Thursday, 8 August 2019

Operasi Gubir 2 (20 April - 3 Mei 1976)

Susulan kepada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil keputusan untuk melancarkan serangan balas terhadap musuh di sebuah kawasan yang disyaki kubu kuat mereka.
Dianggarkan 400 anggota pengganas berkubu di situ berserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang sekitarnya.
Operasi dirancang berdasarkan maklumat SEP (Surrendered Enemy Personnel) yang dikenali sebagai Abdullah. Dia mengatakan yang dia telah dilatih di sebuah kem di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Thailand.
Kem tersebut mampu menempatkan beberapa ratus pengganas komunis dan dilengkapi dengan generator elektrik dan juga mesin cetak. Bagaimanapun dia tidak dapat memastikan lokasi kem tersebut dengan tepat.
Seorang pegawai tentera mengatakan dia pernah nampak kawasan kebun sayur seperti yang dikatakan oleh Abdullah dan mahu beliau mengikutnya untuk mengecam kawasan tersebut.
Bagaimanapun Abdullah enggan kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk melakukan tinjauan dari udara.
🔸 Formasi yang terlibat adalah seperti berikut :
1️⃣ Markas 2 Divisyen Infantri - Mej. Jen Dato' Mahmood Sulaiman
2️⃣ Markas 6 Briged Infantri - Brig. Jen. Dato' Arul Pragasam
3️⃣ Rejimen Gerak Khas Malaysia (1 RGKM) - Lt. Kol Hasbullah Bon
4️⃣ Markas Jurutera 2 Divisyen - Lt. Kol Mei York Chee
5️⃣ No. 3 Skuadron Jurutera - Mej. Akhbar Khan
6️⃣ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
🔶 Kekuatan Pasukan Penggempur - X Skuadron, 1 RGKM (60 sukarela)
a. Ketua Skuadron - Kapt. Sudirman Haji Ahmad
b. Ketua Terup - Lt. Aziz Rashid & Lt. Azizan
c. Anggota Lain - Lain Pangkat (LLP) - 57 orang
🔶 Kekuatan Detasmen Jurutera - Gabungan 1 & 2 Terup, 3 Skuadron Jurutera
a. Ketua - Lt. M Basri (23 April hingga 25 April 1976) diambilalih Lt. M Mior Safian
b. LLP - 18 anggota
Tugasan Utama Jurutera - membantu pasukan komando RGK
a. membina tempat mendarat helikopter
b. membersihkan jerangkap samar
🔶 Serangan Udara
Pada 16 April 1976, jet-jet CL-41G Tebuan dari No.6 Skuadron dan F5E Tiger II dari No.12 Skuadron TUDM telah terlibat dalam melakukan serangan udara.
Beberapa jet Tebuan dilengkapi dengan minigun dan roket manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs.
Helikopter Allouette bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk menandakan sasaran.
Serangan pertama tidak memberi banyak kesan kerana kawasan hutan tebal cukup memberi perlindungan kepada sasaran.
Bagaimanapun serangan bertubi-tubi itu akhirnya berjaya membuatkan sebahagian besar pengganas komunis berundur ke sempadan Thailand melalui terowong khas yang telah mereka bina.
Laporan yang diterima keesokkannya menunjukkan terdapat kesan-kesan darah dikawasan sasaran.
🔶 Pendaratan Pasukan Penggempur.
Percubaan pertama gagal kerana mereka diserang terlebih dahulu oleh penganas komunis. Percubaan kali ke-2 diiringi oleh helikopter gunship Allouette.
Anggota-anggota komando Gerakhas (RGK) menggunakan 3 buah helikopter Nuri untuk masuk ke kawasan sasaran.
Ini adalah satu-satunya cara 'insertion' kerana kawasan sekitar telah dipasang banyak jerangkap samar.
Helikopter ke-2 mula-mula menurunkan anggota, bagaimanapun teknik rapelling tidak dapat dilakukan kerana tali tersangkut dipokok.
Kaedah winching (menggunakan kabel yang dijana mesin) kemudian digunakan.
Bagaimanapun, kedatangan mereka disedari oleh pasukan musuh. Pengganas komunis menembak helikopter dengan pelancar grened M79 tetapi tersasar mengenai pokok.
Pertempuran berlangsung selama kira-kira setengan jam. Kedudukan tersebut akhirnya berjaya ditawan oleh RGK tetapi memakan korban dengan 11 anggota RGK terbunuh, manakala 22 pengganas komunis dapat dibunuh.
Mereka meneruskan pembersihan jerangkap samar di kawasan laluan dan menyediakan Landing Point (LP) untuk pendaratan anggota jurutera yang akan meneruskan kerja-kerja memusnahkan jerangkap samar serta membuat penyiasatan dan kajian lanjut keatas terowong yang ditemui.
Dalam proses pengeledahan dan pembersihan 3 anggota cedera RGK telah tercedera terkena jerangkap samar, mereka ialah:
1️⃣ Sarjan Ahmad Jantan - cedera parah di kaki
2️⃣ Truper Yaacob Hassan - cedera parah di kaki
3️⃣ Truper Hussin Mahbeb - cedera parah di tangan
🔶 Pembersihan Dalam Terowong
Pembersihan di dalam terowong diteruskan pada 25 April 1976. Laluan dalam terowong yang telah dibersihkan dari jerangkap samar akan diletupkan.
Tugas ini dilaksanakan oleh Terup 1 dan Terup 2 dari 3 Skuadron Jurutera.
Ketika di dalam terowong, team yang diketuai oleh Lt. Meor telah berada jauh dihadapan. Lt. M Basri dengan ditemani L/Kpl. Abdullah pula menuruni 31 anak tangga didalam terowong tersebut. Mereka menggunakan lampu suluh kerana suasana di dalam terowong itu agak gelap.
Ketika itu Lt. M Basri terlihat satu guni beras yang diletakkan di sebelah kiri laluan dan mengesyaki terdapat jerangkap samar di situ. Beliau mengarahkan anggota-anggota lain mengikuti rapat di sebelah kanan.
Sebaik saja Lt. Muda Basri melangkah kakinya ke kanan, tiba-tiba berlaku satu letupan kuat. Dia rebah dan senjata yang dibawanya terpelanting. Dia telah mengalami kecederaan di punggung. Ketika itu juga L/Kpl. Abdullah menjerit memberitahu bahawa dia tercedera di bahagian dada.
Sememangnya jerangkap samar itu dipasang pada ketinggian yang menjadikan jantung sebagai sasaran. Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah dan setibanya di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir.
🔶 Tragedi Nuri Ditembak Jatuh - 26 April 1976
Sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan (untuk memusnahkan terowong) dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh pengganas komunis. Berikut adalah senarai mangsa yang terkorban didalam tragedi itu:
☠️ Lt. (U) Chung Ming Teck PTU, No.10 Skuadron, Kapten helikopter
☠️ Lt. (U) Wan Munsiff bin Wan Salim KPK, No.10 Skuadron, Co-pilot
☠️ Sjn. Leong Yee Heng PTU, No.10 Skuadron, AQM
☠️ Kapt. (U) Choo Yeok Boo PGB, No.7 Skuadron (Kapten)
☠️ Kapt. (U) Mustapha Kamal bin Mohamad Shafie KPK, No.7 Skuadron (Co-pilot)
☠️ Mej. Haris bin Rejab, MMLO Haadyai
Kapt Sulaiman bin Abdullah, 6 Briged Infantri

☠️ Lt. Ibrahim bin Zakaria, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
Sjn Kamis bin Dolmat, Batalion ke-3 RAMD

☠️ L/Kpl. Kamarulzaman bin Zakaria, X Skuadron Rejimen Gerakhas (RGK)
☠️ L/Kpl. Suandi bin Saim, X Skuadron RGK
Pada 27 April 1976, elemen jurutera dan sebahagian anggota komando dikeluarkan dari kubu pengganas tersebut setelah berjaya memusnahkan terowong dan bunker. Mereka bergerak menuju ke "extraction point".
Helikopter melakukan beberapa penerbangan ulang-alik sehinggalah ia disedari oleh sepasukan pengganas komunis. Penerbangan terpaksa dihentikan, baki 18 anggota komando RGK terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) disatu kawasan berhampiran LP (landing point) di mana sepasukan komando akan menanti ketibaan mereka untuk dibawa keluar.
🔶 The Great Escape
1 Mei 1976
Kumpulan 18 anggota komando itu diketuai oleh Lt. M Aziz Rashid (bersara Lt. Kol). Dianggarkan terdapat seramai 60 pengganas komunis mengepung lokasi mereka. Kawasan ini ditanam dengan anak pokok getah.
Pengganas komunis datang dengan menaiki lori. Lt. M Aziz memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan. Mereka diingatkan tidak menembak musuh kecuali kehadiran mereka sangat jelas kerana hendak menjimatkan peluru. Anehnya mereka tidak diserang pada malam itu.
Beliau sempat menghubungi Z Skuadron dan dia dimaklumkan helikopter Nuri tidak dapat mengambil mereka kerana lokasi didapati tidak selamat.
Seterusnya, beliau diarahkan untuk RV dengan sepasukan komando yang telah ditugaskan untuk menyelamatkan mereka.
2 Mei 1976
Markas Taktikal di Gubir telah menghantar 2 x helikopter Allouette (gunship) ke lokasi yang dilaporkan oleh Lt. M Aziz. Beliau telah mengarahkan Alouette tersebut menembak ke kawasan tertentu yang dipercayai ada pengganas komunis.
Setiap helikopter menghamburkan 200 butir peluru meriam 20 mm HE (High Explosive). Lt. M Aziz dan anggotanya bergerak keluar tetapi tidak mengikut "track" yang sedia ada dikhuatiri ianya telah dipasang jerangkap samar.
Dalam perjalanan mereka menemui sebuah kem pengganas komunis yang telah ditinggalkan secara tergesa-gesa mungkin untuk menyelamatkan diri dari serangan helikopter Allouette tadi.
Menyedari yang musuh akan terus memburu mereka menjelang malam, Lt. M Aziz mengarahkan anggotanya membuat "rumah batu" (hammock juga digelar Jungle Hotel - Jungtel).
Ini bukan kebiasaan bagi anggota komando kerana mereka biasanya tidur berhamparkan ponco diatas tanah. Rupanya ini adalah umpan untuk mengelirukan pasukan musuh.
Mereka bergerak meninggalkan lokasi itu dan menuju ke kawasan tinggi untuk membuat serang hendap.Seperti malam sebelumnya, arahan jangan menembak kecuali kehadiran musuh jelas.
Selain itu anggota diingatkan kemungkinan pengganas komunis akan memasang lampu suluh pada hujung kayu panjang dan menyuluh ke arah atas untuk mengelirukan penembak.
Sebagaimana yang dijangkakan, memang benar musuh menghampiri kawasan khemah (Jungtel) mereka kerana kelihatan cahaya lampu suluh menghala keatas.
3 Mei 1976
Menjelang pagi mereka turun semula ke Jungtel dan mendapati banyak kesan tapak kaki disitu, dianggarkan kira-kira 40 pengganas komunis telah menggeledah kawasan itu.
Mereka meneruskan perjalanan ke RV dan apabila tiba dikawasan sempadan Malaysia - Thailand terdapat tanda lakaran jerangkap samar yang dilekatkan pada 2-3 batang pokok.
Memang pengganas komunis akan meninggalkan tanda jika sesuatu kawasan itu telah dipasang jerangkap samar supaya kawan-kawan mereka akan menghindari kawasan tersebut.
Bagi mengelak dari terkena jerangkap samar, mereka mengikat 3 beg galas (haversack) dengan tali dan melontar ke arah laluan di hadapan.
Kemudian tali akan ditarik perlahan-lahan sekiranya ada jerangkap samar yang meletup, itu tidak akan memudaratkan mereka kerana mereka berada dalam jarak yang selamat.
Proses ini diulang sehinggalah mereka selamat tiba di kawasan RV. Sepasukan komando RGK dari Y Skuadron yang diketuai oleh Lt. M Rajasegaran telah menanti mereka. Inilah kali pertama dalam beberapa hari mereka berpeluang mendapatkan makanan.
Seterusnya mereka bergerak menuju ke LP dan diterbangkan oleh helikopter Nuri ke Kem Gubir. Ketika disana, Lt. M Aziz telah dimaklumkan pihak atasan telah menyediakan 18 keranda seandainya mereka tidak dapat kembali dengan selamat.
AL-FATIHAH BUAT PEJUANG TANAH AIR YANG GUGUR......
HAPUSKAN ANCAMAN PENGGANAS YANG MENGANCAM KESELAMATAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR.
Copy and paste from Facebook
8 Ogos 2019: 4.51 pm

No comments: