Monday 18 November 2019

ROBOHAN KOTA MELAKA: ORANG MELAKA ENGGAN PINDAH

Pada tahun 1805, status Pulau Pinang dinaikkan sebagai presidensi oleh British dengan perancangan untuk memindahkan "perdagangan, harta benda dan populasi paling berharga" ke situ. Syarikat Hindia Timur Inggeris pula memutuskan untuk menarik balik pasukan tenteranya di Melaka, memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang dan memusnahkan kotanya.
Pada bulan Ogos 1807 William Farquhar, Residen British di Melaka, memulakan perobohan itu.

Percubaan pertama memusnahkan kota itu dilakukan secara manual oleh buruh paksa. Selepas beberapa bulan yang mengecewakan (buruh-buruh itu enggan lagi bekerja kerana takut pada setan dan hantu), ia diletupkan dengan serbuk api atau ubat bedil dalam operasi yang menelan belanja lebih daripada suku juta rupee.
Penulis Melaka, Abdullah bin Abdul Kadir (Munshi Abdullah) menggambarkan situasi itu: "Maka setelah keesokan harinya, datanglah Tuan Farquhar berkuda serta memegang murang pada tangannya. Maka disuruhnya orang naik ke atas kota itu menghalaukan orang di seberang itu. Maka orang pun larilah sara-bara. Maka sebentar itu juga lalu dicucuhkannya sumbu itu. Maka setelah itu lalu digertakkannya kudanya. Maka adalah kira-kira sepuluh minit lamanya maka meletuplah ubat bedil itu, seperti bunyi petir. Maka terbongkarlah batu kota itu, sebesar-besar rumah, dan yang ada sebesar gajah, berterbangan ke dalam laut".
Pengangkutan percuma ditawarkan kepada penduduk untuk berpindah ke Pulau Pinang tetapi mereka menolak dan membuat bantahan. Namun, Syarikat Hindia Timur Inggeris tetap berkeras.
Tidak lama kemudian, Thomas Stamford Raffles, penolong setiausaha kepada kerajaan Pulau Pinang, datang ke Melaka. Melaka menarik minat Raffles; beliau melaporkan bahawa pemindahan yang dirancang di London ini tidak mudah dijalankan di Melaka dengan kira-kira 20,000 penduduk kerana kebanyakannya lahir di Melaka dengan sejarah yang panjang. Ia sangat berbeza dari Pulau Pinang, yang selepas kewujudan dua puluh tahun masih menjadi tempat persinggahan dan untuk mendapatkan laba semata-mata. Dalam laporannya Raffles menegaskan bahawa penduduk di situ bertekad untuk kekal di Melaka walau apa pun yang terjadi.
Suara Raffles didengari dan perobohan kota itu dihentikan. Gabenor Jeneral Lord Minto menyifatkannya sebagai 'satu kerosakan yang tidak berguna'. Orang Melaka tetap mendiami Melaka. Tidak banyak tinggalan daripada kota itu kecuali dinding kecil dan gerbang tunggal, iaitu "Landpoort" (Landgate), yang sebelumnya dikenali sebagai "Porta de Santiago" dari Fortaleza.
Sumber:
CM Turnbull (1983), "Melaka Under British Colonial Rule" dalam Sandhu & Wheatley vol. 1, m/s.244-245.

Lim Huck Chin & Fernando Jorge (2006), "Malacca: Voices From the Street", m/s.31.
Copy and paste: 18/11/2019: 2.05 pm

1 comment: