimewaan pokok jati adalah tumbesarannya yang secara relatifnya lebih cepat berbanding pokok-pokok balak di dalam hutan yang memerlukan saiz boleh tuai dari puluhan tahun hingga ratusan tahun. Sebab itulah pokok jati dijadikan sebagai pokok pertanian. Di Pulau Jawa pada hari ini pokok jati bukan sekadar ditanam di tepi jalan atau pokok hiasan di taman tetapi merupakan komoditi pertanian utama yang sememangnya ditanam oleh para petani khususnya yang mengamalkan gaya pertanian campuran; misalnya pokok jati ditanam di dalam kebun atau ladang pada jarak tertentu dan di celah-celah ruang di antara pokok-pokok tersebut diusahakan tanaman lain seperti sayur-mayur serta tanaman buah-buahan lain.
Ketujuh, iklim. Mengapa tak ditanam sahaja pokok jati di Semenanjung Tanah Melayu pada waktu itu? Pokok jati tidak sesuai ditanam di kawasan beriklim khatulistiwa yang menerima banyak hujan seperti di Semenanjung. Ianya hidup subur di kawasan tropika yang beriklim agak kering dengan taburan hujan yang sedikit. Cuba tengok di kiri-kanan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang ditanam dengan tanaman pokok jati, di bahagian selatan serta tengah Semenanjung pokoknya sangat lambat membesar dan kecil-kecil. Tetapi semakin menuju ke utara seperti Kedah & Perlis pokok-pokok jatinya semakin besar dan subur. Meskipun begitu iklim di kedua negeri tersebut masih tidak 100% sama dengan negara-negara utama pengeluar kayu ini. Dan mengapa pada waktu itu tak ambil sahaja kayu jati dari Kedah, Perlis dan mana-mana negeri Melayu di sekitar Sgenting Kra yang mana pokok jatinya jauh lebih subur? Jawapannya kembali semula kepada point nombor tiga yakni pengangkutan.
Kelapan, kesesuaian iklim dan tanah untuk penanaman pokok jati di sebahagian Pulau Jawa. Di sebahagian pulau Jawa iaitu Jawa Tengah dan Jawa Timur sangat sesuai dengan penanaman pokok jati, khususnya Jawa Timur yang lebih kerap menghadapi kemarau dan lebih panas cuacanya . Malah Jawa mempunyai spesis pokok jatinya sendiri yang berbeza dengan spesis di tanah besar. Ia merupakan pokok jati endemik kepada pulau tersebut dan tidak ada di mana-mana tempat.
Kesembilan, kemahiran pemprosesan kayu untuk dijadikan papan. Hari ini di Jawa, orangnya ramai yang membelah sendiri pohon kayu untuk dibuat papan dengan adanya banyak bengkel atau kilang kayu kecil di kampung-kampung. Setahu saya situasi yang berbeza dengan di Malaysia yang biasanya industri pemprosesan papan hanya dikuasai syarikat besar dan jika dibelah untuk pengeluaran papan skala kecil oleh orang kampung semata-mata menggunakan gergaji berantai. Mungkin pada masa lalu mereka orang Jawa mahir dalam membelah kayu untuk dijadikan papan dalam skala besar. Hal ini disokong dengan peristiwa Betara Majapahit menghantar bingkisan berupa tatal atau reja yang diketam dari kayu dengan sangat nipis dan panjang tanpa putus kepada Sultan Singapura.
####
Kayu tak kuat menahan serangan senjata api seperti terakol, pemuras dan meriam. Mana mungkin Kota Melaka diperbuat daripada kayu.
Setuju! Saya sangat setuju!
Meskipun begitu saya ingin jelaskan beberapa perkara:
Pertama sekali saya bukan pakar senjata api; baik moden mahupun tradisional. Namun saya sangat percaya setiap perkara itu sentiasa berevolusi tidak kiralah apa pun. Contoh mudah adalah teknologi telefon bimbit. Begitulah juga dengan teknologi senjata api.
Kedua, sepengetahuan saya senjata api masih tidak wujud lagi ketika zaman Nabi Adam. Juga masih tidak lagi wujud ketika zaman Nabi Muhammad (SAW) sekitar kurun ke enam dan ke tujuh. Pada zaman kerajaan Melaka pada kurun ke 15 ada penggunaan senjata api dan ketika ini pencetus letupan menggunakan bara dari sumbu. Bukannya sistem picu dengan pelantak dengan ubat bedil yang mudah meletup. Perihal bahan peledak/letupan saya pernah usulkan di pautan ini:
Ketiga, ketika zaman penubuhan, kegemilangan dan kemalapan berlaku sewaktu senjata masih baru lagi dicipta, secara relatifnya. Seterusnya sentiasa berkembang atau berevolusi dengan penambaikan. Selari dengan itu, sistem pertahanan seperti dinding kota juga melalui fasa penambahbaikan contohnya material binaan.
Tinjauan secara kasar di internet mendapati bahan letupan ditemui/dicipta pada kurun ke 11, senjata api berat iaitu meriam mula dicipta pada kurun ke 12 dan senjata api yang lebih ringan mula dicipta pada kurun ke 14. Satu jujukan masa dari kurun 11, 12, 14 hinggalah 15 menunjukkan bahawa tidak terlalu jauh permulaan penemuan bahan peledak serta penciptaan senjata api dengan zaman Melaka. Tambahan lagi, buat permulaannya ia berlaku dengan perlahan, ia tidak berlaku mendadak secara tiba-tiba. Hakikatnya zaman Portugis sebagai kuasa penjajah Barat pertama dan keruntuhan empayar Melaka adalah diperkirakan zaman awal kepesatan perkembangan senjata api serta bahan letupan. Oleh itu, sistem pertahanan pun berkembang seiring untuk beradaptasi atau mungkin lebih sedikit lambat berbanding perkembangan senjata api.
Kesimpulannya saya mengandaikan sistem pertahanan berkembang dari tahan tusukan senjata tajam seperti anak panah dan lembing kepada tahan hentaman berat peluru yang dicetuskan oleh letupan. Sistem pertahanan bukanlah boleh diubah secara serta merta dalam masa yang terdekat untuk beradaptasi dengan serangan. Sebaliknya mengambil masa.
Masa saya mengandaikan Kota Melaka berubah beransur-ansur daripada kayu ke batu. Di mana sistem pertahanan berkembang untuk menghadapi serangan senjata api yang semakin canggih.
####
Kota Melaka Diperbuat Daripada Batu.
Baiklah. Perihal Kota Melaka diperbuat daripada batu itu tidaklah pula saya membantahnya. Disebabkan saya seorang sahaja manusia yang beria-ria menaikkan pasal kayu dalam pembinaan Nusantara (setahu saya, mungkin saya perasan), bukanlah bermaksud saya menafikan bahan binaan berasaskan batu.
Boleh sahaja Kota Melaka dibina daripada batu. Mungkin sahaja diambil batu granit daripada kuari terdekat masa tu. Lagipun Semenanjung Tanah Melayu memang dipenuhi bukit-bukau dan gunung-ganang yang kaya dengan batu granit.
Hakikatnya, binaan batu walaupun ada perkataan batu, tidaklah semestinya diperbuat daripada batu khususnya batu granit. Mungkin boleh jadi menggunakan batu sungai. Atau tidak menggunakan batu langsung, maksudnya batu asli yang wujud secara semula jadi.
Boleh jadi ianya adalah batu buatan, atau mudahnya batu-bata. Bukanlah perkara mustahil malahan lebih logik. Terlampau banyak bahan asas untuk membuat batu-bata serta bahan perekat/motar yang sedia ada wujud secara semulajadi di sekitar Kota & Negeri Melaka. Dan ianya mungkin sangat banyak berikutan sangat ramainya populasi rakyat Melaka. Antaranya:
1)Pasir tak kiralah pasir sungai atau pasir laut. Kedua-dua bahan ini digunakan sebagai campuran batu-bata.
2)Selut, lumpur dan tanah liat yang diperolehi dari muara, sungai, sawah bendang serta kawasan berpaya/berair. Bahan-bahan ini boleh dijadikan bata sama ada sebagai bahan campuran mahupun bahan tunggal (khususnya tanah liat). Selain itu kesemua bahan ini boleh dijadikan perekat/motar.
3)Telur. Tak kiralah telur burung, angsa, itik atau ayam. Semakin ramai rakyat maka semakin banyaklah angsa, ayam dan itik yang dipelihara. Maka semakin banyaklah telur. Telur terutamanya bahagian telur putih boleh digunakan sama ada sebagai bahan buat batu-bata mahupun perekat/motar.
4)Sekam. Semakin ramai rakyat maka semakin banyaklah padi. Maka semakin banyak sekam. Sekam boleh digunakan sebagai bahan asas untuk menguatkan batu-bata mahupun bahan bakar batu-bata untuk mengeraskannya.
5)Karang-karangan dan kerang-kerangan sebagai bahan kapur. Memandangkan Kota Melaka terletak berhampiran dengan pantai, ianya satu rahmat yang cukup besar. Tidak perlu jauh meredah hutan belantara dan bersusah payah memanjat bukit atau gunung kemudian menarahnya untuk mendapatkan kapur daripada batu kapur. Cukup sekadar mengutip sisa batu karang dan kulit kerangan serta kulit siput yang berlambak-lambak untuk mendapatkan kapur. Kesemua bahan-bahan ini dihancurkan sebelum dibakar dalam kebuk pada suhu tertentu untuk mengekstrak kapur tulen. Proses pembuatannya sama seperti membuat kapur sirih. Saya pernah menyelitkan di beberapa kiriman saya sebelum ini perihalnya. Kapur digunakan sama ada sebagai bahan campuran batu-bata atau campuran bahan perekat.
6)Kayu. Kayu sebagai sumber bahan api yang melumpah-ruah untuk menjayakan proses binaan. Contohnya selain mengekstrak kapur, ia juga digunakan untuk membakar batu-bata demi menambahkan kekerasannya.
Kesimpulannya logik sahaja dan mungkin lebih tepat lagi sememangnya Kota Melaka diperbuat daripada batu. Ternyata Kota Melaka diperbuat daripada batu.
Walaupun begitu saya berpendapat mustahil Kota Melaka dibina secara sempurna dalam masa satu hari sahaja. Pastinya pembinaanya mengambil tempoh yang lama. Apatah lagi jika dibuat daripada batu granit pastinya mengambil masa yang lama untuk mengangkutnya sahaja sementelahan pula jika diangkut mengikut jalan darat pada waktu itu. Makanya sebelum batu granit sampai, wajiblah gunakan bahan yang lebih mudah didapati dan dibuat yang sedia ada, seperti kayu, batu sungai dan batu-bata. Ianya jauh lebih baik daripada membiarkan kota lompong terdedah kepada serangan musuh sementara menunggu batu granit sampai.
Lagipun seperti dinyatakan sebelumnya, penggunaan bahan binaan berkolerasi dengan perkembangan senjata api.
Kesimpulan akhir saya adalah sepanjang berdirinya Kota Melaka, ianya menggunakan apa jua bahan binaan untuk mendirikannya selari dengan masa dan keperluan.
Sekadar pendapat peribadi.


Copy and paste from FB 
26/12/2019: 8.02 am

No comments: