Wednesday 6 November 2019

PENDIGITALAN MANUSKRIP MELAYU


Khazanah persuratan Melayu kini berada di hujung jari anda! Nun di Eropah telah adanya usaha untuk melakukan pendigitalan manuskrip untuk dikongsi bagi tujuan kajian oleh pihak British Library. Ia boleh dilawati di laman sesawang mereka, https://www.bl.uk/manuscripts/About.aspx
Selain koleksi manuskrip Melayu, antara koleksi lain yang telah didigitalkan adalah koleksi Botani di British India, manuskrip Yunani, manuskrip Harley Scientific, manuskrip Hebrew, manuskrip Zaman Pertengahan, manuskrip England dan Perancis (700-1200), manuskrip muzik, manuskrip Parsi, manuskrip ‘Royal Illuminated’, manuskrip Thai dan manuskrip Perang Amerika Syarikat.
Maklumat terperinci yang diberikan adalah seperti tarikh, tajuk, kandungan, bahasa, perincian fizikal, milik dan bibliografi.
British Library mempunyai lebih daripada seratus teks manuskrip dan beberapa ratus pucuk surat dan dokumen yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi (skrip Arab) sejak abad ke-17 hingga ke abad ke -19 serta berasal daripada negara-negara yang kini dikenali dengan nama Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan Selatan Filipina. Koleksi-koleksi tersebut amat kukuh dalam kesusasteraan sejarah dan teks undang-undang. Fasa pertama projek pendigitalan ini bermula 2013 yang merangkumi koleksi manuskrip daripada British History Museum. Manakala fasa kedua bermula 2014 memfokus kepada koleksi pejabat di India.
Apabila carian ‘Melaka’ dilakukan di laman sesawang ini, terdapat 11 manuskrip berkenaan Melaka telah didigitalkan iaitu:
-Undang-undang Melaka, terdiri daripada 3 naskhah, satu bertarikh abad ke-18 hingga awal abad ke-19, 1821 dan yang ketiga bertarikh awal abad ke-19.
- Sejarah Melayu, 2 naskhah iaitu tahun 1873 dan yang kedua bertarikh di antara 1832 ke 1842
- Surat-surat Melayu bertarikh 1810 hingga 1811 kepada Tuan T.S Raffles daripada pemerintah Melayu dan Indonesia yang mendedahkan pencerobohan British di Jawa pada 1811 serta beberapa pucuk surat berbahasa Melayu dari pelbagai sumber;
- Koleksi Hikayat Hang Tuah, bertarikh antara 1828 hingga 1835;
- Hikayat Pelanduk Jinaka dan teks lain dalam bahasa Melayu dan Bugis bertarikh 1805 hingga ke 1808;
- Hikayat Silindung Delima, bertarikh 1808;
-Syair Makrifat dan Syair Dagang bertarikh abad ke-19;
-3 syair dan dan 1 hikayat bertarikh 1906.
Semua manuskrip Melayu ini didigitalkan dengan sokongan daripada William dan Judith Bollinger dengan kerjasama Perpustakaan Negara Singapura.
Makluman terkini tentang projek ini akan sentiasa diwar-warkan di Asian and African Studies blog: https://britishlibrary.typepad.co.uk/asian-and-african/
IMEJ: 1) Ruang dalam British Library. 2) Manuskrip Sejarah Melayu. 
Ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi.
SUMBER MAKLUMAT DAN FOTO: https://www.bl.uk/manuscripts/About.aspx

Copy and paste: 6 November 2019: 12.17 am

No comments: