Thursday 1 August 2019

Kapal Haji...

Musim Haji telah bermula....

Ribuan Jemaah Haji Malaysia akan menyertai ratusan ribu Jemaah Haji dari seluruh dunia di Tanah Suci Mekkah Al Mukarramah...
Perjalanan Jemaah Haji Malaysia sekarang adalah lebih mudah kalau nak dibandingkan dengan Zaman nenek moyang kita dahulu yang pergi menunaikan Haji dengan menaiki kapal Laut yang mengambil masa berbulan untuk sampai....

Catatan awal Jemaah Haji Tanah Melayu ke Tanah Suci tercatat dalam Hikayat Hang Tuah yang dimuat dalam Tuhfah al-Nafis karya Raja Ali Haji yang menceritakan mengenai kisah laksamana Melaka itu menunaikan rukun Islam kelima itu.

Antara catatan sejarah kapal yang membawa jemaah Haji ketika itu ialah kapal Mendam Berahi.
Catatan Tom Pires, Ahli Pelayaran Portugis ada mencatatkan hasrat 2 Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah untuk menunaikan Haji dengan menggunakan kapal, namun hasrat kedua-dua Sultan itu tidak kecapaian kerana kedua-duanya mangkat sebelum sempat berangkat ke Tanah Suci.
Banyak lagi catatan sejarah mengenai perjalanan Jemaah Haji Tanah Melayu ke Tanah Suci seperti catatan Munsyi Abdullah dalam Hikayat Pelayaran Abdullah (1854), catatan Ilmuan Islam Kepulauan Melayu Muhammad Yusuf Ahmad (Tok Kenali) pada abad ke 19, catatan Hamzah Fansuri pada akhir abad ke 16 Masihi, catatan Abdul Rauf Singkel pada 1643M, catatan Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah , 1937), catatan Haji Ismail Haji Ishak (Ke Mekah mengikut Jalan Darat, 1975) dan juga tulisan Harun Aminurashid dengan bukunya "Chatetan ka-Tanah Suchi" diterbitkan pada 1960.

Bermula dari tahun 1936 hingga 1950 Syarikat Blue Funnel Line (Kapal Haji Serombong Biru) menyediakan 21 buah kapal untuk jemaah haji Tanah Melayu menunaikan haji ke tanah Suci.
Kemudianya pada awal awal tahun 1970an...2 buah kapal milik Syarikat Great Malaysia Line mulai digunakan untuk membawa jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci iaitu Kapal Malaysia Raya dan Kapal Malaysia Kita.
Kedua-dua kapal ini mengalami nasib yang malang iaitu pada 12 Mei 1974 Kapal Malaysia Kita telah terbakar di Telok Katong, Singapura dan tenggelam...

Manakala kapal Malaysia Raya telah mengalami kebakaran dan tenggelam di Pelabuhan Kelang pada 23 Ogos 1976.

Kalau dahulu sistem pengurusan jemaah haji diuruskan oleh Sheikh Haji sehinggalah ia digantikan sepenuhnya oleh Muassasah Haji.
Penggunaan kapal laut ke Tanah Suci juga berakhir pada 1976 apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ketika itu memutuskan penggunaan kapalterbang untuk jemaah Haji ke Tanah Suci.





INFO: Kapal haji
# Mendam Berahi (abad ke-15)
# Subulus Salam (1854),
# Antirorchus (1936), Bellophon (1936), Cyclops (1936) dan Potesilaus (1936)
# Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Eurubates, Glaucus, Idomeneus (1940-an)
# Prometheus (1950-an),
# Malaysia Kita, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur (1970-an).

Peristiwa 1947
# 670 jemaah haji Malaya berangkat ke Makkah melalui Singapura dan 1,326 melalui Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 1,729 pulang ke Malaya, manakala 200 lagi terus tinggal di Makkah; 67 meninggal dunia iaitu 31 ketika dalam pelayaran, manakala 36 di Makkah.
# Sebelum Perang Dunia Kedua hingga negara mencapai kemerdekaan, Singapura dan Pulau Pinang menjadi dua pelabuhan penting bagi jemaah haji Malaya.
# Kebanyakan jemaah sebelum merdeka dibawa ke pelabuhan dengan lori dan cara itu sering dikritik orang ramai menerusi akhbar. Satu peristiwa pernah menimpa jemaah di Pelabuhan Klang pada 8 Julai 1962 iaitu tragedi tangga patah menyebabkan 20 cedera ketika menyambut ketibaan jemaah haji di atas kapal `Kuala Lumpur’.
# Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul `Pilgrims Economy Improvement Plan’ kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.
# Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur. Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan `kepapaan’ selepas jemaah haji kembali ke tanah air, juga semakin pupus.
IBADAT haji menghimpunkan umat Islam tidak mengira warna kulit, latar belakang, keturunan dan lokasi ke satu tempat paling suci di tanah Arab iaitu Makkah.
Peredaran zaman menyaksikan perjalanan ke Makkah untuk mengerjakan haji melalui fasa perubahan daripada keperitan dan kesusahan kepada lebih mudah dan singkat untuk ke kota suci berkenaan.
Pada waktu dulu, ibadat haji hanya boleh dicapai mereka yang berhati cekal kerana banyak pengorbanan yang terpaksa di buat.
Pengalaman jemaah ke Makkah
# Penyair Parsi yang juga ahli falsafah Isma’ili, Naser Khosraw berasal dari Iran menceritakan beliau menyertai kumpulan karavan, suatu yang biasa pada zaman itu bagi perjalanan jauh untuk menunaikan haji.
Beliau dalam bukunya Safarnama menceritakan mengembara selama tujuh tahun dari 1046 Masihi (437 Hijrah) hingga 11 Masihi (443 Hijrah) menjelajahi bandar Islam sebelum sampai di Makkah untuk menunaikan haji.
Ditemani saudara lelaki dan pembantunya bergerak melalui Nishapur, Tabriz, Aleppo, Baitul Maqdis dan destinasi terakhir Makkah. Perjalanan itu adalah titik perubahan kerohanian Naser yang mana dalam usia 42 tahun, beliau mengambil keputusan meninggalkan kehidupan bangsawan dan menuju ke Kaherah untuk menjadi ulama.
# Penyair dan ilmuwan Sepanyol dari Granada, Ibnu Jubayr atau nama sebenarnya Abu Al-Husayn Ibnu Jubayr menceritakan kesukaran diganggu Tentera Salib dan perompak yang memang suka menjadikan rombongan karavan haji sebagai mangsa. Dicatatkan kepayahan rombongan haji yang disertainya berdepan kehadiran Tentera Salib Reynald de Chatillon iaitu pasukan yang dilatih khusus menyerang karavan haji.
Dalam catatan itu, diceritakan, rombongan terpaksa menggunakan unta menuju ke selatan Kaherah untuk ke Pelabuhan Aydhab di laut Merah sebelum ke Jeddah untuk ke Makkah.
# Pengembara Islam, Ibn Battutah menulis mengenai pengalamannya ke Makkah yang penuh berliku. Beliau mencatatkan bersendirian menyusuri laluan pinggir pantai dengan menunggang unta dan kuda sebelum menyertai karavan jemaah haji di Libya.

Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold
Lapan bulan kemudian beliau tiba di Makkah bersama jemaah lain pada 1326 Masihi (726 Hijrah) dan Makkah sering menjadi tempat persinggahan beliau sepanjang pengembaraannya. Banyak yang dikongsikan Ibn Battutah sepanjang perjalanannya, begitu juga kisah dan gambaran beliau mengenai Makkah.
# Laksamana Zheng He atau lebih dikenali Laksamana Cheng Ho yang berkhidmat di bawah Dinasti Ming juga melalui kesukaran sepanjang perjalanan menunaikan haji. Zheng He, laksamana angkatan laut yang pernah mengetuai tujuh misi diplomatik negaranya dari 1405-1433 Masihi (807-836 Hijrah) menyifatkan pengembaraan ke Makkah sebagai satu yang menakjubkan, dan tiba di Makkah pada pelayaran ketujuhnya, 1423-1433 M (835-836 Hijrah). Namun, wujud percanggahan pendapat antara cendikiawan dan sejarawan sama ada Zheng He benar-benar menunaikan haji atau sekadar singgah di Makkah.
# Pengembara Itali, Ludovico Di Varthema menjadi orang Eropah pertama menceritakan pengalamannya ke Makkah mengerjakan ibadat haji dalam karya bertajuk Itinerario (Itinerary – jadual perjalanan).
Status keislaman Varthema juga diragui, namun beliau berjaya menyertai angkatan tentera Mamluk yang bertanggungjawab mengiringi karavan haji ke Tanah Suci pada 1503 Masihi (908 Hijrah). Ketika dalam perjalanan dari Damsyik ke Makkah beliau merekodkan halangan yang terpaksa ditempuhi jemaah haji di tengah padang pasir.
# Wartawan Sepanyol, Muhammad Asad dari Galicia menulis pengalaman menunaikan haji bersama isterinya Elsa dengan kapal laut dari Mesir ke Jeddah.
Beliau menceritakan jemaah haji berasak-asak di atas kapal, disertai laungan ‘labayk, Allahumma, Labayk’ yang bersahut-sahutan. Jemaah haji Mesir dan Afrika Utara memenuhi setiap ruang dan sudut dalam kapal dengan berhimpit-himpit.
# Satu lagi catatan zaman moden ditulis Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold (1867-1963 Masihi (1283-1382 Hijrah). Beliau dipercayai wanita Eropah pertama merekodkan pengalamannya mengerjakan haji.
Lady Evelyn anak sulung Earl of Dunmore yang dipercayai memeluk Islam sejak kecil memulakan perjalanan secara sendirian ke Makkah menaiki kapal laut di Kaherah ke Pelabuhan Jeddah pada usia 66 tahun dan diberi kebenaran masuk ke kota suci itu oleh Raja Abdul Aziz Ibn Saud pada 15 Zulkaedah 1351 Hijrah bersamaan 12 Mac 1933.
Beliau yang mengembara menggunakan kereta Ford kecil menceritakan 10 hari masa yang diambil oleh unta untuk menamatkan perjalanan antara Madinah dan Jeddah , tiga minggu bagi pejalan kaki yang bergerak pada waktu malam.

# Pengembara haji, Malcom X, berketurunan Afrika-Amerika yang mengerjakan haji pada 1964 menceritakan cabaran sebagai warga negara Amerika Syarikat yang mahu menunaikan haji sehingga terkandas 20 jam apabila tiba di Jeddah. Beliau yang lengkap memakai ihram tidak dibenarkan masuk kerana diragui keislamannya.
Beliau akhirnya dibenarkan masuk ke Makkah, malah menjadi tetamu pemerintah Arab Saudi, Putera Feisal. Malcom memberitahu beliau mempelajari solat yang betul dan merasai semangat ummah (persaudaraan Islam) dalam tahanan 20 jam itu.

1 Ogos 2019 : 8.16 pm

No comments: