Friday 22 November 2019

SEJARAH ORANG YAHUDI DI TANAH MELAYU

Dari FB Belalang Post


Siapa sangka Tanah Melayu juga merupakan pusat penempatan orang Yahudi?
Malah ada rangkaian cerita berkenaan Nabi Ibrahim as yang telah berkahwin dengan Keturah dan menurunkan Bani Jawi (menurut kitab kuno Yahudi), kemudian dikenali sebagai "The Lost Tribe" yang dipercayai saudara kandung kepada Ishmael (Nabi Ismail) dan Issac (Nabi Ishak).
Ramai yang tidak tahu bahawa orang Yahudi pernah hidup secara terbuka di Tanah Melayu seperti di Negeri Sembilan, Melaka dan kebanyakannya di Pulau Pinang sehingga akhir tahun 1970an.
Hubungan perdagangan Yahudi dengan Tanah Melayu sudah bermula sejak abad ke-9 lagi dengan penemuan artifak urusniaga mereka di Lembah Bujang, Kedah.
Dengan kemunculan Melaka sebagai pusat perdagangan penting rantau Nusantara, tidak mustahil Melaka kemudian menjadi tumpuan para pedagang terutama orang Yahudi yang memang terkenal dalam penternakan wang, pemonopolian, pemasaran dan urusan pinjam meminjam.
Sumber sejarah mencatatkan, Pulau Pinang merupakan pusat penempatan orang Yahudi di Semenanjung Tanah Melayu. Ketibaan Francis Light pada tahun 1789 telah membuka ruang kemasukan ramai pedagang termasuklah Yahudi. Bertahun kemudian, mereka menjadi semakin ramai.
Kebanyakannya adalah dari kalangan;
- Yahudi Sephardi (yang tinggal dalam kalangan orang Serani)
- Yahudi Mizrah/Mizrahim
- Yahudi Cochin/Malabar (dari India)
- Yahudi Ashkenazi

*Artikel tentang Yahudi Cochin/Malabar

Yahudi Mizrah dikatakan berasal dari Baghdad, Iraq yang memang sejak zaman dahulu sudah menjadi tapak tamadun awal Bani Israel.
Di Pulau Pinang, kelompok Yahudi di sini berasal dari Yahudi Mizrah dan dipelopori oleh keluarga Sassoon dan Meyer yang sudah bertapak kukuh dalam pelbagai industri dan perdagangan di India.
(Keluarga Sassoon dikenali sebagai "Rothschilds of the East" disebabkan oleh kekayaan yang mereka kumpulkan dalam bidang perdagangan dan sangat terkenal di peringkat antarabangsa.
Keluarga Sassoon pada mulanya berpangkalan di Baghdad, Iraq sebelum berpindah ke Bombay, India dan kemudian tersebar ke China, England dan beberapa negara lain.
Dikatakan mereka merupakan keturunan dari Shoshans, sebuah keluarga Yahudi terkenal di Semenanjung Iberia. Pada abad ke-18, keluarga Sassoon adalah keluarga terkaya di dunia dengan perdagangan meliputi seluruh benua Asia.)
Terdapat juga orang Yahudi dari empayar kerajaan Bani Uthmaniyah dan Baghdad datang ke Tanah Melayu pada tahun 1817 hingga 1831.
KEADAAN SEBELUM DAN SELEPAS PERANG DUNIA
Menurut catatan sejarah, orang Yahudi Baghdad pertama tiba di Tanah Melayu ialah Ezekiel Aaron Menasseh pada tahun 1805.
Menasseh dikatakan satu-satunya orang Yahudi yang mengamalkan budaya Yahudi selama 30 tahun sehinggalah Perang Dunia Pertama. Sejak itu, populasi orang-orang Yahudi yang berhijrah dan mendiami Tanah Melayu semakin meningkat bilangannya.
Ketika Jepun menyerang dan menduduki Tanah Melayu, masyarakat Yahudi telah dipindahkan ke Singapura dan sebilangan daripada mereka telah dibunuh.
Selepas perang tamat, majoriti orang Yahudi di Tanah Melayu mula berhijrah keluar ke Singapura, Australia, Israel dan Amerika Syarikat.
Dalam tahun 1963, hanya terdapat sekitar 20 keluarga sahaja yang masih tinggal di Pulau Pinang.
Semenjak dasar anti-Israel diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dalam tahun 1970an, hampir semua orang Yahudi di Pulau Pinang menganut agama Kristian dan ada juga yang telah berhijrah ke negara lain.
Bagi orang Yahudi yang telah memeluk agama Kristian, mereka hidup bebas dan selesa bersama orang Serani di Melaka kerana Melaka merupakan pusat penempatan Yahudi terawal selepas kemunculan mereka di Lembah Bujang.
Majoriti masyarakat Yahudi ini boleh berkomunikasi di dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan terdapat sebilangan daripada mereka boleh bertutur di dalam bahasa Yiddish, Parsi, Ibrani (Hebrew) dan Arab.
Keturunan orang Yahudi ini kini kebanyakannya menetap di Singapura, Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Seperti di negara lain, Yahudi di Tanah Melayu juga memainkan peranan penting dalam sejarah. Selain terkenal dalam bidang ekonomi, kewangan dan pemilikan saham, orang Yahudi di Tanah Melayu juga terlibat dalam politik.
Satu-satunya Yahudi yang dikenali dalam sejarah ialah David Saul Marshall (12 Mac 1908 - 12 Disember 1995), Menteri Besar Singapura yang pertama (1955 - 1956). Beliau merupakan keturunan Yahudi Pulau Pinang yang berhijrah selepas pendudukan Jepun.
David Marshall sempat menjadi warganegara Malaysia semasa Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia. Beliau juga terlibat aktif dalam proses perundingan antara Komunis (PKM) dan pihak British semasa Rundingan Baling serta proses meminta kemerdekaan untuk Malaya.
PENINGGALAN ORANG YAHUDI
Bukti peninggalan yang ada dan masih kita dapat lihat adalah Tanah Perkuburan Yahudi di Pulau Pinang. Ia telah wujud sejak 1805 dan dipercayai merupakan Tanah Perkuburan Yahudi yang paling tua di Malaysia.
Keluasan Tanah Perkuburan Yahudi ini berukuran 38,087 kaki persegi dan ia terletak di Jalan Zainal Abidin.
Kubur tertua di kawasan perkuburan tersebut bertarikh 9 Julai 1835, milik Puan Shoshan Levi.
Terdapat hampir 107 kubur di kawasan tersebut dan yang terbaru bertarikh 15 Julai 2011 milik seorang lelaki Yahudi yang terakhir hidup di Malaysia, Mordecai (Mordy) David Mordecai.
Perkuburan keluarga Kohen yang merupakan keturunan Nabi Harun as (menurut catatan Bible) dipisahkan daripada yang lain.
*Kohen atau Kohain adalah istilah bahasa Ibrani (Hebrew) yang bermaksud "imam" atau "pendeta".
Satu-satunya dari keluarga Kohen di situ ialah Eliaho Hayeem Victor Cohen, seorang Leftenan dalam '9th Jat Regiment of the British Indian Army' yang mati terbunuh dalam kemalangan pada 10 Oktober 1941.
Ia merupakan satu-satunya kubur yang dijaga dan diselenggara oleh 'Commonwealth War Graves Commission'.
Difahamkan, tapak perkuburan Yahudi di kawasan tersebut masih dibuka untuk tujuan pengebumian dan diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah yang ditubuhkan dan berdaftar sejak 1885.
Synagogue (rumah ibadat Yahudi) pertama dibuka di Pulau Pinang pada tahun 1929 dan beroperasi sehingga tahun 1976 apabila ritual agama yang disebut "Minyan" (perjumpaan seramai 10 orang lelaki Yahudi untuk upacara keagamaan) mulai kekurangan ‘korum’.
Synagogue ini telah diubahsuai menjadi studio bagi mengelakkan dikenalpasti oleh pihak yang tidak berkepentingan dan mempertahankan tradisi Yahudi yang berada di ruangan dalamnya.
Sebuah jalan di Pulau Pinang pernah dinamakan sebagai "Jalan Yahudi" kerana di situ merupakan kawasan majoriti masyarakat Yahudi.
Jalan ini merupakan jalan kecil yang terletak di antara Jalan Burmah dan Jalan Macalister di Georgetown.
Hari ini, nama jalan tersebut telah ditukarkan kepada "Jalan Zainal Abidin" dan secara tidak langsung ia telah memadamkan salah satu daripada legasi kewujudan Yahudi di Malaysia.
Jadi, tidak mustahil di kalangan orang Serani di Melaka ada yang berketurunan bani Israel.
Tidak mustahil juga ada DNA bani Israel dalam darah anak Melayu pada zaman ini kerana perkahwinan campur telah lama diamalkan di Tanah Melayu.
-Debu-
Copy and paste: 22/11/2019: 9.25 am

No comments: