Saturday, 23 November 2019

BENTUK BAHTERA NABI NUH MENURUT KITAB TAFSIR

Dari FB Belalang Post

Pengkaji Barat menggambarkan bahtera Nabi Nuh berbentuk seakan-akan kotak dengan panjangnya kira-kira 137 meter, 30 meter lebar dan 14 meter tinggi. Namun berlainan pula bentuk bahtera Nabi Nuh dalam kitab-kitab tafsir.
"Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)." (Surah Hud:37)
Allah swt telah perintahkan Nabi Nuh as membina kapal dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun.
Kemudian membina kapal menggunakan kayu pokok tersebut selama 40 tahun. Ada pendapat mengatakan 100 tahun dan ada pendapat 400 tahun.
Adapun bentuk dan keluasan kapal, terdapat banyak riwayat, antaranya;
i. Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta dan tingginya 30 hasta.
ii. Panjangnya 300 hasta, lebarnya 60 hasta dan tingginya tidak disebut.
iii. Panjangnya 1200 hasta, lebarnya 600 hasta dan tingginya tidak disebut.
iv. Panjangnya 400 hasta, lebarnya 30 hasta dan tingginya tidak disebut.
Pendapat yang paling kuat dan ramai adalah yang pertama.
Adapun bentuknya seperti yang diriwayatkan bahawa Jibril as mengajarnya membina kapal dan Allah memerintahkannya untuk menjadikan kepala kapal seperti kepala ayam jantan dan bahagian depannya seperti burung.
Ekornya seperti ekor ayam jantan. Ia mempunyai tiga tingkat. Dipakukan dengan paku besi untuk menguatkan antara kayu-kayu.
Tingkat yang pertama untuk haiwan buas dan binatang yang melata serta singa. Pada tingkat kedua, binatang liar dan burung. Dan tingkat ketiga adalah manusia.
Dikatakan bilangan manusia yang menyertai kapal tersebut;
- 80 orang, separuh lelaki dan separuh perempuan.
- Ada pendapat mengatakan 72 orang dan isteri Nabi Nuh dan anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang, separuh daripadanya lelaki dan yang lain perempuan.
- Ada pendapat 10 orang.
- Ada pendapat mengatakan lain daripada itu.
Adapun mereka terapung semasa banjir selama 150 hari, kemudian mendarat pada 10 Rejab dan kekal dalam kapal selama sebulan dan turun ke bumi pada 10 Muharam. Tempat ia mendarat di atas bukit dikenali sebagai "al-Judi".
Dalam hal ini, Allah swt berfirman dalam Surah Hud, ayat 40 - 42.
40. (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. (Hud 11:40)
41. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata, 'Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya'. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
42. (Mereka semua naik) dan bahtera itu pun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".
Sumber:
1. Kitab al-Durru al-Manthur (8/41-76)
2. Al-Kasyfu wa al-Bayan (5/167-175)
3. Tafsir Ibnu Abi Hatim (6/2025)
4. Tafsir Ibn Kathir (4/320)
5. Tafsir al-Siraj al-Munir (2/63)
6. Tafsir al-Tabari (15/312-340)
7. Adwa’ al-Bayan

-Debu-
Copy and paste: 23.11.2019 : 6.45 pm

No comments: