Sunday, 4 August 2019

Sungai Batu: Tangisan yang tak didendang Bahagian 1 & II

Oleh : Fahmi Zulkepli
Facebook: Sungai Batu - Tamadun Melayu 788 SM
Setelah berbulan lamanya, bercengkerama dan bercinta hanya di muka buku, Allah izinkan aku untuk melawat tapak tamadun sungai batu, satu tamadun yang telah diiktiraf sebagai tamadun terawal di asia tenggara.
Setibanya disana, tak tersurat segala perasaan yang bergelumang di jiwa.
Sebak dalam gembira, sendu dalam teruja.
Semuanya menjadi satu.
Dari satu sisi, aku gembira, bangga dan teruja. Kerana melayu juga ada tamadun hebat, sehebat mesopotamia, indus, mesir purba dan lainnya. Sehingga disebut antara pengeluar besi terawal dunia.
Namun, dari sisi lainnya, aku sedih, marah dan kecewa. Tak terbayang dek akal, satu sejarah agung yang telah dijumpai semenjak 10 tahun yang lalu, tidak mendapat perhatian yang sebaiknya dari pihak yang sepatutnya.
Jika tamadun ini dijumpai di negara China, atau England, pastinya dalam masa yang singkat, tamadun ini sudah berada di dalam muzium, dilengkapi dengan penghawa dingin, dengan laluan informasi dan dijadikan pusat pelancongan utama negara.
Sabarlah sungai batu, semoga suatu hari nanti akan ada sinar buatmu!

Bahagian II
Sungai Batu: Tangisan Yang Tak Didendang bahagian II
Di bahagian yang kedua ini, aku nak mengajak rakan-rakan untuk menelusuri beberapa perkara yang jarang disebut apabila bercerita berkenaan sungai batu.
1. Impak penemuan Tamadun Sungai Batu
Sejak ditemui hampir 10 tahun lalu, Tamadun ini telah menyingkap sejarah silam tanah melayu dengan begitu berbeza sekali. Ini kerana, sebelum penemuan ini, masyarakat melayu khususnya di Malaysia hanya digilangkan dengan tamadun kesultanan melayu melaka, dengan sekali-sekala cerita tentang majapahit, srivijaya, champa, funan, berunai, dan lain-lain.
Biarpun manuskrip-manuskrip terdahulu ada menceritakan tentang kegemilangan kedah tua, hikayat merong mahawangsa, tentang kedah tua menjadi kerajaan melayu terawal di nusantara, catatan demi catatan yang dikaji sedikit terbantut. ini kerana, nama lain bagi kedah pada zaman dahulu adalah kalagam atau kadaram, yang mana kalagam membawa maksud (Warna Hitam) dan kadaram pula (Kuali Besar).
Setelah penemuan Tamadun Sungai Batu, segalanya menjadi jelas dan nyata. Nama lama kedah dirujuk kepada besi, yang mana dikatakan besi dari kedah berwarna hitam.
Dan, penemuan tapak ritual penyembahan masyarakat kuno kedah di Sungai Batu juga menunjukkan satu kemungkinan baru bahawa candi-candi yang dibina di lembah bujang, bukanlah binaan orang tempatan kedah. Ianya mungkin dibina oleh pengembara dan pedagang dari tanah india yang berniaga atau singgah di kedah.
2. Melayu luar biasa
Dengan penemuan ini, adakah hanya orang kedah patut berbangga?
Sudah tentu tidak!
Setiap dari mereka yang mengaku berdarah melayu, berbangsa melayu, beradat melayu, berketurunan melayu, harus dan wajib berbangga.
Bukan sekadar berbangga, tetapi sematkan dan pahatkan dalam hati dan jiwa, kehebatan bangsa melayu.
Tak kira melayu kedah, melayu jawa, melayu champa, melayu kelantan, melayu sumatera, melayu sambas, melayu deutro/proto, semuanya harus berbangga. Sama seperti melayu yang lainnya berbangga dengan kehebatan majapahit menghalang tentera mongol, kehebatan borobudur dan lain-lain kegemilangan yang dicatat dalam lembaran sejarah.
3. Sejarah dan kepentingannya
Pelajaran subjek sejarah seringkali dianggap tidak mempunyai sebarang keuntungan dan kebaikan. Malah, ada yang beranggapan, dana untuk ekskavasi tapak-tapak sejarah yang selalunya menelan kos tinggi, sebaiknya dihentikan kerana pembaziran.
Pemikiran dan sikap sebegini seharusnya diteliti semula.
Jika apa yang kita ada hari ini adalah hasil dari apa yang kita kerjakan dahulu, begitu juga dengan sejarah lampau.
Apa yang kita nikmati hari ini, adalah hasil kerja dari orang lampau. Dan segala tindak tanduk kita hari ini, akan dirasa oleh anak cucu kita yang akan hidup pada masa akan datang.
Mudah untuk disimpulkatakan, sejarah adalah jatidiri yang menjadikan siapa kita pada hari ini.

*sumber gambar: Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara
Copy and paste: FB Sungai Batu - Tamadun Melayu 788 SM
4 Ogos 2019: 5.48 pm

No comments: